Bila Akta MKN dipersembah kepada Agong?

Bila Akta MKN dipersembah kepada Agong?

Mahfuz Omar mahu tahu bila RUU MKN ditaklimat semula kepada Majlis Raja Raja?

Mahfuz

Oleh Datuk Mahfuz Omar

Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015 dan kemudiannya diluluskan oleh Dewan Negara pada 22 Disember 2015.

Telah dimaklumkan kepada rakyat bahawa RUU MKN 2015 telah dipersembahkan untuk ditaklimatkan kepada Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja pada 17 Februari 2016 semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-240 di Istana Negara. RUU MKN 2015 telah ditaklimatkan sendiri oleh Peguam Negara kepada Majlis Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja meminta agar RUU MKN 2015 diperhalusi beberapa peruntukkan dan diterima permohonan Majlis Raja-Raja oleh perdana menteri dan peguam negara.

24 Mac 2016 Menteri di Jabatan Perdana Menteri maklumkan Dewan Rakyat semasa menggulung perbahasan ucapan titah Diraja bahawa Majlis Raja-Raja akan ditaklimatkan semula berkaitan RUU MKN 2015. Persoalannya, bilakah ditaklimat semula kepada Majlis Raja Raja?

Kemudian, pada 7 Jun 2016, RUU MKN 2015 diwartakan dengan menyatakan tarikh perkenan Diraja ialah pada 18 Februari 2016 mengikut Perkara 66 Fasal 4A Perlembagaan Persekutuan iaitu sesuatu RUU yang dipersembahkan kepada Yang diPertuan Agong yang tidak diperkenankan dalam tempoh 30 hari akan tetap menjadi Akta.

Persoalannya, bilakah RUU MKN 2015 dipersembahkan kepada Yang diPertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Diraja sedangkan kita dimaklumkan bahawa RUU MKN 2015 ditaklimatkan dan dipersembahkan kepada Agong dan Majlis Raja-Raja pada 17 Februari 2016.

Dipersembahkan dan ditaklimatkan pada 17 Februari 2016. Diperkenan mengikut Fasal 4A pada 18 Februari 2016. Adakah cukup 30 hari mengikut Fasal 4A?

Adakah RUU MKN 2015 dipersembahkan lebih awal dan jika ya, bila?

Jika dipersembahkan lebih awal, apakah respon Yang DiPertuan Agong sehingga RUU diperkenan tanpa Cop Mohor Diraja?

Datuk Mahfuz Omar ialah ahli Parlimen Pokok Sena.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.