
Kencing Tikus masyhur buat pertama kalinya di Tanah Melayu pada 1927. Dr William Fletcher, Pengarah Institute for Medical Research, Kuala Lumpur ketika itu membentang satu prosiding berkait penyakit jahanam ini di sebuah mesyuarat para pengamal perubatan.
Mesyuarat itu bertempat di 11, Chandos Street, Cavendish Square, London, pada 8 Disember 1927. Pembentangan beliau berjudul, “Recent Work On Leptospirosis, Tsutsugamushi Disease, and Tropical Typhus in the Federated Malay States” itu menarik perhatian ramai. Ini kerana hasil penemuan beliau di Tanah Melayu itu mengenai penyakit Kencing Tikus pada 1925 menjadi buah mulut para doktor dan saintis.
Malaya yang kaya
Ucapan Fletcher pada waktu itu perlu diberi perhatian. Ini kerana menurut beliau, Tanah Melayu atau Malaya pada 1925 tidak digolongkan sebagai sebuah negara kotor dan tidak sihat.
Malah Dr Fletcher menyatakan Malaya adalah sebuah negeri yang kaya, dengan prasarana luar biasa, dan pemerintah British waktu itu tidak teragak-agak mencurahkan wang dan keperluan untuk membangunkan penyelidikan perubatan.
Dr Fletcher bahkan menekankan institut yang beliau ketuai sedang diberi bangunan baharu di Kuala Lumpur. Beliau turut menyatakan betapa hospital daerah Kuala Lumpur lengkap dengan 750 katil, sementara Hospital Malaya pula mempunyai 100 katil.
Justeru, oleh kerana Malaya adalah sebuah negara yang sepatutnya sihat dan kaya raya, penemuan leptospirosis atau Kencing Tikus pada manusia adalah sesuatu yang membingungkan, dan membimbangkan.
Kes pertama Dr Fletcher adalah sesuatu yang tidak disengajakan. Beliau dan pasukannya sedang cuba memahami penyakit demam tifoid (tropical typhus). Mereka, selaku saintis Inggeris melakukan kunjungan ke hospital demi hospital untuk mengambil darah pesakit yang dijangkiti demam tanpa sebab atau punca jelas.
Dr Fletcher terkejut dengan penemuan tersebut yang disebabkan oleh bakteria leptospirosis icterohemorrhagiae. Beliau seterusnya menemukan serotip lain daripada genus leptospira di dalam sampel biologi daripada 21 orang pesakit, iaitu leptospira hebdomadis dan leptospira prrogens.
Pada 1926, terdapat 4 kes dikesan di Singapura oleh saintis Galloway. Berturutan itu, pada 1927, Dr Fletcher dan pembantunya Dr Kanagarayer dapat mengenal pasti Kencing Tikus pada 4 pesakit di Hospital Besar Kuala Lumpur.
Pesakit menunjukkan simptom demam kuning (jaundis). Fletcher seterusnya menemukan 32 kes dalam kalangan penoreh getah dan buruh ladang.
Sumbangan Fletcher
Dapatan Dr Fletcher sangat penting. Kerana usaha beliau, petanda Kencing Tikus seperti demam panas, sakit otot, sakit kepala, muntah, cirit-birit dan mata merah mulai difahami sebagai gejala awal leptospirosis. Ia diikuti oleh ruam, demam kuning dan kesilauan mata terhadap cahaya. Ia diikuti oleh merosotnya penglihatan pesakit.
Simptom membingungkan ini berlanjutan beberapa hari malah berminggu-minggu. Oleh kerana simptom leptospirosis tampak begitu umum, dan pesakit pula ada yang kelihatan beransur sihat selepas kira-kira 5 hari, ia sering disalaherti sebagai demam panas, atau demam selesema.
Kajian perubatan daripada pelbagai pakar kemudiannya mendapati kebanyakan mereka yang dijangkiti leptospirosis adalah para askar yang bertugas waktu Malaya melalui zaman darurat, termasuk buruh di estet dan ladang, dan pekerja pembersihan. Jangkitan leptospirosis di Malaya ini didapati sebahagian besarnya angkara tikus yang menyebabkan penyakit ini juga dikenali sebagai Kencing Tikus.
