Oleh Khairul Naim Rafidi
Tulisan ini saya nukilankan supaya isi hati yang terbuku, sejak usia belasan tahun kesampaian. Adalah sesuatu yang tidak adil jika saya tidak dapat berkata apa-apa hanya kerana runsing sekiranya hilang ‘keberkatan’ yang sering dicanang di semua peringkat institut pendidikan.
Masih segar dalam ingatan saya, sejak tingkatan satu, sering sahaja saya keluar masuk ke bilik disiplin untuk berbagai-bagai kesalahan. Ketika itu di sekolah kami menggunakan sistem mata penalti.
Saya tidak pasti bagaimana mekanisme ini bergerak sekarang. Tetapi, perkara yang saya rasa masih begitu segar dalam kotak fikiran adalah wajah runsing ibu dan ayah saya demi melihat keadaan anaknya pada waktu itu.
Denda, gantung, buang
Saya tidak dapat ingat secara spesifik kali terakhir saya masuk ke ‘tribunal’ ketika tingkatan lima dahulu.
Seingat saya, ketika itu hanya tinggal beberapa minggu sahaja sebelum kami hendak menduduki peperiksaan SPM. Saya yakin, Aidil ‘Boxer’ (bukan nama sebenar) tidak mungkin akan lupa detik-detik tersebut.
Saya telah cuba untuk mencari ‘planner’ yang digunakan untuk mencatat segala perkara yang berlaku pada tahun itu tetapi tidak jumpa. Tidak mengapa, mungkin kalau terjumpa saya akan ceritakan kisah-kisah tersebut untuk masa yang akan datang.
Berbalik kepada cerita asal, saya yakin rakan-rakan ‘seangkatan’ pasti akan ingat tiga frasa yang memainkan peranan dalam menentukan nasib dan survival ketika berada di sekolah dahulu; denda, gantung dan buang.
Kadang-kala pelajar tidak dapat tidur malam dengan nyenyak kerana dalam kes-kes yang agak berat, siasatan akan mengambil masa beberapa hari. Selalunya, selepas sekolah pelajar yang menjadi suspek akan dipanggil semula untuk siasatan. Misalnya, kes buli dan pukul pelajar beramai-ramai.
Berbanding kes-kes ringan seperti menghisap rokok (yang selalunya ‘kantoi caught red-handed), kebiasaannya hukuman akan dijatuhkan pada waktu itu juga.
Adakah wujud perbicaraan?
Kata orang tua, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Saya percaya ramai yang ditangkap kebanyakannya memang melakukan kesalahan di sekolah.
Tetapi daripada semua kes, saya juga percaya, mungkin dalam 30 % pelajar yang dihukum hanya bersalah kerana bersubahat, kebetulan di tempat kejadian dan mungkin juga tidak langsung melakukan kesalahan.
Ini hanya tanggapan dan tidak semestinya betul. Saya hanya bercakap berlandaskan pengalaman-pengalaman peribadi yang saya yakin benar.
Berdasarkan Seksyen 130 (2) (g) Akta Pendidikan 1996, Menteri mempunyai kuasa untuk membuat sebarang peraturan yang bersesuaian bagi memastikan disiplin di sekolah-sekolah di Malaysia dikawal dengan rapi.
Maka, pihak sekolah dalam mengendalikan hal-hal berkaitan disiplin sekolah akan merujuk kepada Peraturan – Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959. Peraturan ini merupakan suatu panduan kepada pihak sekolah dalam menjalankan kuasa-kuasanya untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman di kawasan sekolah.
Saya kira peraturan ini adalah suatu undang-undang klasik kerana ia dibuat atas kuasa yang diberikan kepada Menteri Pendidikan Pertama, iaitu Allahyarham Tan Sri Mohamed Khir Johari.
Hanya beberapa hukuman penting yang akan dibincangkan di dalam tulisan ini.
Menurut pembacaan saya berkenaan dengan hukuman dera (corporal punishment), jelas bahawa Peraturan 5 akan terpakai.
Dalam Peraturan ini, guru besar/pengetua sesebuah sekolah mempunyai kuasa untuk menjalankan hukuman yang beliau rasakan perlu dan bermanfaat bagi tujuan menjaga disiplin pelajar di sekolah dengan syarat ; hukuman dera kepada murid perempuan adalah dilarang, dan hukuman rotan oleh seseorang guru biasa atau kakitangan sekolah hanya dibenarkan di tapak tangan.
