
Shahnon berdarah Batak marga Saragih, dengan moyang bertunjangkan Datuk Omar Saleh dari kerajaan Sipoldas Kabupaten Simalungun Sumatera Utara.
Ketika Perang Dunia Kedua, Haji Ahmad menjadi perisik bagi pihak British. Kedudukan sebagai posmen memudahkan beliau mengintai maklumat rahsia gerakan pihak Jepun. Antara kubu tentera Jepun ketika itu ialah di Gurun dan Guar Cempedak.
Sebelum dari itu, beliau sering mengembara dari satu tempat ke satu tempat tetapi kemudian kekal menetap di Sik setelah bernikah dengan ibu Shahnon.
Matang oleh penjelajahan dan pengembaraan, ibarat pepatah Melayu “jauh perjalanan luas pandangan, beliau amat mementingkan pelajaran anak-anak. Ilmu pengetahuan dipandang sebagai satu-satunya cara untuk memastikan masa hadapan boleh terjamin dengan sempurna.
Beliau dengan berani menyekolahkan anak-anak di Sekolah Inggeris dan ini dianggap satu tindakan yang luar biasa ketika itu. Paling ke hadapan pun, anak Melayu hanya akan diberi pendidikan ke sekolah Melayu, bukannya di Sekolah Inggeris.
Adalah kelaziman anak-anak ketika itu dihantar ke sekolah pondok Gajah Mati dan pondok di Kampung Banggul Kiat.
Ganjaran yang diterima dari pihak British sesudah tamatnya perang dunia ditukar dalam bentuk biasiswa untuk anak-anak. Harus diingat ganjaran itu diberikan setimpal dengan tanggungjawab sebagai perisik ketika zaman perang.
Yang mendapat faedah dari ganjaran itu ialah Shahnon dan abangnya, Mohd Noh Abang, yang pernah memegang jawatan pegawai tinggi dalam Polis Diraja Malaysia dan menjadi Adun Sik.
Penglibatan Noh di dalam politik agak jauh juga hingga turut terseret ke kancah pertikaian 2 kelompok UMNO yang mewabak gara-gara pemilihan pucuk pimpinan 1987, yang berlanjutan hingga parti itu diharamkan. Menurut Cikgu Shahnon, abangnya kemudian memilih untuk bersama kumpulan yang membentuk Semangat 46.
Ibu Shahnon pula, Hajah Kelsum Mohd Saman, berasal dari Poseng Pattani, di selatan Thailand. Jalur Shahnon dari sisi ibunya terpapar dalam sebuah karya, Al-Syiqaq 1.
Kampung Poseng dan Kampung Banggul Derdap ini jarak jauhnya sekitar 160 km.
Akar petani atau pesawah, juga merupakan generasi kedua daripada keturunan Pattani yang berhijrah ke Kampung Banggul Derdap, bagi mencari penghidupan lebih sempurna. Pengaruh ibu bapa Shahnon sangat besar sehingga tertuang dalam karya-karyanya kelak.
Shahnon adalah kanak-kanak yang pendiam, pemalu dan kurang bercampur-gaul dengan rakan-rakan sebaya. Kegiatan kanak-kanak sarat dengan acara bermain di sawah, memburu burung-burung dan menangkap ikan dengan alat-alat rekaan sendiri.
Ini jelas tertumpah dalam karyanya, Detik-detik Diri di Daerah Daif, bagaimana nakalnya Shahnon sebagai anak sawah yang miskin tetapi berhati senang.
Pendidikan dasar yang beliau terima adalah di Sekolah Melayu Sik dari tahun 1938 hingga tahun 1946 sebelum beliau disekolahkan oleh ayahnya di sekolah Inggeris.
Lemah akademik
Akibat dari alam persekolahan yang mendadak itu, Shahnon terpaksa menyesuaikan diri dengan dunia sekolah yang riuh dan ramai.
Shahnon disifatkan lemah dalam pelajaran tetapi tetap lulus gred 3 Senior Cambridge. Di sini minat terhadap sastera sudah ada tetapi tidak begitu mekar.
