Gagal urus perbezaan ijtihad punca ada orang Islam membunuh

Gagal urus perbezaan ijtihad punca ada orang Islam membunuh

Pemikiran berbeza dengan tingkat pemahaman dan daya fikrah orang Islam berlainan bukannya ancaman kepada agama Allah SWT, sebaliknya ia harus diraikan.

islam

Baru-baru ini, ada seorang kawan yang bukan beragama Islam bertanya kepada kita satu soalan yang membuatkan kita berfikir sejenak. Tanyanya, kenapa tiga daripada empat Khalifah yang benar selepas zaman Rasulullah SAW mati dibunuh? Mereka mesti melakukan sesuatu yang salah sehingga ada penentangan dan akhirnya mati dibunuh.

Kita diam sahaja mendengar pertanyaan kawan kita, kemudian tersenyum dan menghela nafas yang panjang. Kemudian kita kata mereka mati dibunuh sebab berlaku adil dan bersikap alim ketika pemerintahannya.

Kawan kita mengerutkan dahi seolah-olah meminta jawapan lebih mendalam. Kita kata kepada kawan kita ini yang kita tidak pandai, tetapi sepanjang pengetahuan kita, mana-mana raja atau pemimpin Islam yang adil lazimnya akan mati dibunuh.

Bahkan dalam sejarah Melayu-Islam juga, Sultan Alauddin Riayat Shah yang terkenal sebagai raja adil dan alim juga diriwayatkan mati dibunuh akibat diracun oleh pembesar istana Melaka.

Pada zaman moden ini, pemerintah Islam adil dan alim yang menerima nasib sedemikian ialah Raja Arab Saudi, Faisal Abdulaziz Al Saud yang memerintah antara tahun 1964 hingga 1975. Pemerintahan beliau yang dianggap rahmat buat Arab Saudi dan komuniti Islam antarabangsa terhenti selepas ditembak dari jarak dekat oleh anak saudaranya sendiri. Banyak yang menyebut ia konspirasi Barat yang takut akan keadilan yang dibawa baginda.

Kita tidak pasti pula mengenai raja-raja adil dan alim bukan beragama Islam, adakah mereka menerima nasib sama seperti pemerintah Islam yang adil.

Berbalik kepada soalan kawan bukan Islam kita ini, kita kata lagi yang kita sedih kerana dua daripada tiga Khalifah yang benar ini dibunuh atas nama Islam. Sejarah Islam ini agak pahit ditelan, kerana ia berlaku disebabkan Fitnah Besar lalu menyebabkan ada segolongan umat Islam mengambil keputusan sendiri yang boleh disifatkan terburu-buru, kononnya mahu melaksanakan hukum Allah SWT.

Akhirnya, dua Khalifah berkenaan, Sayyidina Uthman Affan dan Sayyidina Ali Abi Talib dikafirkan oleh segelintir orang Islam sendiri pada waktu itu dan atas ijtihad bahawa orang keluar Islam atau takfir mesti dibunuh, maka keputusan diambil untuk membunuh dua sahabat Rasulullah SAW yang mulia itu.

Kemudian, kawan bukan Islam kita tanya kembali, jika begitu, maka pembunuhan sesama Islam ini berlaku disebabkan sikap mengkafirkan saudara seagamakah?

Suka atau tidak kita terpaksa mengiyakan pertanyaan itu. Lihat sahaja rentetan pembunuhan antara Sunni dan Syiah. Begitu juga penganut Islam pelbagai aliran termasuk Asyaari, Maturidi, Wahabi dan lain lain.

Perkara itu berlaku sejak Fitnah Besar dan terus berlarutan sehingga hari ini. Penyelesaiannya pula memang sukar kerana ia sudah membabitkan sikap dan moral diri umat Islam itu sendiri. Isunya bukan satu-satu fahaman atau aliran pemikiran dalam Islam itu benar atau tidak. Isunya adalah sama ada mahu meraikan perbezaan atau keras pendirian dengan pemahaman Islamnya sahaja dan menolak pemahaman Islam versi lain.

Jika tahu meraikan perbezaan mungkin tiada masalah. Jika keras pendirian atas pemahaman Islam versinya sahaja, maka ada masalah kelak kerana akan ada unsur paksaan di situ. Yalah, pemikiran manusia berbeza-beza dengan tingkat pemahaman dan daya fikrahnya berlainan. Maka di sinilah akan tercetusnya pertelingkahan sesama umat Islam, apatah lagi sesama umat manusia.

Justeru, kita sebagai umat Islam wajib untuk tahu menguruskan perbezaaan ijtihad, pemahaman Islam versi masing-masing supaya tidak bertelingkah, berkelahi dan paling teruk berbunuh sesama sendiri. Ambillah pengajaran daripada peristiwa pembunuhan dua sahabat Rasulullah SAW yang mulia itu dan berdoalah selalu kepada Allah SWT supaya kita dijauhkan daripada perkara sedemikian.

Wallahua’lam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.