Za’aba dan ketuanan Melayu

Za’aba dan ketuanan Melayu

Pandangan Za'aba terkena pada batang hidung orang Melayu yang yang tidak memikirkan kepentingan kaum lain.

faisal-zaba
Terdapat seorang tokoh Melayu, namanya Za’aba, yang peribadi beliau sedikit dikesampingkan apabila nama nasionalis dibangkitkan.

Hari ini, tidak ramai yang mengenal Za’aba. Saya berpandangan ada baiknya idea Pendeta Za’aba disorot kembali menjelang Hari Kemerdekaan.

Nama sebenar Za’aba adalah Zainal Abidin Ahmad. Beliau adalah seorang sasterawan, ahli bahasa, filsuf dan pemikir Melayu dari keturunan Bugis dan Minang.

Sebagai cendekiawan Melayu, Za’aba mengecap status yang tinggi dan merupakan seorang ilmuan yang sangat dihormati. Beliau berkecimpung hampir 40 tahun dalam kegiatan penulisan dan penterjemahan.

Sebagai pengarang yang prolifik, hasil tulisan Za’aba meliputi bidang bahasa, sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan politik.

Za’aba sekarang dikeramatkan oleh ramai pihak selaku “pendeta”, “maha guru” dan pemikir Melayu yang berwibawa, terkenal dan dihormati.

Pandangan Za’aba mengenai perkauman

Terlepas dari kepakaran beliau, iaitu ilmu nahu bahasa Melayu, salah satu isu yang sering dibangkitkan oleh Za’aba dalam karya awal beliau adalah sikap perkauman dan diskriminasi pendidikan mahupun ekonomi atas nama perkauman.

Dalam hal ini, kita boleh berbangga Za’aba pernah menolak “Malay supremacy” (ketuanan Melayu) sebagai formula menjayakan negara Malaysia atau Malaya.

Sekiranya kita merujuk kepada Perkara 2 dalam Piagam Hak Asasi Manusia 1948 atau kependekan dalam bahasa Inggerisnya adalah UDHR 1948, ia menyatakan “setiap orang adalah berhak kepada semua hak-hak dan kebebasan yang termaktub dalam Perisytiharan ini, tanpa sebarang apa jua pembezaan, seperti bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, ugama, faham politik atau lain-lain fahaman, asal-usul bangsa keturunan atau sosial harta-benda, kelahiran atau apa-apa taraf lain”.

Dalam erti kata lain, tiada bangsa boleh mendakwa ketuanan tertentu ada di tangan mereka, dan dalam masa yang sama menghambakan yang lain.

Ia mungkin mengingatkan ramai antara kita bagaimana bangsa Burma merasakan diri mereka “superior” mengatasi kaum Rohingya, atau barangkali yang paling cepat menerkam benak ialah ketuanan Yahudi berbanding Arab yang dikenali sebagai Zionisme.

Perkara 2 Piagam Hak Asasi Manusia 1948 yang disinggung di atas menunjukkan diskriminasi atas nama kaum ditolak.

Seterusnya Perkara 26 (1) dan (2) terkandung dalam UDHR 1948 menyatakan bahawa “setiap orang adalah berhak kepada pelajaran. Pelajaran hendaklah diberikan percuma, sekurang-kurangnya pada peringkat awal dan asasnya. Pelajaran peringkat awal hendaklah diwajibkan. Pelajaran teknikal serta profesional hendaklah disediakan untuk umum dan pelajaran tinggi hendaklah mempunyai akses yang samarata kepada semua orang atas dasar kebolehan. Pelajaran hendaklah ditujukan kepada perkembangan sepenuhnya keperibadian manusia dan ke arah memperkukuhkan lagi rasa hormat bagi hak-hak dan kebebasan asasi manusia, ianya hendaklah memupuk persefahaman, kesabaran dan persahabatan di kalangan semua negara, bangsa atau kumpulan ugama, dan hendaklah memajukan segala kegiatan Bangsa-Bangsa Bersatu demi memelihara keamanan”.

Za’aba mengenai dasar menolong Melayu

Merujuk kepada Perkara 2 dan Perkara 26 di atas, Za’aba pernah menegur polisi pincang orang Melayu yang memberikan kelebihan, dan peluang kepada anak Melayu semata-mata.

Menurut Za’aba bangsa bukan Melayu yang sudah mendiami dan menghuni Malaya mestilah diberi hak yang setanding, memandangkan anak-anak kaum bukan Melayu turut menyumbang kepada kemakmuran negara ini.

Pandangan beliau itu tersemat dalam artikel beliau berjudul “Kemiskinan Orang Melayu” yang mula-mula terbit pada 1927, iaitu lebih 2 dekad sebelum UDHR digubal oleh PBB.

“Negeri ini sungguhpun negeri Melayu dan bumiputeranya yang jati orang Melayu, tetapi didiami oleh berjenis-jenis bangsa yang telah menolong benar pada membukanya dan menjadikan kemakmurannya, dan segala hasil-hasil yang dipungut padanya itu bukanlah sekali-kali daripada titik peluh orang-orang bangsa lain yang telah meramaikan negeri ini dan mengeluarkan kekayaan.

“Sebab itu tiadalah hak jika semua kelapangan dan pertolongan dan perbelanjaan kerana pelajaran dilebihkan terlampau sangat bagi orang-orang Melayu sahaja. Sesungguhnya demikian perhatikanlah! Dari dahulu sampai sekarang bukanlah sentiasa ada dikhaskan bagi anak-anak Melayu beberapa kelebihan (atas kadar yang patut) daripada bangsa-bangsa lain yang bukan punya negeri ini!”

