Oleh Edwin Michael
Tanyalah seorang kanak-kanak apakah yang menggembirakan hatinya pada pagi hari raya. Lalu, jawab anak kecil itu pastinya bukan tentang baju raya baharu mahupun keenakan pelbagai juadah pagi raya.
Tetapi nilai setiap sampul hari raya yang diterimanya daripada ibu bapanya, adik beradiknya, saudara mara hinggalah kepada jiran sekampungnya. Setiap sampul mengandungi setiap cerita yang menjadi kenangan. Kenangan inilah yang akan membuatkan anak kecil ini menanti sabar Syawal tahun depan.
Tanyalah seorang dewasa apakah yang menggembirakan hatinya pada pagi hari raya. Lalu, jawapannya mungkin ringkas tetapi pasti mencuit sanubari kita. Kegembiraan orang dewasa seperti kita ialah apabila insan yang kita sayangi menghulurkan tangan memohon maaf lalu kita berikan sekeping sampul yang berisi duit raya dan kegembiraan yang terpancar pada wajah insan yang menerima sampul itulah hakikatnya kegembiraan sejati yang kita peroleh.
Ini suasana Hari Raya. Belum pun diceritakan suasana perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan lain-lain perayaan yang menyatukan kita sebagai masyarakat majmuk.
Namun apabila ada ahli politik rakus dan berotak sempit yang menghina sambutan perayaan sesuatu kaum dengan cukup kotor maka siapa yang harus dipersalahkan? Ahli politik itu sendiri atau partinya yang semacam diam seribu bahasa seolah-olah menyokong kenyataan murahannya itu?
Malah di mana ahli parti berbangsa Melayu yang sebelum ini mendabik dada mencanang seluruh negara parti inilah yang memperjuangkan nasib semua kaum termasuk Melayu dan hakikatnya parti ini jugalah yang merendahkan martabat Syawal dan mengaibkan Aidilfitri.
Di mana hilangnya mereka ini? Atau apakah mereka disuapkan dengan dedak agar berdiam diri daripada mengkritik kesalahan yang tiada maaf ini?
Apa dosa P Ramlee
Setiap seorang daripada kita membesar dengan menonton filem arahan dan lakonan allahyarham Tan Sri P Ramlee. Filem itu seni. Filem itu ekspresi. Filem itu kehidupan. Elemen inilah yang mewarnai setiap filem hitam putih arahan dan lakonan allahyarham.
Apakah hari ini kita memiliki filem yang mampu menguasai setiap ruang emosi kita seperti Ibu Mertuaku? Atau apakah hari ini kita memiliki filem yang mampu membuatkan kita ketawa hingga melupakan segala masalah dalam jiwa kita tanpa unsur komedi slapstick seperti Do Re Mi mahupun Seniman Bujang Lapok? Jauh beza antara filem komedi absurd arahan dan lakonan beliau dengan filem komedi yang hanya reti memperbodohkan penonton.
Apakah hari ini kita memiliki seorang penerbit filem yang hanya mahukan sesuatu yang terbaik buat industri perfileman negara dan bukannya mahukan keuntungan semata-mata dengan mengeksploitasi penonton melalui filem murahan semata-mata?
Siapa kita mahu berbicara tentang hidup mati seorang seniman? Apa jasa kita sehingga kita merasakan status kita melebihi dengan legenda yang subur meredah zaman ini?
Apa pula selepas ini?
Budaya, kepercayaan dan seni yang mewarnai masyarakat Melayu di negara ini sudah pun dijadikan bahan publisiti murahan. Buat si politikus dan partinya cukuplah sudah menjadikan agama, bangsa dan budaya sebagai bahan jenaka bodoh semata-mata untuk mewujudkan perasaan kebencian dan kemarahan.
Manakala, buat si pembikin filem yang sudah pun tampil memohon maaf akan kenyataan nakalnya terhadap legenda P Ramlee ini, percayalah bangsa Melayu ini bangsa yang mudah memaafkan kesalahan orang lain.
Namun tidak pasti apakah setiap seorang bangsa Melayu berkiblatkan Islam akan memaafkan niat jahat si politikus dan partinya.
Edwin Michael ialah pensyarah sains politik dan kewartawanan.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT