Pendedahan hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas syarikat pelaburan strategik milik kerajaan 1Malaysia Development Kerajaan (1MDB) pada Khamis lepas mampu meleraikan teka-teki yang sering menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat sejak dua tahun lalu.
Laporan yang menunjukkan bahawa struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat berkenaan mengalami kelemahan tadbir urus harus diterima meskipun ada kewajaran untuk mempertikai perkara itu.
Apa yang berlaku ke atas 1MDB itu perlu dijadikan pengajaran oleh pihak kerajaan agar perkara sama tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.
Mendengar mengenai perkara itu, terfikir juga dibenak penulis bagaimana syarikat yang ditubuh oleh kerajaan untuk menjana keuntungan boleh mengalami hutang dan pembayaran faedah terlalu tinggi berbanding aliran tunai yang ada pada syarikat.
Namun, yang pasti jawapan daripada persoalan yang sebelum ini dibangkitkan saban hari telah menemui jawapannya setelah penjelasan mengenai perkara itu dibuat minggu lepas menerusi laporan setebal 106 muka surat oleh PAC.
Bagaimanapun, mendengar luahan rasa seorang Anggota Panel PAC dari pembangkang, Tony Pua apabila menyatakan hanya 80 peratus sahaja berpuas hati dengan laporan itu, ia sekaligus menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakan-rakan dalam Pakatan.
Pua yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara melahirkan rasa ketidakpuasan hatinya mengenai perkara itu sehari selepas pendedahan PAC itu dibuat.
Menyentuh mengenai perkara itu, penulis berasa agak hairan kenapa kini Pua baru hendak menyalak untuk berkata itu dan ini.
Bukankah beliau boleh menyuarakan pandangannya berkenaan perkara berkenaan ketika prosiding sedang berjalan?
Jika beliau nampak ada kepincangan atau curiga dengan sesuatu yang cuba diselindungkan, beliau boleh sahaja menyuarakanya terus tanpa ada ahli panel di dalamnya yang boleh menegahnya.
Lagipun, panel yang dilantik untuk menganggotai PAC bukanlah calang-calang orang sebaliknya, dipilih oleh parti yang mereka sertai untuk sama-sama membuat bedah siasat terhadap syarikat pelaburan yang didakwa menjalankan operasi dengan menggunakan dana rakyat itu.
Bukannya Pua seorang sahaja wakil rakyat mewakili pembangkang berada dalam PAC, sebaliknya, rakan-rakannya yang lain seperti, William Leong (PKR-Selayang), Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) Dan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) turut bersama-sama dengannya.
Malah, jika Datuk Hasan Arifin yang merupakan Ahli Parlimen Rompin dilantik sebagai Pengerusi PAC, pembangkang pula diwakili Seng Giaw yang dilantik sebagai timbalan pengerusi.
Jadi, dalam hal ini apa lagi yang tidak kena dan cuba dibangkitkan oleh Pua berhubung laporan yang telah diketahui umum itu.
Cukup-cukuplah untuk mempertikaikan keputusan yang telah sama-sama dicapai dengan kata sepakat dan jangan jadikan rakyat sebagai bahan politik untuk langkah seterusnya.
Rakyat sudah diheret dengan banyak perkara sebelum ini yang antaranya melibatkan kuasa dan pengaruh, tidak kira sama ada ia berlaku di dalam dewan mahupun ditunjukkan di jalanan.
Kini, 1MDB sudah masuk fasa baharu apabila pengerusi PAC mahu supaya bekas CEO syarikat berkenaan, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi disiasat kerana perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan yang berlaku ketika beliau mentadbirnya.
Tunggu sahajalah pengumuman yang akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia yang kini sedang melakukan siasatan mengenainya.
Tidak perlu lagi menabur dedak kepada rakyat dengan maklumat-maklumat yang mengelirukan kerana ia hanya akan menyalakan api permusuhan yang tidak berkesudahan.