Shahnon banyak membaca karya-karya pengarang ASAS 50 seperti Keris Mas, Tongkat Warrant, Wijaya Mala, Awang Sarkam, Asraf, Hamzah Hussein, Masuri SN dari pelbagai penerbitan terutamanya majalah Mastika. Perjuangan menuntut kemerdekaan dalam karya dan konsep seni untuk masyarakat beliau ikuti.
Shahnon memperolehi “teaching degree” di sini. Beliau menjadi guru Bahasa Inggeris di English Grammar School, Kuala Trengganu mulai 1954. Akan tetapi pada tahun berikutnya, belum cukup lama di Pantai Timur, Shahnon memilih posisi sebagai pegawai militari atau Askar Melayu di Port Dickson.
Malang, kecederaan yang dialami di kaki ketika latihan ketenteraan, telah memaksa diri memilih menjadi guru Bahasa Inggeris semula di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Melayu Bukit Besar di Alor Setar dari 1957 hingga 1962.
Pada tahun itu juga, Shahnon kembali berkhidmat di sekolah lamanya sebagai guru bahasa dan kesusasteraan hingga tahun 1963 apabila beliau ditukarkan ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim di Jitra, untuk mengajar subjek yang sama. Ia berlangsung sehingga tahun 1968.
Umno Kubang Pasu
Dalam tempoh itu juga, Shahnon pernah menjadi ketua penerangan Umno Kubang Pasu di bawah Datuk Senu Abdul Rahman dan menubuhkan GATRA (Gabungan Sasterawan Sedar).
Ini membayangkan betapa minat Shahnon terhadap politik dan kepimpinan memang telah ada sejak dari awal lagi. Pada GATRA beliau mengemukakan perjuangan dengan konsep yang berbunyi: “Kami adalah bangsa Melayu, dalam perjuangan menegakkan identiti melalui sastera.”
Suatu titik penting dalam hidupnya, dari 1968 hingga 1970, Shahnon telah diterima bertugas sebagai Pembantu Penyelidik Projek Perkamusan Bahasa Inggeris-Malaysia di Department of Indonesian Languages and Literatures, Australian National University (ANU) di Canberra, di bawah seliaan Profesor A.H Johns.
Beliau telah ikut belajar dan berhasil mendapatkan ijazah sarjana muda dalam bidang pengajian Asia.
Selepas pulang dari Australia, pada tahun 1971, Shahnon menjawat jawatan pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim, Perak.
Dari situ beliau telah menjawat pula jawatan sebagai tutor di Pusat Pengajian llmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sambil menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana pada tahun 1974 dengan tesis beliau bertajuk “Sajak-sajak A.S Amin”.
Beliau kemudian diangkat sebagai Pensyarah Kesusasteraan dan serentak menjadi timbalan dekan. Pada 1978, beliau dilantik pula sebagai profesor madya dan dekan pusat pengajian tersebut.
Shahnon turut dipilih sebagai ahli Senat dan ahli Majlis Universiti. Mulai 1982, beliau dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Melayu Moden dan mendapat Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Beberapa tahun sebelum itu, iaitu pada tahun 1976, bersekali dengan A. Samad Ismail, A. Samad Said dan beberapa sasterawan lain, beliau dihadiahi Anugerah Pejuang Sastera dengan hadiah RM10,000. Berikutan dari semua itu, beliau turut dianugerahkan bintang kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah oleh Sultan Kedah dengan gelaran Dato’.
Shahnon memegang jawatan pengarah Pusat Islam USM sejak 1984 hingga 1995 dan telah memperbaharui kontraknya di situ beberapa kali.
Shahnon telah mendirikan rumahtangganya dengan Jawahir @ Wan Fatimah Haji Wan Salleh pada 1957. Isteri beliau adalah seorang guru. Cinta berputik ketika sama-sama mengajar. Mereka dikurniakan 4 cahaya mata.
Almarhum Cikgu menulis hampir dalam semua genre kesusasteraan. Namun di sebalik penulisan cerpen, drama, esei, kecuali puisi, beliau lebih menyerlah dalam penulisan novel.
