
Namun begitu tiada satu pun rakaman video Pak Kassim berdialog dengan para agamawan pada masa itu wujud. Yang ada adalah video “ulama” melawat Pak Kassim beramai-ramai ketika dia sakit dan tidak dapat menyatakan hujah-hujahnya dengan jelas.
Itulah video yang membanggakan mereka – menyerang orang tua yang uzur. Undangan berdebat oleh generasi baru seperti saya pula tidak dihiraukan.
Sekarang, Pak Kassim sudah tiada dan tibalah masa untuk para agamawan menghunus pedang mereka untuk memenggal reputasi Allahyarham. Malah, ada yang menyuarakan bantahan mereka tentang pengurusan jenazah cara Islam dan pengebumian Pak Kassim di tanah perkuburan Islam, kononnya sebab Pak Kassim dikatakan murtad. Namun, dia selamat diurus dan dikebumikan.
Kritikan yang lebih membina ialah tentang pendekatan Pak Kassim dalam artikel yang mempunyai tajuk yang indah, “Kebumikan Legasi Sebuah Falasi”.
Artikel yang sedah menular ini kononnya ditulis oleh seorang ahli akademik tetapi malangnya, gagal dari segi logik.
Dari permulaan artikel ini, ia menggunakan apa yang dinamakan “circular logic”, iaitu logik yang membuat hujah daripada pihak sendiri (“Saya betul kerana saya kata yang saya betul”).
Ia mengatakan bahawa Pak Kassim mengundang kontroversi kerana “ia melibatkan dasar akidah dan prinsip asas syariat Islam”.
Dasar akidah dan hukum syariat Sunnah wal Jamaah tidak semestinya datang daripada Al-Quran sendiri. Ia adalah formulasi manusia terhadap nas Al-Quran dan penilaian manusia terhadap sesuatu hadis.
Umpamanya Rukun Islam. Tiada satu pun ayat Al-Quran yang mengumpul konsep syahadah, sembahyang, zakat, puasa dan haji sebagai kumpulan rukun. Ini adalah formulasi manusia yang mengumpul konsep ini dan menilai hadith jibril untuk memberi justifikasi.
Formulasi ini tidak semestinya salah, tetapi kita perlu jujur dan memperakui sifat subjektifnya.
Saya amat suka kenyataan penulis yang menyatakan, “Tidaklah kita arif apa niat sebenar beliau dan penyokongnya yang cuba menstruktur semula fundamental Islam yg telah kukuh terbina sejak awal. Hanya Allah yg tahu isi hati mereka”. Dia akan bersangka baik terhadap Pak Kassim dan pengikut-pengikutnya.
Alhamdulillah. Tetapi ingin juga saya bertanya – bagaimana pula dengan ulama zaman lampau? Adakah kita mengetahui niat dan isi hati mereka? Sudah tentu tidak!
Jadi bagaimana boleh kita membuat anggapan yang mereka telah membina struktur yang betul untuk mengeluarkan hukum Islam? Kita perlu menilai sesuatu sistem berdasarkan integriti logik sistem itu, bukan atas perkhabaran betapa alim atau warak pembina-pembinanya.
Allah berfirman di dalam Surah Ibrahim ayat 24-27, menyifatkan “kalimah tayyibah” (perkataan/ajaran yang baik) seperti pohon yang baik. Daripada akarnya yang kukuh di dalam bumi, ia akan menghasilkan buah pada setiap masa. Adakah “buah” ini boleh kelihatan dalam tamadun Islam sekarang? Rasanya tidak.
Di antara pengikut syariah sendiri, ada tuntutan untuk mereformasikan syariah kerana ia tidak adil kepada wanita dan minoriti. Jadi kalau sistem syariah itu membawa duka kepada manusia, ia bukan “kalimah tayyibah”. Ia perlu difikirkan semula.
Ahli akademik ini juga mendakwa yang Pak Kassim mempunyai “falasi dalam epistemologi”. Saya tertarik kepada frasa ini kerana bidang epistemologi adalah satu cabang falsafah yang memang menjadi kepakaran Pak Kassim.
Epistemologi adalah perbincangan tentang apa itu ilmu pengetahuan. Bagaimana manusia dapat mengetahui sesuatu dan sebagainya. Ia sebenarnya adalah paksi kepada falsafah kerana jika kita tidak tahu menilai ilmu, maka kita tidak dapat mengesahkan kebenaran.
Bagaimana pula Pak Kassim dikatakan mempunyai kesalahan dalam bidang ini pula?
Dari permulaan buku “Hadis – Satu Penilaian Semula”, dia memetik ayat Al-Quran 17:36 yang menyatakan bahawa ilmu itu datang daripada melihat, mendengar dan hati/minda. Pak Kassim hanya meminta yang umat Islam mengikut prinsip ini.
Dengan hadis, pengumpul hadis tidak pernah berjumpa sahabat atau Nabi sendiri, maka mereka hanya membuat anggapan tentang sumber mereka. Allah mengkritik orang yang mengikut anggapan berbanding orang yang mengikut kebenaran Al-Quran (6:114-116, 10:36-38).
Penulis artikel ini mengkritik Quranis. Katanya, “salahnya (iaitu permasalahan) hadis tidak dihujah dengan objektif, sebaliknya berdolak dalik. Hadiskah yang menyebabkan Islam mundur?”
Amatlah susah kita mahu berbincang tentang hadis secara objektif kerana hadis itu sendiri adalah pendapat manusia yang subjektif. Cuba fikirkan. Setelah peninggalan Nabi, orang yang datang kemudian terpaksa mengembara ke pelusuk dunia untuk mencari hadis. Mereka membuat penilaian sendiri dan kita yang hidup lebih seribu tahun selepas itu wajib mengikut mereka? Tidak objektif langung.
Saya hairan bagaimana ahli akademik yang boleh mengadu tentang epistemologi Pak Kassim boleh menggunakan kalimah “objektif” tentang satu bidang di mana penganutnya sendiri mengaku bahawa pengumpul hadis adalah manusia yang menggunakan akal semata-mata.
Penulis memarahi Quranis: “Bangganya mereka dengan akuan narsisistik begini (iaitu mengambil nama ‘quranis’)”.
Sebenarnya, label Quranis adalah untuk memperakui yang Islam itu bukan kepunyaan kami. Islam ada banyak cabang, Sunni, Syiah dan sebagainya dan kami pun cabang juga.
Hairannya, penulis adalah dari golongan Ahlus Sunnah yang dari label sendiri pun mengaku jadi pengikut nabi yang benar. Bukan “narsisistik” pula tu!
Sedihnya, inilah kualiti serangan ke atas Pak Kassim. Ia berhasil daripada tradisi ilmu yang tidak mementingkan logik dan melakukan banyak falasi, iaitu falasi dalam formulasi.