Oleh Mohd Azhar Abd Rahman
Persoalan ini menjadi semakin rumit apabila pengundi melihat telatah mereka di Sarawak. Setiap hari ugut-mengugut, tuduh-menuduh, tanpa ada penyelesaian damai dan muafakat penuh bagi menjamin pertembungan 1 lawan 1 dengan parti lawan dari Barisan Nasional dapat dicapai sehinggalah ke hari penamaan calon.
Itu kisahnya di PIlihan Raya Negeri (PRN) Sarawak. Apa agaknya mesej dan persepsi yang akan terbentuk di kalangan pengundi yang bakal membuat keputusan untuk PRU 14 ini?
Ternyata dalam situasi ini, kepimpinan tertinggi parti yang berada dalam Pakatan Harapan tidak berupaya menyelesaikan pertindihan kerusi ini meskipun mereka dalam banyak program dan ceramah mereka kelihatan begitu berkeyakinan untuk membentuk kerajaan dan mentadbir Putrajaya.
Perkara ini agak signifikan dengan pendedahan dari Ilham Centre, sebuah badan kaji selidik yang menunjukkan sebahagian dapatan kajiannya dalam sebuah forum di Universiti Malaya baru-baru ini.
Pengerusi Eksekutifnya, saudara Mohamad Hisomudin Bakar mededahkan bagaimana BN masih mendapat peratusan lebih berbanding Pakatan Harapan iaitu 38% berbanding 26% untuk menerajui kerajaan sekiranya pilihan raya berlaku sekarang.
Kajian yang dilakukan kepada 1825 responden secara berdepan itu juga menunjukkan peratusan besar mereka yang tidak mahu menjawab (mungkin tidak dapat membuat keputusan) iaitu sebanyak 23% dan 9% tidak mahu mengundi. Ini menunjukkan sebahagian besar pengundi tidak yakin kepada kedua-dua belah pihak untuk membentuk kerajaan yang boleh membuat perubahan.
Jika keadaan ini kekal sehingga PRU ke 14 nanti, pengulangan episod PRU-13 berkemungkinan berlaku. Pakatan Rakyat pada ketika itu kelihatan hampir pasti (jika dilihat mood ketika itu) memperoleh bilangan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan tetapi keadaan sebaliknya berlaku. BN masih kekal dengan majoriti di peringkat pusat malah merampas Kedah.
Apa yang menjadi kebimbangan daripada golongan seperti kami, yang sedar akan korupsi , salah guna kuasa, urus tadbir yang mengundang kepada rasuah billion ringgit dan segala macam kerosakan yang dilakukan BN, yang masih mengharapkan akan ada lonjakan daripada pengundi Melayu untuk memberi undi kepada PH, menjadi sebaliknya malah mungkin mengalami sindrom keletihan akibat kecelaruan PH dalam mencapai kata sepakat dalam setiap keputusan penting dan memberi keyakian kepada semua bukan sahaja pengundi malah kepada Raja-Raja Melayu.
Namun seandainya PRN Sarawak menjadi ukurannya, kita masih belum mencapai kepada maksud tersebut, tetapi bukanlah mustahil untuk merealisasikannya. Apakah PH masih mengharapkan Anwar Ibrahim dapat dibebaskan sebelum PRU dan semua ini akan selesai?.
Justeru, disarankan kepada kepimpinan tertinggi PH, Majlis Presiden, segeralah membuat ketetapan yang jitu dan tegas dalam membentuk pakatan yang benar-benar boleh membentuk sebuah kerajaan di peringkat persekutuan.
PH tidak boleh hanya mengharapkan isu-isu yang berkait dengan kelemahan BN semata-mata sebagai modal menarik undi, tetapi mestilah juga membentuk sebuah gerakan yang padu dan diyakini rakyat. Ya, anda mempunyai bakat dan figura-figura yang mampu mengalas amanah dan tanggungjawab sebagai kerajaan tetapi kesepaduan anda adalah perkara pertama yang akan dinilai rakyat.
Mohd Azhar Abd Rahman adalah pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT