
Oleh Musram Rakuman
Darell Leiking daripada awal terlibat dengan parti pembangkang. Beliau hanya bersama Datuk Seri Shafie Apdal pada Oktober 2016 apabila bersama bekas naib presiden Umno itu menubuhkan Parti Warisan Sabah.
Oleh kerana Shafie merupakan presiden parti yang mereka tubuhkan, maka Darell menganggap presiden beliau itu adalah tokoh.
Ahli Umno lebih tahu siapa Shafie, dan tiada pemimpin atau ahli Umno menanggap Shafie seorang tokoh. Sebagai bukti, bahawa Ahli Parlimen Semporna itu bukan tokoh, tiada pemimpin Umno menyertai beliau apabila meninggalkan Umno.
Mereka yang menyertai Shafie, hanya macai beliau seperti Aziz Jamman, Jaujan Sambokong dan beberapa orang yang mendapat projek semasa wakil rakyat Semporna itu masih menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.
Shafie menjadi calon Umno pada tahun 1995 bagi kerusi Parlimen Semporna kerana ihsan bapa saudara beliau Datuk Sakaran Dandai (kini Tun). Shafie dipilih bertanding di kawasan itu untuk menggantikan bapa saudara beliau itu kerana dilantik sebagai Gabenor Sabah.
Kemenangan Shafie di kawasan itu, bukan kerana ketokohan atau kepimpinan beliau, akan tetapi kerana parti dan sokongan bapa saudara beliau.
Demikian juga semasa bertanding naib presiden Umno. Bukan kerana ketokohan beliau akan tetapi didorong bahawa keadaan yang mana Shafie pada masa itu merupakan “blueboy” Dato Seri Najib Razak.
Berasaskan kepada keadaan itu, maka ahli Umno Sabah mengharapkan, jika beliau menang salah 1 naib presiden Umno, maka harapan rakyat Sabah untuk dibela akan tertunaikan.
Namun kepercayaan Najib ke atas beliau disia-siakan, di mana seharusnya, beliaulah lebih arif berkaitan keperluan rakyat Sabah, akan tetapi peruntukan kerajaan Persekutuan berbilion ringgit tidak sampai kepada sasaran, akan tetapi bocor di tengah jalan.
Kini, pihak SPRM sedang menyiasat ke mana dana RM7.5 bilion kementerian daripada tahun 2009-2015 dibelanjakan. Ironinya, menurut SPRM tidak kurang RM1.5 bilion dana itu telah diselewengkan.
Kalaulah Shafie dianggap sebagai tokoh, sudah pasti ramai ahli Umno mengikuti jejak beliau. Namun sebagai bukti, dalam Umno Semporna sendiri, hanya Aziz dan Jaujan serta Eranza serta ketua wanita yang mengikuti jejak beliau, manakala pemimpin lain yang ada ketokohan tiada yang menyertai beliau.
Jika dakwaan Darell bahawa Shafie mampu menyatukan rakyat Sabah, tiada tanda-tanda untuk itu. Setakat ini, hanya Darell daripada KDM serta Junz Wong daripada kaum Cina menyertai beliau.
Darell, Junz seperti juga Shafie menjadi wakil rakyat kerana atas nama parti, bukannya ketokohan atau kepimpinan mereka.
Musram Rakuman adalah aktivis politik
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.