
Impian setiap rakyat Malaysia, supaya kita tawan emas pula.
Tiga hari pertama di akhbar, kita beri penghormatan kepada pemenang pingat, wajar kerana merekalah yang menyebabkan nama negara mekar dalam senarai pingat Olimpik Rio.
Terus memuji dan memuja mereka, tidak kurang pula pihak yang terus menghulurkan pelbagai ganjaran dan hadiah.
Kalau saya jutawan, saya juga mahu berbuat demikian, tanda terima kasih dan sebagai pencetus demi pembangunan diri untuk bersiap sedia hadapi perang Olimpik pada 2020 nanti.
Baca punya baca berita sejak tamat Sukan Olimpik Rio, nampaknya tidak kurang hebat jumlah ganjaran yang diterima pemain kita.
Bagus tetapi secara rasionalnya, bukankah ia kelihatan agak keterlaluan? Memang bukan duit saya, bukan masalah saya dan bukan berdengki cuma saya terfikir alangkah baiknya jika amaun itu sedikit sebanyak disalurkan kepada pusat atau kelab sukan tempatan dan jurulatih supaya lebih ramai yang dapat menjadi hero sukan nanti.
Ketepikan ganjaran dan hadiah yang diterima atlet negera, tetapi apa kedudukan pusat sukan, kelab sukan atau betapa bagusnya jika ada kemudahan sukan yang lengkap kepada orang biasa, kanak-kanak atau individu yang mahu melibatkan diri dalam sesuatu acara atau permainan.
Menurut The Sun pada Jumaat, sebuah syarikat pemaju hartanah menghadiahkan rumah bernilai RM1.5 juta kepada wira badminton.
Agak mengejutkan dalam masa sama menimbulkan persoalan.
Sukan badminton yang kini seolah-olah sukan kebangsaan negara misalnya, berapa banyak sekolah atau pihak berkuasa tempatan yang dapat menyediakan kemudahan tempat permainan yang sesuai pada kadar murah?
Berapa ramai jurulatih yang disediakan oleh sekolah atau kelab sukan? Apakah ia tidak dapat disediakan kerana ketiadaan tajaan, yakni sokongan kewangan?
Kepada mereka yang berminat tetapi terikat dengan kadar belanja yang tinggi, daripada membeli raket, bulu tangkis, caj gelanggang badminton, kasut yang sesuai hinggalah pakaian, setiap kali ada perlawanan, tanggungan makan minum, pengangkutan dan sebagainya, semuanya perlukan duit.
Jadi, mengapa tidak tajaan disalurkan pihak swasta kepada bakal pelapis sukan negara?
Terkenang juga dakwaan “Pocket Rocket Man”, pemenang acara lumba basikal, Azizulhasni Awang yang mendakwa tidak pernah mendapat bantuan termasuk permintaan membeli basikal Roadbike tidak dihirau, mungkin ramai lagi di luar sana yang sedang berhadapan masalah yang sama.
Apa agaknya perasaan mereka menyaksikan terlalu banyak wang disalurkan hanya selepas memenangi sesuatu acara tetapi mereka bersusah-payang mencari “sponsor” sewaku latihan. Entah berapa “hero sukan” yang terkandas separuh jalan kerana masalah tersebut.
Ketiadaan penajaan juga pernah menjadi sebab kelab sukan sukar atau gagal menghantar wakil menyertai pertandingan yang lebih kompetitif dan bertaraf antarabangsa.
Teringat juga kepada rungutan pemenang perak kejohanan gusti lengan Arnold Classic Asia, di Hong Kong, Nur Hidayu Nor Rongzi, 24, yang terkilan kerana kurangnya sokongan daripada pihak berkaitan dalam sukan itu sehingga dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri berjumlah lebih RM2,000 untuk menyertai kejohanan di Hong Kong.
Katanya, dia sudah beberapa kali menghantar surat memohon penajaan namun tiada sebarang keputusan positif diterima.
Kita mempunyai ramai pelapis yang benar-benar berkemampuan cuma atas sebab tiada penajaan dan masalah kewangan mereka terkandas.
Mungkin pendedahan penaja yang begitu murah hati baru-baru ini boleh digunakan untuk pelapis muda akan datang “cuba” nasib memohon tajaan.
Kita perlukan berikan lebih banyak sokongan dan bantuan kepada mereka yang masih berada dalam kekangan daripada mereka yang sudah tentu akan mendapat perhatian susulan kejayaan mereka.
Semoga terus melahirkan generasi aktif sukan yang lebih kompetitif dan bertaraf antarabangsa!