Za’aba berpendapat bangsa lain selain Melayu juga mempunyai hak terhadap negara ini mereka berikhtiar dan independen mencari rezeki, bekerjasama membantu negeri ini tatkala ditimpa musibah selain ia merupakan kewajipan bangsa Melayu kerana itu adalah “tanggungan di atas tengkuk kita sendiri”.

Kebajikan tidak terhadap kepada orang Islam

Pandangan Za’aba tersebut tentulah kontroversial pada 1920an, dan memandangkan ia datang dari seorang yang dianggap sebagai nasionalis seperti beliau, idea besar Za’aba ini mesti dipugar, disegar dan diketengahkan sebagai satu kebijaksanaan tempatan.

Seterusnya dalam artikel beliau berjudul “Guna Kekayaan” yang terbit di Al-Ikhwan pada Januari 1927, Za’aba menyatakan “berbuat kebajikan”, “memberi pertolongan” dan memberi sumbangan tidaklah harus terhad kepada orang Islam sahaja.

Za’aba menegaskan amal kebaikan mestilah meliputi seluruh manusia:

“Kita hidup mesti membuat jasa, menolong orang, membuat kebajikan kepada orang. Kalau aku tidak salah ialah nabi kita yang berkata ‘khairun nas man yanfa’u nas’, yakni sebaik-baik manusia itu ialah orang yang mengalir manfaat daripadanya kepada manusia. Fasal kafir atau Islam, pahala tiada pahala tidak usah dikira. Itu Tuhan punya kerja.

“Perkataan ayat Nabi tidak tertentu bagi orang Islam sahaja tetapi ialah bagi semua manusia (an-nas). Apa erti kafir itu pun tidak usahlah aku sebut sungguhpun engkau tiada apa faham nampaknya, kerana itu mestilah besar dan pandang kait mengaitnya.”

Za’aba seterusnya berpandangan semangat kemasyarakatan mestilah didahulukan berbanding amalan atau kebajikan yang terpilih untuk satu-satu kaum sahaja.

Kritikan Za’aba terkena pada batang hidung orang Melayu yang menurutnya terlalu “self-centric” dan tidak memikirkan manfaat bersama, khusus melibatkan kaum-kaum lain yang mendiami Tanah Melayu pada waktu itu.

“Kita sangat kekurangan orang yang berperasaan gemar pada faedah-faedah ramai (orang yang ada public spirit kata orang putih). Barangkali yang berperasaan demikian belum ada satu orang dalam tiap-tiap 10,000 orang Melayu melainkan kebanyakan masing-masing menilik kepada faedah diri, loba kepada tembolok sendiri, tamak ke perut sendiri ‘kalau kita sendiri tak dapat faedah apa guna?’

“Sebab itulah apabila memungut wang kutipan kerana apa-apa hal kebajikan ramai, tiada pernah dapat bantuan banyak daripada orang Melayu (orang Cina jua yang menang!) istimewa pula jika pada perkara yang tiada memberi janji pahala atau mahligai dan bidadari dalam syurga.

“Kalau perkara yang tiada kebajikan bagi kaum seperti ronggeng-monggeng, tari-menari, boleh. Ada puaknya dan ‘kakinya’ yang membantu dengan suka hati dan berpenat-penat kerananya.”

Kebijaksanaan Za’aba di atas tidak bertentangan dengan Perkara 29 yang terkandung di dalam UDHR 1948.

Perisytiharan sejagat hak asasi manusia menyatakan, “setiap orang mempunyai kewajipan terhadap masyarakat” dan ini demi menjamin perkembangan, keselamatan dan keutuhan masyarakat demokratik.

Dalam tahun 1950an, apabila Za’aba semakin menjurus kepada agama, idea supaya pelbagai bangsa bekerjasama dan tidak mengabai satu sama lain masih menjadi inti penting dalam tulisan beliau.

‘Tak lebih Arab daripada Ajam’

Dalam artikel “Tak Lebih Arab Daripada Ajam”, Za’aba memetik peribahasa Melayu untuk mengukuhkan pandangannya:

“Kehidupan kaum manusia ialah kehidupan bersama, kehidupan pergaulan, kehidupan masyarakat iaitu singgit-menyinggit pada beberapa banyak hal-ehwalnya, sandar-menyandar dan sokong-menyokong di antaranya yang tiada dapat dipisahkan tercerai betul seorang dengan seorang.

“Jika tercerai dan terasing betul, tiap-tiap seorang menunggal sendiri, nescaya kekuranganlah kedua-dua pihaknya itu dan harus jadi rosak dan terbahaya langsung. Keadaan demikian ini telah terbuntat jadi kata geliga dalam bidalan Melayu yang berkata ‘hidup manusia sandar menyandar, umpama aur dengan tebing’, iaitu suatu pepatah hikmat yang amat benar tak dapat dicelah dicacat lagi. Jika dicongkah tebing nescaya terungkai aur lalu dihanyutkan oleh air, dan jika dibuangkan pokok aur itu nescaya hilanglah kekuatan tebing dan akhirnya lalu runtuh lalu ditumpu oleh air dan arus.”

Idea Za’aba di atas sama sekali tidak bertentangan dengan Perkara 1 yang terkandung di dalam UDHR 1948 yang menyatakan:

“Semua manusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi kemuliaan dan hak-hak. Mereka mempunyai pemikiran dan perasaan hati dan hendaklah bertindak di antara satu sama lain dengan semangat persaudaraan.”

Hari ini, Za’aba yang dikenali pernah membela minoriti agama seperti penganut Ahmadiyyah (atau mereka yang digelar ‘Qadiani’) mungkin sahaja menulis sebuah artikel yang hampir sama seperti di atas.

Cumanya judul artikel tersebut boleh jadi “Tak Lebih Wahhabi Daripada Sunni”.

* Faisal Tehrani ialah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan penerima Anugerah Seni Negara 2006.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.