Mengapa orang tak percaya institusi zakat?

Mengapa orang tak percaya institusi zakat?

Ia mendorong kumpulan kebajikan melancarkan seruan pembayar zakat menyerahkan terus kepada golongan asnaf tanpa melalui amil lantikan institusi zakat.

zakat_600

Oleh Nik Aziz Afiq Abdul

Isu kutipan dan agihan zakat merupakan isu yang selalu dibangkitkan terutama menjelang Ramadan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini muncul suara-suara lantang mempersoalkan integriti institusi zakat terutama apabila “kesungguhan” mengutip zakat itu tidak seimbang dengan usaha untuk menyampaikan zakat kepada asnaf yang digariskan syarak.

Muncul persepsi negatif kepada institusi ini, sekali gus mendorong kumpulan kebajikan dan aktivis rakyat melancarkan seruan untuk pembayar zakat menyerahkan terus kepada golongan asnaf tanpa melalui orang tengah atau amil lantikan institusi zakat. Ia kemudian menjadi satu trend baru sekali gus disambut dengan fatwa keras yang menentang perbuatan ini.

Situasi sebenarnya bertambah parah. Hilang percaya kepada institusi zakat merebak kepada hilang percaya pada institusi mufti dan asatizah itu sendiri. Sangka buruk semakin menebal dan entah kenapa di samping mencari solusi yang mendamaikan semua pihak, beberapa mufti tampil memilih jalur keras dan membuatkan persepsi negatif ini semakin membuak.

Di samping menjadi ‘orang tengah’ mereka (mufti) memilih untuk merendahkan diri dengan berpihak kepada institusi zakat. Automatik orang awam melihat ada konflik kepentingan dan semestinya lebih melawan. Ini langkah kurang cerdik tapi dilakukan beberapa mufti kita.

Secara asasnya, sesuatu masalah itu mempunyai dua sisi yang perlu dilihat iaitu punca dan kesan. Duduk di posisi mufti tidak seharusnya keluarkan kenyataan hanya dengan menilai kesan semata-mata. Analisis kepada punca atau akar permasalahan perlu dilakukan sekali gus memberikan solusi kepada masalah tersebut.

Apakah punca orang mempersoalkan integriti institusi zakat? Apakah punca orang mahu terus sampaikan zakat pada asnaf tanpa melalui amil? Apa pernah dilakukan sedikit sebanyak kaji selidik, turun kepada masyarakat dan bertanya mengenai perkara ini?

Punca paling ketara ialah keraguan pembayar zakat pada ketelusan institusi zakat itu sendiri. Keraguan ini tidak dapat diselesaikan hanya dengan paksaan, hanya dengan mengatakan siapa bayar dapat pahala, siapa tak bayar (pada institusi zakat) maka zakat tak sah. Itu bukan solusi, itu mengeruhkan keadaan namanya. Dengan memahami punca sebenar maka ada baiknya dibincangkan dan keluarkan saranan bagaimana ingin menghapuskan keraguan tersebut sekali gus meningkatkan keyakinan.

Kami berpandangan terdapat dua perkara yang mungkin dapat mengembalikan kepercayaan orang ramai. Pertama institusi zakat perlu diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan dihebahkan kepada umum secara tahunan.

Para pembayar zakat perlu diberi hak untuk melihat bagaimana aliran wang masuk dan keluar secara terperinci sama seperti pembayar cukai ingin melihat bagaimana cukai yang dibayar dibelanjakan. Ini pasti bukanlah sesuatu yang menyukarkan institusi zakat untuk laksanakan terutamanya jika mereka benar telus menjalankan amanah.

Kedua, perlunya diwujudkan sebuah badan bebas untuk melakukan ‘semak dan imbang’ kepada institusi ini. Badan ini dicadangkan mempunyai kuasa mempertikaikan segala keputusan yang merugikan, terdiri daripada aktivis masyarakat pelbagai latar belakang, segala belanjawan dibahas dan diluluskan bersama badan ini.

Saya yakin jika para mufti dan pihak berwajib inginkan penyelesaian maka lebih banyak kaedah dan cara dapat difikirkan dari masa ke semasa sesuai dengan tuntutan untuk bermuhasabah. Namun jika mahu terus menerus membuatkan orang awam rasa tertekan dan hilang kepercayaan kepada kemampuan ‘orang agama’ mentadbir, maka tunggulah sedikit masa lagi bukan saja institusi zakat bahkan institusi mufti sendiri tidak menunggu masa mengambil tempat dalam buku sejarah.

Nik Aziz Afiq Abdul ialah AJK Pusat Pemuda Parti Sosialis Malaysia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.