Beberapa tahun lalu jangkitan Kencing Tikus kerap dikaitkan dengan rekreasi air. Misalnya Kencing Tikus yang mengakibatkan 304 atlet dari 26 buah negara untuk satu acara antarabangsa cabaran eko dalam tahun 2000 di Sabah. Meskipun tiada kematian direkodkan, tetapi 29 orang pesakit menerima rawatan di hospital.
Kajian sekumpulan saintis dari Amerika Syarikat mendapati peserta sukan lasak ini dijangkiti setelah berkayak di Sungai Segama. Setahun sebelum itu, antara 13 ke 21 Oktober 1999, 46 pesakit lelaki berusia 8 ke 19 tahun dimasukkan di Hospital Beaufort, Sabah setelah berenang di dalam sebuah jeram di Kampung, Kebatu, Beaufort.
Dua kes yang melanda dengan jumlah besar ini harus dipandang serius, dan meletakkan Malaysia secara mengaibkan dalam peta pengamal perubatan.
Kaitan dengan persekitaran kotor
Namun kajian terkini mendapati Kencing Tikus dihubungkan dengan persekitaran yang kotor, penempatan yang sesak dan masalah kemiskinan.
Bahkan oleh kerana Malaysia sering dilanda banjir kilat dan bah besar, Kencing Tikus menunjukkan penularan yang serius setiap kali bencana tersebut berlaku.
Sebagai contoh 20 kes dicatatkan antara 19 Disember 2006 sehingga 19 Februari 2007 setelah berlakunya dua kali gelombang bah besar yang melanda negeri Johor.
Sebab musabab di atas menjadikan Malaysia sekali lagi muncul dalam peta penyakit, sepertinya pada tahun 1925. Jika 263 kes Kencing Tikus dicatatkan pada tahun 2004, tahun 2009 memperlihatkan 1,418 kes.
Antara Januari 2004 sehingga Disember 2012 terdapat 12,325 kes leptospirosis dengan 338 kematian.
Satu poin yang jangan dikesampingkan adalah populasi penduduk bandar di Malaysia adalah 54.7% dalam tahun 1995 dan meningkat 73% menjelang 2010. Apakah kepadatan penduduk di bandar ini seiring dengan kemajuan sistem perparitan yang mengakibatkan banjir kilat?
Jika Kencing Tikus dikhuatiri pada 1925, apakah tidak ada sebab kukuh untuk pihak berwajib juga berasa bimbang dengan jumlah rakyat Malaysia yang perangkaan setakat Julai 2016 menunjukkan terdapatnya 30,949,962 warga.
Populasi jumlah tikus yang disebutkan oleh penyelidik Lim VKE pada 2011 dalam kajian berjudul “Leptospirosis: a re-emerging infection” untuk Malaysian Journal of Pathology adalah 247, 599,696 (purata 8 ekor untuk seorang manusia).
Ini bermakna, kita di Malaysia hidup dan bernafas, bergelumang dan bermuamalat dengan jutaan tikus sehari-hari.
Apakah kerajaan akan membiarkan sahaja Malaysia diseertikan dengan negeri tikus? Jika 1925 kita dirujuk selaku negeri sihat oleh Dr Fletcher, bolehkah gelaran itu diterima pakai lagi hari ini apabila kematian seorang pelajar tahfiz tidak dapat dikenalpasti lebih awal, apakah kerana trauma dipukul atau gara-gara Kencing Tikus?
Tidakkah ini sesuatu yang sangat gerhana di saat tahun 2020 makin mendekat kerana, ternyata Kencing Tikus tidak menunjukkan tanda meleset sejak tahun 1925. Malah menjadi semakin ketara dan parah.
Tidakkah kita belajar daripada sejarah?
Faisal Tehrani ialah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan penerima Anugerah Seni Negara 2006.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.