
Tinggal beberapa hari lagi kita akan melangkah ke tahun 2018.
Apakah yang bakal kita hadapi pada tahun ini? Apakah tahun ini adalah tahun kalabendu? Apakah kita, umat Melayu akan diselamatkan setelah penyatuan dan ikrar Melayu di Perhimpunan Agung?
Menurut titik kepercayaan orang Jawa dengan pengaruh kejawen yang masih tepu, zaman kalabendu adalah zaman di mana kebatilan bertempur dengan kebenaran. Di ambang kalabendu akan terjadi satu musibah, semuanya berakibat dari keserakahan manusia.
Musibah itu berakibat dari mereka yang berkuasa ingin kekal rakus mempertahankan kekuasaan, sedangkan mereka yang belum berkuasa sepenuh daya memaksakan kehendaknya supaya kekuasaan dapat saling berbahagi.
Justeru hujung pertarungan nafsu rendah itu ialah terserlahnya sifat buruk manusia. Sifat buruk kedua-dua belah pihak (atau lebih) yang bersaing. Ia akan membumbung tinggi sehingga mencungapkan kita murbawan yang mendokong jalan lurus.
Terdapat ramalan “peteng arimemeng” di mana manusia semua akan bingung. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Politik bingung, ekonomi bingung, budaya bingung, kehidupan beragama jadi bingung. Kebingungan itu adalah kekacauan yang akan berakhir. Kerana nanti akan munculnya sinatria, lelaki budiman yang selama ini dipingit untuk menjadi pemimpin masa hadapan.
Benar, zaman kalabendu yang dinubuatkan oleh penyair besar Jawa, Ronggowarsito pada pertengahan abad ke-19, itu meramalkan betapa Tuhan akan menurunkan Ratu Adil untuk umat manusia. Tetapi, akankah dia muncul di tahun 2018?
Ini kerana menurut pembahagian zaman, kita telah terlalu lama hidup dalam kalatida, sebuah era atau zaman edan, yang mana akal sihat sudah tidak berperan dan diremehkan. Ia
bermula saat kewafatan Rasulullah s.a.w. Kalabendu adalah akibat dari kalatida, zaman hancur dan rosaknya kehidupan kerana tata susila dan nilai kebenaran berjungkiran merata-rata.
Tambah Ronggowarsito, setelah zaman kalatida dan kalabendu, bakal hadir pula zaman kalasuba. Sebuah zaman yang aman sejahtera. Zaman kestabilan dan kemakmuran yang bakal tertegak di tangan Ratu Adil yang dinantikan. Ratu Adil atau satria piningit.
Bagaimana Ratu Adil ini akan dimunculkan Tuhan di tengah manusia? Satria piningit itu adalah seorang pemimpin yang luhur, tegas dan berani. Seorang pemimpin yang tidak mementingkan dirinya, atau kelompoknya, tetapi lebih melihat keperluan dan kepentingan rakyat bawahan.
Dalam kepercayaan Jawa, kalabendu itu akan berakhir. Umat dituntut bersama-sama satria piningit itu. Dia ‘penyelamat’ kita. Satria piningit itu akan mengetuai manusia untuk memerangi ketidakadilan, keserakahan, dan hal-hal buruk lainnya.
Akan tetapi, tahun 2018 akan meneruskan banyaknya muslihat pada zaman kalabendu.
Itu ramalan saya. Zaman kalabendu adalah zaman yang konon mantap kestabilannya setelah kekuasaan diambil dari tangan Rasulullah.
Kestabilan yang dipamerkan ialah kestabilan yang alatnya adalah penindasan. Ketidakadilan malah didewakan. Pesan terdahulu disisihkan. Pewaris yang alim diabaikan. Pemimpin tak bisa ditegur. Rasuah dan penyelewengan dilindungi.
Kemewahan dipamerkan di tengah jerit rintih kaum miskin dan tertindas. Penjahat dengan cemeti dipahlawankan, malah cemeti itu dinamakan ‘cemeti keadilan’. Orang jujur ditertawakan. Malah dibunuh dengan darahnya memercik merata-rata.
Kata Ronggowarsito, untuk selamat di era kalatida, dan kalabendu, mereka yang berada di jalan yang lurus selalu sedar dan hidup dalam waspada, tidak terikut dalam permainan gila. Malah kadang, harus tidak melawan kerana tidak cukup senjata dan dokongan.
Kerana itulah, apabila nanti datang masa kerukunan kalasuba yang ditegakkan oleh Ratu Adil, manusia yang teguh di jalan lurus akan paling berbahagia.
Dalam tradisi Jawa, ketiga-tiga zaman itu adalah alamiah.
Ia bagai irama “wolak waliking zaman” atau “timbul tenggelamnya zaman”, atau “pergolakan zaman”.
Di mana-mana di ceruk dunia sekalipun akan ada zaman kepalsuan seperti kalabendu yang akan runtuh diganti kalasuba. Kita umat Melayu tidak terkecuali.
