Poligami, ‘hak’ yang melukakan

Poligami, ‘hak’ yang melukakan

Hak berpoligami melukakan hati wanita, sama ada mereka terima dengan reda, rajukan mahupun amukan, pasti mereka terluka kerananya.

poligami
Oleh Amalina Ismail

Mengapa bila soal poligami dibangkitkan, lelaki akan cuba menerangkan hikmah poligami daripada sudut membantu janda dan anak yatim?

Jarang ditekankan soal bahayanya poligami yang mampu memperjudikan nasib dan masa depan diri, isteri dan anak jika sang suami tidak mampu berlaku adil baik dalam pengurusan ekonomi dan emosi di dunia ini, mahupun soal menanggung dosa di akhirat sana.

Sejak kecil saya dibesarkan dalam persekitaran beragama yang kuat. Lima tahun bersekolah agama membuatkan saya mengakui betapa konservatifnya saya berbanding teman lain bila melangkah ke alam universiti.

Saya meyakini poligami sesuatu yang dihalalkan agama. Malah mengharamkan poligami barangkali menafikan hukum Tuhan.

Saya membaca banyak penulisan bagaimana Islam mengangkat martabat wanita dengan memberikan hak yang sama rata bagi semua isteri melalui poligami berbanding budaya barat yang tidak membenarkan perkahwinan lebih daripada satu isteri, tetapi membiarkan leluasanya budaya memiliki kekasih gelap atau perempuan simpanan. Ini jelas menafikan semua hak wanita tersebut selagi dia tidak sah menjadi isteri, yang hanya akan berlaku jika isteri yang sedia ada diceraikan dan lelaki tersebut berkahwin dengannya.

Maka, saya tidak punya masalah dengan poligami sehingga saya semakin dewasa dan membaca realiti poligami sama sekali jauh daripada hakikat keadilan dan hak yang sama untuk semua wanita yang dimadukan.

Ibu saudara saya yang dimadukan bukan saja tidak mendapat nafkah yang sewajarnya daripada suami yang sudah pun beristeri kali kedua, malah, beliau dengan menelan kepahitan dimadu sanggup memberikan “sedekah” kepada suami dan isteri yang baru dinikahi barangan perkakas rumah atas dasar kasihan kepada wanita yang sudah pun berbadan dua itu. Semoga Allah merahmati pengorbanan dan kemurahan hatinya.

Saya tidak menafikan kesabaran dan ketabahan menjalani kehidupan yang penuh mehnah. Ujian dan cabaran adalah hakikat yang perlu dilalui setiap insan. Namun, kegagalan untuk menjadi manusia yang bertanggungjawab kerana menuruti hawa nafsu adalah sikap buruk yang mesti dibuang jauh daripada terus membarah dan merebak dalam masyarakat.

Prof Tariq Ramadan ada menyebut, kita mempunyai hak, tetapi tidak semua hak itu mesti kita pertahankan dengan melukakan hati orang lain.

Sebagai contoh, atas kebebasan bersuara, kita boleh saja mencerca dan menghina orang lain, namun, adakah kita wajar menggunakan hak tersebut tanpa mengira hati yang akan terluka kerananya?

Begitulah dengan poligami yang disebut hak bagi orang lelaki yang tidak wajar dipersoalkan oleh kaum wanita. Namun, jelas hak tersebut akan melukakan hati wanita jika dilakukan. Sama ada mereka terima dengan reda, rajukan mahupun amukan, pasti mereka terluka kerananya.

Maka, alangkah baiknya jika lelaki menjadi manusia yang bertanggungjawab untuk tidak melukakan hati wanita dengan tidak cuba mempertahankan hak tersebut.

Saya memang tidak ada masalah dengan hak untuk berpoligami. Namun, saya sangat bermasalah dengan hati yang terluka kerananya. Jiwa yang merana zahir dan batin kerananya.

Kelukaan itu sudah pun terasa bila mana lelaki menyuarakan keinginan (untuk berpoligami) biarpun masih tidak melaksanakannya. Seakan kasih dan cinta yang diberikan seluruh jiwa oleh si isteri hanya diterima separuh hati oleh sang suami.