Manakala, bagi hukuman rotan dipunggung ia hendaklah dijalankan oleh seorang guru besar/pengetua melainkan kuasa diberikan kepada pihak lain dalam situasi tertentu. Hukuman juga mesti dijalankan secara munasabah. Misalnya, punggung yang hendak dirotan harus berlapik dengan pakaian.
Saya berpendapat bagi hukuman dera, kita tidak mempunyai masalah atau isu-isu besar. Jika ada pun mungkin isu kemunasabahan seperti teknik menghayun rotan, serta jenis-jenis rotan yang digunakan.
Namun begitu, hasil penelitian saya terhadap suatu kerja kerja yang dikeluarkan oleh Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Bahagian Sekolah, kementerian Pelajaran Malaysia, antara perkara yang ditekankan adalah hukuman dera seperti menumbuk, menampar, mencubit, mengetuk dengan tangan atau pembaris serta ketuk-ketampi dan seumpamanya adalah dilarang sama sekali kerana hukuman dera di bawah Peraturan 5 sahaja dibenarkan oleh undang-undang.
Jika kita imbas kembali, hukuman seperti ini sudah biasa menjadi kebiasaan untuk kita lihat. Selepas membaca peraturan ini, saya baru tersedar bahawa hukuman-hukuman tersebut adalah dilarang. Lihat, betapa kesedaran kita tentang isu undang-undang adalah kurang sama sekali.
Kedua, perkara yang sangat penting untuk ditekankan adalah berdasarkan Peraturan 8, guru besar/pengetua adalah dibenarkan untuk menggantung atau membuang pelajar sekiranya ia perlu bagi tujuan menjaga ketenteraman sekolah.
Penggantungan sekolah terbahagi kepada dua jenis. Pertama, gantung yang bertujuan untuk mengasingkan pelajar yang liar daripada masuk ke sekolah supaya siasatan untuk sesuatu kesalahan dapat dilengkapkan secepat mungkin. Kedua adalah gantung sebagai hukuman. Ia adalah suatu arahan kepada pelajar supaya tidak masuk ke kawasan sekolah. Arahan ini tidak boleh lebih daripada 14 hari.
Manakala, bagi hukuman buang sekolah, ia adalah salah satu tindakan yang dijalankan sekiranya seseorang pelajar melakukan kesalahan berulang-kali dan tidak berubah walaupun tindakan pemulihan telah dijalankan.
Harus diingat bahawa kedua-dua hukuman dan gantung hanya boleh dijalankan atas kuasa guru besar/pengetua sahaja. Sekiranya ia diputuskan oleh lembaga disiplin sekolah, maka ia akan menjadi ‘void and of no legal effect’. Dalam erti kata lain, sekiranya keputusan tersebut dicabar ke mahkamah, ia tidak boleh dipertahankan lagi kerana jelas berdasarkan Peraturan 4 dan Peraturan 8, hanya guru besar/pengetua sahaja yang mempunyai kuasa budi bicara terhadap kedua-dua hukuman berat ini.
Berdasarkan maklumat ringkas di atas, persoalan yang saya ingin timbulkan, adakah benar wujud perbicaraan untuk hukuman-hukuman di atas? Walaupun di dalam suatu kertas kerja yang disediakan oleh Kementeri Pelajaran menekankan bahawa prosedur menghukum haruslah dijalankan menurut aturan yang disediakan oleh Kementerian, tetapi adakah pasti undang-undang tersebut akan dipatuhi?
Suatu maklumat di dalam sebuah blog guru mengatakan bahawa pelajar yang hendak digantung atau dibuang harus diberikan peluang untuk membela diri serta hak untuk di dengar.
Tetapi, saya khuatir, adakah peluang tersebut hanya diberikan oleh 100% guru di Malaysia? Atau hanya golongan yang berpegang kepada keadilan sahaja? Itu suatu persoalan yang kita harus jawab.
Selain itu, dalam keadaan runsing didakwa di sekolah serta ditambah pula dengan bayangan wajah ibu dan ayah di dalam benak fikiran, saya tidak rasa pelajar akan berani untuk membela diri.
Pelajar biasanya akan tunduk, diam, atau mengaku sahaja bagi mengelak dikenakan tindakan lebih berat. Itu belum masuk pengakuan melalui dorongan dan balasan dilepaskan lagi.
Pada bahagian ini, bukan tujuan saya untuk mempertikai tanggungjawab besar dan kerja seorang pendidik mahupun membela pelajar yang bermasalah, tetapi zaman sudah berubah.
Justeru, perkara-perkara ini harus dimasukkan di dalam undang-undang bertulis. Undang-undang klasik seperti Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 haruslah disemak dan diperbaiki kerana banyak lubang-lubang yang harus ditutup bagi memberi keadilan dan dalam masa yang sama mendidik pelajar dengan cara yang menurut perkembangan semasa.
Pekeliling dan panduan berdasarkan kertas kerja adalah tidak mencukupi. Terdapat ruang yang begitu luas untuk penyalahgunaan kuasa, kerana di akhirnya kira harus sedar guru juga manusia biasa.
Isu keadilan asasi (natural justice)
Isu keadilan asasi adala perkara yang tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak.
Ketika melepak bersama beberapa rakan sebentar tadi, saya tergelak kerana mendengar cerita Toby (bukan nama sebenar) yang menceritakan pengalamannya menghadapi siasatan salah laku di sekolah dahulu.
Dengan nada berseloroh beliau cuba untuk membina pembelaan yang saya kira jenis alibi dengan mengucapkan kata “sumpah saya tak buat, cikgu! Cikgu nampak ke saya buat macam tu?” Sedar tidak sedar panas juga pipi dihinggap tangan waktu itu. Saya kata, “itu biasa, apa lah nak dihairankan.”
Menurut undang-undang asas, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan meletakkan bahawa setiap orang adalah sama dan wajar mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang.
Walaupun saya berpendapat bahawa pihak berkuasa disiplin sekolah yang diketuai oleh guru besar/pengetua tidak diharapkan bertindak seperti di mahkamah, saya percaya keadilan dan layanan yang sama rata harus diberikan.
Pelajar adalah aset dalam negara, berbanding dengan kes-kes jenayah berat di luar yang biasanya sukar dipulihkan, pelajar harus dibicarakan dan diberi peluang yang mencukupi selaras dengan konsep “Audi Alteram Partem” atau hak untuk didengari.
Walaupun sebanyak mana pekeliling atau kertas kerja dikeluarkan bahawa pelajar dibenarkan untuk membela diri, saya yakin dan percaya bahawa hak ini tidak akan dapat diamalkan jika ia tidak diuar-uarkan kepada umum dan diletakkan di dalam undang-undang bertulis. Dalam masa yang sama, metod-metod bagi asas undang-undang serta tatatertib haruslah diajar.
Prosedur yang adil harus ditekankan dalam tindakan tatatertib di sekolah. Ini jelas menurut satu nas undang-undang di dalam kes Suraya Amdah v Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia [2015] MLJU 915 apabila hakim Mahkamah Tinggi YA Collin Lawrence Sequerah JC menyebut ;
“In modern and even in ancient civilizations of any note, the fundamental principle has always been that in any action which may adversely affect or impact an individual’s rights, such ought to be given an opportunity to be heard and to defend themselves. The Romans encapsulated these notions into the twin concepts of “audi alteram partem” and “nemo judex in causa sua” which translated in English meant, the right to a fair hearing and the rule against bias, respectively. It would therefore seem that the general idea underlying this concept is that injustice is to be avoided in a situation which involves any erosion of the fundamental rights of an individual by a decision maker. Since no one ought to be condemned unheard, the concept of natural justice as of necessity therefore, would appear to translate into an almost inalienable right of an individual to demand the right to a hearing.”
Walaupun nas ini adalah tentang semakan kehakiman kakitangan kerajaan, saya percaya bahawa ia juga terpakai untuk hal tatatertib di sekolah kerana undang-undang tertinggi di dalam Perkara 8 jelas meletakkan layanan harus diberikan sama tidak kira kedudukan, jawatan, ras, kaum dan warna kulit.
Sekali lagi, buat pembaca yang tidak bersetuju, saya tidak mengharapkan suatu undang-undang yang mirip kepada mahkamah untuk diimplementasikan di sekolah kerana saya jelas bahawa unit disiplin sekolah merupakan ‘Quasi – judicial body’ atau badan separa kehakiman. Tujuan pembaharuan ini adalah untuk memastikan keadilan dapat dilaksana dan proses pendidikan dapat berjalan dengan lancar.