Ratu Adil itu adalah pemimpin yang sempurna, seperti yang terkandung dalam ajaran Hasthabrata; pemimpin dengan lapan anasir bumi. Pemimpin yang berwatak tanah, api, air, angin, matahari, bulan, bintang, dan awan.
Di dalam kepercayaan Jawa, pemimpin politik yang merupakan penyelamat itu akan punya ambeg pratala atau berwatak tanah. Seorang pemimpin yang senang memberi secara ikhlas. Baginda adalah pemimpin ambeg tirta atau berwatak air, yang selalu membuat ketenteraman dan kedamaian buat semua manusia.
Bahkan, pemimpin ambeg dahana, yang berwatak api yakni yang menjaga kewibawaan dan aib ummah serta tidak tamak dan terburu-buru meraih cita-cita. Baginda juga adalah pemimpin siasah yang ambeg murata, atau berwatak angin di mana ia adalah pemimpin penuh waspada, besar kecil tercakup dan tidak memilih-milih.
Sesuai citranya selaku “penyelamat”, baginda juga adalah tokoh pemimpin ambeg surya, berwatak matahari yakni seorang pemimpin yang berhati-hati menjalan tugas dan serba sabar dengan rakyatnya.
Selain itu baginda pemimpin ambeg candra yang berwatak bulan, pemimpin yang tidak kejam, berperilaku halus dan berbelas kasih kepada sesama. Baginda berwatak ambeg sudama iaitu berwatak bintang yang tidak mudah terpengaruh dengan noda dan goda, mantap pendiriannya dan tidak munafik pula.
Ratu Adil tentunya pemimpin ambeg mendhung, berwatak awan yang adil dan menjadi payung buat bangsa, negara dan seluruh umat manusia.
Tentu, akan ada yang terlongo dan menyangkal, mengapakah tidak pernah kedengaran darihal penyelamat sedemikian sempurna sebelum ini?
Mengapa? Kerana, Jawa, sebagai sebahagian keluarga besar Melayu tidak sahaja menggunakan bahasa harfiah untuk mengungkap pemikiran. Umat besar Melayu dipenuhi takwil dan kiasan untuk mengungkap wujud alam, wujud Al-Khalik dan wujud satria piningit.
Di tahun 2018, di perbahasan perhimpunan agung kita terlihat kelemahan umat Melayu berfikir, hatta daripada tokoh-tokoh Jawanya yang tidak lagi zahid dan zuhud. Maka tidaklah menghairankan banyak yang tersembunyi itu kekal menjadi rahsia sehingga kadang kita memerlukan the others untuk membukanya.
Melayu, satu masa dahulu, adalah Melayu, sebuah bangsa yang berpengalaman dalam merenung diri.
Inilah bangsa yang mungkin dimaksudkan oleh Rene Descartes sebagai bangsa yang mengetahui ilmu secara asliah.
Di tahun 2018, cultural literacy telah hilang. Bahasa Melayu yang halus menyimpan kekayaan pemikiran kini diganti bahasa Melayu yang gasang, bahasa polos, bahasa telanjang yang gagal mengungkapkan pengalaman.
Oleh kerana itu, bahagian paling penting dari menjadi Melayu iaitu memikir dan merenung ke dalam diri kerana berlapis dan berseliratnya abstraksi pemikiran kita sudah tidak terungkapkan dan menjadi khazanah yang tidak digali dan dibuka peti-peti rahsianya. Itulah puncanya mereka yang berusaha mengungkapkan rahsia Melayu dimusuhi dan disalahertikan.
Hingga yang ada adalah Melayu yang tidak memahami duduk satria piningit kerana mereka malas menggali peti rahsia bangsa. Mereka dijajah fikiran sehala. Mereka manusia pascamoden, manusia jenis David Hume yang mengatakan insan tiada daya berfikir secara refleksif. Manusia Melayu yang gagal merenungi gestalt pemikiran bangsanya.
Akan tetapi, kembali kepada Godot Melayu, Ratu Adil atau satria piningit adakah dia di tahun 2018? Di mana dicari pemimpin sebegini utama dan lengkap melainkan ia adalah seorang manusia yang suci dan disucikan? Seorang pemimpin yang ditabal oleh Tuhan, Allah sendiri, yang direstui Ilahi sepanjang zaman.
Apakah ia, sang penyelamat itu, Godot? Masakan?
Tentu ia lebih besar daripada Godot yang dinanti dalam kacau oleh Estragon dan Vladimir.
Jawapan yang tak ketahuan, Ratu Adil, atau Godot Melayu itu akan menjelmakah baginda sebagai natijah pembahagian zaman di tahun 2018. Apakah zaman kalasuba tiba akhirnya?
Atau 2018 adalah penerusan zaman kalabendu untuk setahun, empat, atau lima tahun lagi?
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.