Kesan terhadap anak

Maka kedewasaan dan pemerhatian terhadap kehidupan mengubah perspektif saya bahawa poligami tidak boleh disanggah kerana ia adalah hukum yang ditetapkan Tuhan. Mana mungkin ia tidak boleh dibantah dan dibenci jika ia bukan saja mengusik emosi malah membuatkan wanita terpaksa menanggung dari sudut material bila ada suami yang mengabaikan nafkah dan tidak berlaku adil.

Ini tidak termasuk bebanan emosi yang ditanggung anak. Anak yang melihat ibunya dilukakan bapa sendiri kadang-kala berdepan rasa dikhianati yang lebih mendalam berbanding ibunya.

Perasaan ayah bukanlah lelaki yang boleh dijadikan contoh tauladan menyebabkan anak mengalami krisis kepercayaan yang serius. Mereka akan cenderung memberontak dan mudah hilang pertimbangan. Keliru dengan kehidupan ditambah dengan orang dewasa yang sama sekali tidak boleh dipercayai membuatkan mereka tercari-cari jalan keluar dan barangkali tersilap pilihan.

Saya tidak menafikan ada lelaki yang berjaya mengemudi bahtera rumah tangga dengan aman sentosa walaupun mengamalkan poligami. Namun, tidak semua lelaki yang mampu berbuat demikian. Lebih ramai yang hanya tahu melukakan dan gagal bertanggungjawab.

Lelaki seperti ini bukan saja merosakkan nama poligami tapi hakikatnya menjejaskan kebenaran agama Islam yang membenarkan poligami dengan tidak berlaku adil, menindas dan melukakan hati wanita.

Nabi dan poligami

Nabi ada menyebut bahawa lelaki terbaik adalah yang paling baik dalam melayan wanita dan baginda adalah yang terbaik dalam memberi layanan kepada isterinya. Tidak menafikan, Nabi Muhammad sendiri berpoligami. Namun, baginda tidak menduakan Siti Khadijah sepanjang usia perkahwinan mereka. Baginda hanya berpoligami atas perintah Allah dan urusan penyebaran agama. Malah, baginda sendiri melarang Saidina Ali memadukan anaknya Fatimah kerana tahu Saidina Ali walaupun seorang yang tinggi ilmu agama tidak akan mampu untuk berkahwin lebih daripada satu.

Ini bermaksud tidak ada salahnya menghalang poligami kerana Nabi sendiri pernah melarangnya.

Satu lagi arahan Nabi ialah “Jika engkau melihat seorang wanita, lalu ia memikat hatimu, maka segeralah datangi isterimu. Sesungguhnya, isterimu memiliki seluruh hal seperti yang dimiliki oleh wanita itu.” (Hadis Tirmidzi)

Malah di dalam Al-Quran, Allah perintahkan lelaki supaya menundukkan pandangan apabila bertemu wanita. Dan kalaupun terpandang dan tertarik di hati, Nabi pesan untuk pulang kepada isteri. Nabi tidak menyuruh untuk berkahwin lagi.

Oleh sebab adanya lelaki yang gagal memahami sunnah Nabi, namun obses dengan hak berpoligami tapi culas berlaku adil, maka kesucian dan keindahan Islam dicemari.

Muncul golongan feminis yang anti poligami dan ekstrem melihat Islam menindas wanita hanya kerana lelaki yang menurut hawa nafsu sedang Islam tegas memerintahkan untuk menundukkan nafsu. Tidak kurang saya kira golongan feminis ini muncul dari mereka yang mengalami kehidupan di mana lelaki dalam hidup mereka gagal memainkan contoh tauladan yang terbaik untuk mereka yakin dan percaya.

Maka itu lelaki perlu menghayati maksud “qawwam” yang disebut di dalam Al-Quran, bukan sekadar memastikan wanita menurut arahan dan kemahuan mereka. Tapi lebih daripada itu menjadi pendamping yang setia, mendidik dengan sabar dan mencintai dengan penuh ikhlas kerana Allah.

Amalina Ismail ialah aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.