Kalau dilihat di negara-negara yang sedang bergolak rakyatnya melalak dan meraung demi menuntut pembebasan daripada kekejaman namun, di Malaysia pula rakyat meraung dek kerana peperangan politik dalam kalangan pemimpin yang meletus tanpa mengira waktu.
Umum mengetahui, tentang situasi politik yang sedang berlaku dan mereka sebenarnya meminta agar tidak diheret sama dengan masalah yang ditimbulkan oleh mereka itu.
Sepertimana yang kita ketahui, orang-orang politik ini masing-masing cuba menegakkan benang yang basah dan paling tidak pun boleh diibaratkan seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jagan putus, tepung jangan berselerak.
Masing-masing pula dilihat sering menggunakan kaedah tuduh menuduh yang merupakan cara mudah untuk terselamat daripada serangan yang datang dari pelbagai arah.
Mengimbas situasi yang berlaku, baru-baru ini veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid ada membuat kenyataan bahawa beliau hairan kenapa parti besar seperti UMNO takut dengan seorang individu berbangsa Cina seperti Lim Kit Siang.
Lim Kit Siang yang merupakan pemimpin parti DAP itu katanya, sering menjadi sasaran oleh para pemimpin UMNO untuk menakut-nakutkan orang Melayu khususnya mereka yang tinggal di pedalaman dan kampung-kampung.
Dalam hal ini penulis berpandangan, bekas Menteri Besar Kedah itu telah memberi ruang kepada veteran DAP itu untuk mempromosikan dirinya kepada masyarakat kampung.
DAP pasti akan menjadikan kenyataan Sanusi itu sebagai bahan kempen untuk mendekati masyarakat pedalaman selepas jaminan diberikan oleh orang UMNO yang bukannya ahli biasa tetapi pernah memegang jawatan peringkat tertinggi di peringkat negeri yang dimenangi oleh Barisan Nasional.
Inilah akibatnya apabila mudah untuk mengadakan kerjasama dengan pihak yang pernah dianggap musuh dan kini mahu dijadikan kawan.
Semua itu berlaku ekoran masing-masing mahu mencapai matlamat iaitu menyingkirkan seorang Perdana Menteri yang bernama Datuk Seri Najib Razak.
Dalam hal ini mudah untuk dikatakan, bahawa Sanusi boleh dianggap seperti meludah ke langit terkena muka sendiri.
Jika dahulu, dalam ucapan mahupun di sidang media pemimpin-pemimpin seperi Sanusi dan Dr Mahathir pernah mengecam pembangkang dengan bermacam-macam tuduhan namun, sekarang ini ia sudah menjadi sebaliknya.
Mereka kini menjadikan alasan kerjasama yang dibuat menerusi `Deklarasi Rakyat’ baru-baru ini bukan untuk mengkhianat diri mereka daripada setia kepada UMNO, sebaliknya, semua itu dilakukan semata-mata mahu menumbangkan Najib dan menggantikannya dengan yang lain.
Bagi ahli UMNO pula, menyingkirkan Najib samalah seperti menumbangkan Barisan Nasional.
Mungkin benar apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa kumpulan Mahathir akan melakukan apa sahaja bagi menghalalkan cara.
Inilah sifat orang-orang politik yang masing-masing punya lidah bercabang. Demi mencapai matlamat mereka sanggup melakukan apa sahaja.
Apapun, perkara penting yang harus diambil peduli adalah jangan biarkan masalah ini berlarutan.
Selesaikanlah ia dengan cara yang profesional dan jangan mudah membuat dosa dengan menimbulkan fitnah demi kepentingan diri sendiri.
Kasihanilah rakyat, jangan heret kami dalam perjuangan yang belum tahu arahnya.
