
Saranan Centhra ini, meskipun satu pencabulan hak asasi manusia, dan sememangnya satu cadangan yang bahaya, sebenarnya mencerminkan perbalahan mengenai kemerdekaan beragama di peringkat sejagat.
Sebelum aktivis hak asasi manusia dari kedua-dua kem (menyokong atau menentang pengharaman evangelicalisme) terus berbalah, mereka perlu mengetahui dan mencerna satu hakikat yang sukar: kebebasan beragama walaupun merupakan isu sangat besar dalam arena hak asasi manusia, masih merupakan bahagian yang paling terabai dalam gerakan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa dan tempatan.
Mengapakah ini berlaku? Terdapat beberapa sebab masalah ini terjadi di peringkat global.
Begini, terdapat sekurang-kurangnya 28 instrumen hak asasi manusia di peringkat antarabangsa yang memberi peruntukan mengenai kebebasan beragama, namun, tiada satu kovenan yang khusus untuk kebebasan beragama.
Pada 1976, “International Covenant on Civil and Political Rights” (Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik) diterima pakai dan pada Artikel 27 menyatakan: “In those states in which ethnic, religious or linguistic minorities exist, persons belonging to such minorities shall not be denied the right, in community with the other members of their group, to enjoy their own culture, to profess and practise their own religion, or to use their own language.”
Artikel ini secara jelas melindungi hak minoriti beragama dan menuntut pemerintah agar memperaku dan melindungi mereka.
Rentetan dari itu juga pada 1978, satu usaha berjalan untuk terus melindungi minoriti agama yang membolehkan lahirnya “Declaration on the Rights of Persons Belonging to National or Ethnic, Religious and Linguistic Minorities 1992”. Tetapi tanpa satu “covenant” khusus, kebebasan beragama tetap terabai dan dianaktirikan di peringkat antarabangsa.
Di peringkat tempatan, “International Covenant on Civil and Political Rights 1976” ini ditolak mentah.
Sebagai contoh, Delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) ke Geneva, Switzerland pada 2013 menyatakan kegusaran lantaran tekanan antarabangsa supaya Malaysia menandatangani “International Covenant on Civil and Political Rights 1976” ini.
Alasan terbesar adalah ICCPR memberi ruang kebebasan untuk kumpulan minoriti agama dan ia akan membenarkan hak kebebasan menukar beragama.
Untuk makluman Centhra, bantahan mereka adalah kolot. ICCPR ditandatangani oleh 167 buah negara. Ketika sidang UPR Malaysia pada 24 Oktober 2013, Palestin (sebuah wilayah Islam) dan Sierra Leone (anggota OIC) telah bertindak menyuarakan pandangan supaya Malaysia segera memeterai perjanjian antarabangsa ini.
Selain Palestin, negara lain yang mendesak Malaysia menandatangani ICCPR adalah Slovakia, Ukraine, Belanda, Australia, Hungary, Jepun, Switzerland. Mesir, Jordan, Bahrain, Iraq, Iran, Maghribi, Lubnan, Sudan, Syria, Turki, Algeria, Pakistan, Indonesia, Yaman dan Afghanistan adalah antara negara Islam yang menandatangani ICCPR.
Sebagai sebuah negara Islam yang bercita-cita kelihatan moderat di peringkat antarabangsa, keraguan untuk menandatangani ICCPR tidak mencerminkan hasrat wasatiyyah pimpinan negara ini. Melainkan Malaysia ingin mencontohi negara Islam yang tidak menandatangani ICCPR iaitu 2 blok Wahhabi (yang kini berseteru), Arab Saudi dan Qatar.
Pada 1962, atas saranan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), satu usaha dikemukakan untuk menjadikan kebebasan beragama satu realiti. Oleh kerana usaha tersebut terlalu lambat, pada 1972, PBB menyarankan supaya satu draf deklarasi dikemukakan terlebih dahulu.
Pada 25 November 1981, selepas lobi yang cukup memenatkan, “Commission on Human Rights” menyiapkan draf tersebut dan diterima pakai tanpa undi. Walau bagaimanapun, ia masih bukan “covenant”.
“Declaration on the Elimination of All Forms of Intolerance and of Discrimination Based on Religion or Belief 1981” ini adalah instrumen antarabangsa paling penting dan utama setakat ini di peringkat antarabangsa yang membolehkan pelantikan “Special Rapporteur on freedom of religion or belief”. Peranannya bukan sahaja mengawasi dan merekodkan tindak-tanduk kerajaan yang melanggar hak-hak kebebasan beragama tetapi juga memberi kemudahan melakukan dan menyediakan prasarana dialog antara kerajaan dan minoriti agama.
Laporan yang disediakan oleh “Special Rapporteur on freedom of religion or belief” sekali lagi bukan sesuatu yang perlu dipatuhi memandangkan (malangnya) “Declaration on the Elimination of All Forms of Intolerance and of Discrimination Based on Religion or Belief 1981” bukan mempunyai kuasa perundangan.
Kita perlu sedar, tanpa satu kovenan khas untuk melindungi kebebasan beragama di peringkat dunia, selagi itulah juga kumpulan seperti Centhra bermaharajalela.
Mengapakah sukar untuk negara anggota PBB memutuskan satu kovenen yang melindungi kemerdekaan beragama?
Terdapat 3 sebab kebebasan beragama masih gagal diangkat sebagai sebuah perjanjian.
Pertama, isu yang menyebabkan pertelingkahan pendapat antara negara anggota PBB. Ia antara lain adalah berganti keyakinan (agama), dan hak kanak-kanak untuk menukar agama.
Kedua, dakwaan hak asasi manusia adalah produk sekularisme justeru tidak dapat melindungi agama. Golongan beragama (tidak semestinya Islam) sukar menerima golongan tidak beragama juga menikmati perlindungan dan kemerdekaan beragama malah diletakkan dalam kategori yang sama.
Ketiga, tidak terdapatnya satu konsensus paling asas antara golongan beragama untuk menyelesaikan isu seperti “pemaksaan dalam beragama”.
Permintaan Centhra agar kerajaan Malaysia menggubal undang-undang anti-evangelicalisme bukanlah sesuatu yang aneh, tetapi merupakan satu gambaran tiadanya kesepakatan antara aktivis hak asasi manusia di peringkat global sendiri.
Ia adalah duri dalam daging kerana tiada satu kovenan tergubal sehingga setakat ini. Meskipun demikian saya secara peribadi menganggap saranan Centhra ini adalah salah dan berasaskan kebencian terhadap agama.
Faisal Tehrani atau Dr Mohd Faizal Musa ialah kolumnis FMT, dan merupakan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.