Peranan kerajaan dan Majlis Peguam
Pertama sekali, undang-undang klasik yang saya sebut di atas iaitu Peraturan-Peraturan Pelajar (Disiplin Pelajar) 1959 haruslah disemak oleh Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid. Peruntukan-peruntukan di dalam peraturan tersebut harus dipinda dan diperbaharui rohnya supaya sesuai dengan konteks masa kini.
Prosedur-prosedur seperti hak pelajar untuk menjawab kes bersabit (prima facie) dan membela diri haruslah dimasukkan di dalam undang-undang bertulis tersebut. Sebaran pekeliling sahaja tidak mencukupi kerana ia terbuka untuk penyalahgunaan.
Saya juga mencadangkan supaya ditambah suatu peruntukan penting iaitu pelajar boleh diwakili oleh pelajar lain, guru atau kakitangan sekolah. Hal ini penting kerana dalam sesetengah kes, pelajar tidak mampu untuk bercakap. Hal in mungkin sahaja kerana takut atau tidak faham akan prosiding yang dijalankan.
Maka, hak untuk diwakili juga harus ditekankan di dalam undang-undang tersebut. Kegagalan pelajar tersebut untuk bercakap bagi pihak dirinya sendiri tidak membataskan nikmat keadilan untuk diberikan kepadanya.
Selain itu, pelajar-pelajar juga harus diberi kesedaran bahawa mereka mempunyai hak untuk membela diri sebagai warganegara. Kesedaran undang-undang harus dipupuk sejak kecil. Dengan melaksanakan perubahan ini, kos dapat dijimatkan bagi kempen-kempen kesedaran perlembagaan dan undang-undang untuk masa akan datang.
Kedua, Majlis Peguam juga mempunyai tanggungjawab besar dalam isu ini. Misalnya, Majlis Peguam harus mencadangkan penubuhan kelab perlembagaan dan undang-undang di sekolah bagi tujuan memberi pengajaran tentang asas-asas undang-undang. Sebagaimana Rotary Club dan Lions Clubs yang sudah sekian lama masuk ke sekolah-sekolah bagi meningkatkan aktiviti kesukarelawan di peringkat rendah, begitu juga Majlis Peguam harus berusaha memupuk semangat tentang konsep keadilan dan hak sebagai seorang manusia, selaras dengan moto mereka iaitu “Keadilan Melalui Undang-Undang”.
Bagi menyokong usaha kerajaan yang saya sebut di atas, Majlis Peguam boleh memberikan latihan asas tentang prosedur-prosedur menghadapi prosiding badan separa kehakiman iaitu lembaga disiplin sekolah. Dalam erti kata yang lebih menarik, ahli kelab perlembagaan dan undang-undang yang disebutkan boleh menjadi ‘peguam-peguam’ muda yang mungkin sahaja berpontensi untuk masa akan datang!
Kesimpulan
Akhir sekali, saya sedar bahawa perkara yang diperkatakan di atas adalah suatu cadangan yang idealis, dan mungkin sahaja ‘utopia’ bagi sesetengah individu. Namun, saya melihat bahawa nasib pelajar-pelajar harus dibela sebagaimana nasib para buruh, kakitangan kerajaan dan rakyat miskin. Kita sering terlupa bahawa pelajar merupakan aset dan proses pendidikan harus dijalankan dengan cara berhikmah dan berkesan. Sekali lagi saya ingin tekankan bahawa bukan tujuan saya untuk menyalahkan barisan pendidik mahupun membela pelajar, tetapi harus diingat bahawa kaedah dan undang-undang yang digunakan haruslah praktikal dan sesuai dengan zaman.
Keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Saya tidak rasa pelajar yang masih pendek akalnya patut dihukum sebegitu keras tanpa diberi peluang sewajarnya dalam keadaan tertentu. Kata Lord Justice Hewart dalam kes R v Sussex Justices; ex parte McCarthy [1924] 1 KB 226, beliau menyebut ;
Justice ‘should not only be done, but should manifestly and undoubtedly be seen to be done’ (Keadilan bukan sahaja perlu dilaksana, tetapi harus jelas dan tiada keraguan bahawa ia dilihat terlaksana)
Khairul Naim Rafidi adalah pengasas Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) dan mahasiswa tahun akhir undang-undang UiTM Shah Alam
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT