Cara betul berdepan Zakir Naik

Cara betul berdepan Zakir Naik

Di satu pihak penyokong Zakir Naik menunjukkan kedangakalan hujah, di satu pihak lain puak ekstremis liberal mengangkat tuduhan keganasan. Tetapi ada banyak cara lain menolak Zakir Naik.

zakir-naik_600

Sejajar dengan seruan Datuk Seri Najib Razak untuk melestarikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan pendekatan wasatiyyah bersendikan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, maka dalam membentuk identiti tersebut, sewajarnya kita mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan Ahlus Sunnah daripada sudut akidah, syariat dan juga akhlak.

Ini kerana kita berhadapan dengan pelbagai corak ekstremisme yang bertopengkan Ahlus Sunnah, seperti kumpulan ekstremis radikal IS yang mencalar kesucian Islam.

Terdapat juga kelompok pelampau yang menjadikan liberalisme sebagai akar-budi mereka. Pelampau liberalisme ini melonggarkan segalanya hatta pegangan agama.

Malangnya, kumpulan ini mendakwa merekalah golongan Ahlus Sunnah hakiki yang memperjuangkan kebenaran sehingga orang awam terperdaya dengan seruan batil mereka.

Ektremisme IS dikaitkan dengan fahaman Wahhabiyyah, manakala puak pelampau liberalisme dinisbahkan kepada ideologi pluralisme dan atheisme. Turut terkena tempias polemik ini ialah pendebat terkemuka Dr Zakir Naik yang dilabel sebagai pengikut Wahhabi yang menggalakan keganasan.

Baru-baru ini, sekumpulan 19 aktivis memfailkan tuntutan mahkamah menuntut antara lain, satu perintah penangkapan dan pengusiran Zakir yang dikatakan bersembunyi di Malaysia setelah satu waran tangkap dikeluarkan oleh India. Mereka mendakwa ajaran doktor perubatan tersebut menggalakkan keganasan dan merosakkan perpaduan berbilang kaum dan keamanan di Malaysia.

Pro dan kontra Zakir Naik

Namun bukan perihal keganasan yang ingin dibahaskan di sini. Apa yang ingin dibahaskan ialah dakwaan fahaman yang dibawa Zakir tidak selari dengan Sunnah Wal Jamaah. Isu ini perlu dicermati dengan akal yang sejahtera dan fikiran terbuka.

Pihak yang menyokong beliau mempunyai hujah, begitu juga mereka yang menyangkal mempunyai hujah yang mesti dipertimbangkan menurut dalil syarak dan neraca keadilan.

Kita tidak boleh menafikan sumbangan Zakir kepada dunia Islam. Melalui perdebatan, beliau berjaya menarik ramai orang mencecah ratusan memeluk Islam.

Tidak dapat dinafikan juga minat terhadap Islam bercambah melalui sesi debat Zakir. Jasa beliau ini diiktiraf Malaysia pada 2013 dengan menobatkan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah.

Namun, anugerah tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai lesen mutlak yang membenarkan segala fahaman beliau tentang Islam, sebagaimana ia tidak boleh diertikan sebagai tauliah yang menjamin kemaksuman ajaran yang dibawa. Anugerah itu hanyalah satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan beliau sebagaimana penyanyi tanahair Nassier Wahab pernah dikurniakan anugerah yang sama pada 2016.

Difahamkan pemilihan Nassier adalah kerana beliau banyak berjasa, menyumbang tenaga bakti demi mengharumkan nama serta meningkatkan mutu hidup masyarakat Melayu Pulau Pinang. Ini bukan bermaksud Nassier Wahab secara automatik bergelar ulama ataupun ilmuan Islam; ia juga tidak menjamin kebenaran beliau dalam bab agama.

Kebaikan yang dizahirkan oleh kedua-dua tokoh ini serta sumbangan besar mereka kepada masyarakat perlu diiktiraf, dan anugerah Tokoh Maal Hijrah tersebut dilihat sebagai sesuatu yang wajar. Ia adalah salah satu sarana untuk memartabatkan kedudukan Islam di persada dunia.

Hakikat ini perlu diterima oleh semua pihak dengan hati yang rela dan umat Islam seharusnya berbangga dengan kejayaan tersebut, khususnya mereka yang tidak sependapat dengan Zakir.

Kedangkalan hujah penyokong

Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menepis persoalan yang timbul tentang keilmuan dan fahaman tokoh tersebut tentang Islam yang banyak mencetuskan kerancuan pemikiran. Kegusaran mereka yang tidak sealiran dengan Zakir adalah berasas dan hendaklah dilihat sebagai satu bentuk kritis yang konstruktif.

Dalam konteks ini, segala kritikan yang dilontarkan ke atas Zakir tidak boleh diertikan sebagai penghinaan terhadap Yang di Pertuan Agong, hanya kerana Zakir pernah dianugerahi Tokoh Maal Hijrah oleh baginda.

Kiasan seperti ini adalah batal kerana ia cuba meletakkan 2 perkara yang berbeza dalam satu analogi yang sama. Dalam istilah fiqh, ia dinamakan qiyas ma’al fariq. Kedangkalan hujah ini dapat diumpamakan dengan gelaran Tun, Tan Sri, Datuk Seri dan lain-lain darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Agong ke atas seseorang berdasarkan sumbangan dan jasanya kepada negara.

Jika seorang Datuk ataupun Tan Sri didakwa dengan tuduhan rasuah atau salah laku yang “mencemar” darjah kebesaran yang dibawanya, ia tidak bermaksud pendakwa raya menghina Agong. Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar.

Tidak perlu mengheret Agong ke kancah pertelingkahan semata-mata untuk menegakkan hujah. Cara tersebut menunjukkan sifat tidak matang seolah-olah sudah kehabisan hujah.

Hujah

Selain itu, pegangan Zakir tentang Islam yang dikatakan bercanggah dengan Sunnah Wal Jamaah mestilah diberikan pencerahan agar masyarakat tidak terus terkeliru. Janganlah hanya gemar mengutuk dan menyesatkan tokoh terbabit tanpa memberinya sebarang nasihat dan tanpa mendidik orang awam dengan disiplin ilmu benar.

Tambahan pula, Zakir tidak mempunyai sebarang latar belakang agama dari sudut akademik. Tidak dinafikan juga beliau tidak pernah berguru dengan guru yang mursyid. Pengetahuan beliau tentang Islam hanyalah melalui pembacaan yang terhad. Beliau tidak mampu menelaah sumber rujukan muktabar Islam yang kesemuanya dalam Bahasa Arab, bahkan bacaan Al-Quran beliau pun tidak teratur selain kesalahan sebutan makhraj yang disebut sebagai Al-Lahn Al-Jaliy iaitu kesalahan yang jelas pada perkataan dari sudut bacaan, sebutan dan nahu Arab yang membawa kepada kecacatan maksud.

Dengan kekurangan ini, mereka yang arif dan bergelar agamawan sepatutnya mendekati beliau dengan penuh adab dan berkongsi ilmu sekaligus dapat memperbaiki kepincangan Zakir yang sememangnya berpengaruh. Peluang ini perlu diambil sebaik mungkin oleh para ilmuan Islam tempatan.

Mereka perlu mendekatkan diri mereka untuk membimbing Zakir kerana apabila tokoh ini dimantapkan dengan ilmu Sunnah Wal Jamaah yang hakiki, ianya mampu menghasilkan satu ledakan tarikan terhadap Islam dengan skala global.

Kaedah ini adalah satu pendekatan terbaik dalam menangani polemik yang timbul, iaitu satu pendekatan Wasatiyyah yang menguntungkan kesemua pihak.

Dalam pada itu, kontroversi berkaitan akidah dan syariat Islam yang ditimbulkan Zakir juga tidak boleh diabaikan. Kesilapan beliau tentang Tauhid yang dikatakan bercanggah dengan Sunnah Wal Jamaah, seperti menisbahkan arah dan tempat kepada Allah, menyamakan Allah dengan makhluk melalui fahaman Tajsim, kekeliruan beliau akan konsep bidaah dan cemuhan beliau ke atas ulama Islam, mesti ditangani tanpa sebarang toleransi.

Namun semua ini perlu dilaksanakan dalam suasana yang harmoni, agar ilmu yang ingin disampaikan dapat diterima dan diserap dengan hati yang terbuka.

Dengan kesedaran ini, maka satu penulisan bersiri mingguan yang membahaskan kekeliruan yang timbul akan dibuat secara ilmiah, adil dan saksama. Diharap ianya memanfaatkan kita semua dan mendapat redha Allah.

* Nurul Haq Shahrir mempunyai ijazah sarjana (MA) Fiqh dan Usul Al-Fiqh, di samping sarjana muda Syariah. Beliau juga berkelulusan STB, M.Div (USA) dan Licentiate (JCL – Juris Canonici Licentia) dalam bidang Teologi Kristian dan Kanun Gereja (Urbaniana).

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.