Centhra dan perjuangan songsang hak asasinya

Centhra dan perjuangan songsang hak asasinya

Pertubuhan ini mendakwa memperjuangkan hak asasi manusia. Benar atau tidak, boleh dijawab dengan melihat kenyataannya baru-baru ini.

centhra

Hak asasi manusia adalah frasa yang mempunyai kuasa yang amat emotif dalam perbincangan global pada hari ini.

Jika sesuatu organisasi itu mendakwa diri mereka sebagai pejuang hak asasi, ia dipandang mulia dan dibela segenap lapisan masyarakat.

Sememangnya, ada organisasi yang benar-benar berbuat demikian seperti Amnesty International. Tetapi ada juga yang hanya memperjuangkan hak sebahagian daripada rakyat jelata sahaja dan menyamun hak sebahagian rakyat yang lain tanpa segan silu.

Sebelum kita mengupas isu ini, kita perlu mengiktiraf yang konsep hak asasi manusia mestilah mempunyai keseimbangan daripada segi falsafah.

Dalam bahasa Inggeris, ada peribahasa, “your freedom ends where my nose begins” (kebebasan kamu berakhir di hujung hidung saya). Maksudnya, hak seseorang itu tidak boleh melewati ruang orang lain. Jika pencerobohan sebegini berlaku, maka keseimbangan dalam hak akan hilang dan begitu juga keadilan. Ini akan membuka ruang untuk penindasan berlaku.

Centre For Human Rights Advocacy (Centhra) adalah organisasi yang mempunyai mandat yang cukup hebat bunyinya, iaitu mendirikan suatu pemahaman hak asasi manusia yang kononnya lebih seimbang daripada hak asasi manusia yang universal daripada Perubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Maksud “lebih seimbang” di sini ialah “lebih selari dengan nilai-nilai menindas”. Sebelum kita melihat penindasan Centhra, perlu memahami yang hak asasi manusia yang universal dan hak asasi manusia versi golongan Islam yang menindas pihak lain tidak boleh wujud dengan harmoni.

Contoh paling ketara ialah kebebasan beragama. Hak asasi manusia yang universal memberi kebebasan beragama yang mutlak kepada setiap individu, tetapi dalam sistem perundangan Islam yang difahami kini, orang Islam yang murtad akan dibunuh. Ini sudah jelas terbalik, maka tiada kemungkinan kita dapat mengharmonikan kedua sistem ini.

Baru-baru ini, jurucakap Centhra, Azril Mohd Amin, mendakwa gerakan evangelisme dalam agama Kristian di Malaysia patut dibendung. Azril memuji tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengharamkan acara “Jerusalem Jubilee” pada minggu yang lepas.

Menurut Azril, acara ini menggugat keharmonian di antara agama dalam negara kita dan begitu juga dengan aliran evangelikalisme dalam agama Kristian.

Bagaikan cuba menegakkan benang basah, dia memberi tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, “tugas pemerintah untuk melindungi akidah umat Islam atas hakikat kedudukan Islam sebagai agama negara berdasarkan Perkara 3(1), serta tanggungjawab memelihara keharmonian beragama di negara ini yang dijamin Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan”.

Adakah ini satu tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang seimbang dan menyeluruh? Sebenarnya, ia amat berat sebelah!

Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada setiap rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing. Benar, mereka tidak dibenarkan berdakwah kepada orang Islam tetapi Jerusalem Jubilee tidak pernah dibuktikan berbuat begitu.

Jadi di mana hak asasi manusia yang sepatutnya diberikan kepada orang Kristian beraliran evangelisme? Mengapakah mereka disyaki tanpa sebarang bukti oleh PAS sebagai mempunyai agenda “Kristianisasi” dan “Zionis” dan ditempelak pula oleh Centhra?

Jika Azril dan kuncu-kuncunya benar-benar memperjuangkan nilai Islam, mengapa mereka membuat tuduhan melulu tanpa menunjukkan sebarang bukti? Ini sudah bercanggah dengan prinsip Al-Quran sendiri (Al-Isra’, ayat 36).

Rasa lebih berhak daripada lain

Azril menegaskan yang “kehadiran pertubuhan (Persatuan Evangelikal Amerika) pada awalnya adalah untuk mengimbangi kelompok fundamentalis yang terlebih dahulu membentuk American Council of Christian Churches (ACC)”.

Dalam falsafah, ini dinamakan “sense of entitlement” (iaitu sentimen yang diri sendiri berhak lebih daripada yang lain).

Azril menampakkan sentimen ini apabila dia mentakrifkan gerakan evangelikalisme sebagai “fundamentalis”. Adakah gereja di Malaysia semestinya begitu?

Fikrah sesuatu tradisi itu boleh berubah mengikut masa. Yang dulunya fundamentalis tidak semestinya selalu begitu. Dan jika mereka benar-benar bersifat fundamentalis, adakah mereka berhak berfikiran begitu?

Kebanyakan umat Islam di Malaysia, hasil daripada penyelewengan golongan asatizah, dengan senangnya boleh mengkafirkan orang bukan Islam dan menghumban mereka ke dalam neraka. Adakah Azril akan melawan sifat fundamentalis ini juga?

Saya tidak menjumpai sebarang rungutan dalam laman web Centhra tentang umat Islam yang fundamentalis. Jadi, rasanya tidak.

Maka adakah Centhra menegakkan hak asasi manusia?

Menurut Centhra, Kristian evangelikal “memunculkan sikap beragama baharu yang cenderung terhadap positivisme, kebebasan yang tanpa batas dan kecenderungan terhadap keterbukaan tanpa kawalan”. Mengapa ini menjadi satu masalah kepada Azril dan Centhra? Dr Zakir Naik boleh mengumumkan orang masuk Islam tanpa ada masalah. Bahkan, seorang gadis bawah umur dinampakkan di kaca TV sehingga ibu bapanya malu kepada komuniti mereka.

Adakah Azril memprotes acara sebegini yang sebenarnya seperti Kristian evangelikal di Amerika Syarikat? Tidak pula saya dengar.

Keharmonian di antara agama itu sebenarnya perkara “give and take”, tolak ansur. Centhra tidak peduli apabila agama lain diperlekehkan tetapi cukup mengesyaki agama lain tanpa bukti.

Ia sebenarnya bukan memperjuangkan hak asasi manusia, tetapi hak untuk menindas golongan lain.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.