Bermula dari menjadi guru subjek sastera Melayu di Kolej Sultan Abdul Hamid, beliau meningkat dalam arena akademik hingga pada 1982, seperti yang disebut sebelum ini, beliau dilantik sebagai profesor Kesusasteraan Melayu Moden.
Beliau juga banyak mewakili Malaysia dalam persidangan antarabangsa, antaranya pada 1973, menghadiri Afro-Asian Writers Conference di Alma Ata, Soviet Union.
Shahnon juga pernah dilantik sebagai ahli panel bagi mengadili Peraduan Mengarang Cerpen anjuran majalah Asiaweek, serta beberapa sayembara lagi termasuk anggota panel Anugerah Sastera Negara dan Hadiah Sastera Malaysia.
Pada 1971, 1972 dan 1973, beliau memenangi Hadiah Karya Sastera dalam bidang cerpen dan pada 1974, esei/kritikannya pula memenangi anugerah yang sama.
Shahnon juga adalah pemenang Hadiah Karya Sastera dalam bidang novel dengan judul Srengenge pada 1973. Seperti yang telah tersebut, Shannon mendapat gelaran Pejuang Sastera pada 1976 bersama-sama Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Usman Awang, Samad Said dan A.Samad Ismail.
Bedah siasat politik
Salah sebuah novel hebat Shannon adalah “Patriarch”, mengupas kepimpinan yang kejam lagi zalim. Novel ini, jika dilihat dari sudut sasteranya sangat hebat.
Ia berbentuk bedah siasat ke atas sistem politik belantara, suatu sindiran terhadap sistem politik yang bersifat binatang dan bertuhankan nafsu.
Patriarch sebagai karya seni mengutarakan teknik yang pelbagai, antaranya teknik stream of consciousness, monolog dalaman, imbas muka, imbas kembali, igauan ngeri dan bayangan-bayangan yang menakutkan. Tidak hanya kaya dengan teknik, kesesatan masyarakat dalam hal politik dan kepimpinan digelidah habis-habisan dengan penuh radang.
Bahasa daerah yang diguna pakai untuk menghidupkan novel ini menggamatkan lagi nurani audien dalam menjelajah mentaliti politikus-politikus.
Menurut Shahnon, kecelakaan dalam kepimpinan ini berpunca juga dari kewujudan ulama bisu yang ikut merestui semua jenis pengkhianatan ke atas rakyat, dipetik dari karya tersebut:
“Wajah Menteri TV tiba-tiba hilang; diganti dengan wajah ulama yang berjubah putih dan berserban jenis ikatan panjang pula ekornya. Janggutnya rapi dan di wajahnya tersirat juga kesenduan yang amat sangat. Ulama itu sedang menadah tangan sambil mulutnya terkumat-kamit.
“Ini semua awak punya fasal! Jerkah Budin, yang diterima sebagai Ketua The Heavy Metal itu bilamana menatap wajah ulama yang menunduk-nunduk itu.
“Ulama tak guna punya! Bukan awak kontrol politik. Politik pula kontrol awak. Inilah jadinya.” (Halaman 32)
Shahnon pernah mengakui yang Patriarch sebagai sebuah novel terhasil oleh kesakitan dan kepedihan melihat kezaliman dan pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin negara.
Kezaliman Patriarch sebagai pemimpin disumbat beria-ia menampilkan betapa kacaunya sistem politik kita.
Pemimpin gila kuasa ini lupakan amanah dan hanya bijak menabur janji. Pembohongan yang dilakukan menyebabkan rakyat yang berharap merana sendiri-sendirian.
Jelas, Patriarch terhasil dari pemerhatian terhadap kekalutan dalam sistem kepimpinan semasa Malaysia.
Ketika kali terakhir menziarahi al Marhum Cikgu, beliau memberikan kata-kata semangat untuk melawan pengharaman karya-karya saya.
Cikgu Shahnon juga sering bertanyakan mengenai Pak Samad Said, dan menyatakan kebanggaan beliau kerana Pak Samad berani turun padang.
Semoga Cikgu beroleh kebaikan dan kebajikan di dunia seberang. Al Fatihah.