Kenapa muzium dilupakan?

Kenapa muzium dilupakan?

Muzium sangat penting bagi manusia sejagat kerana ia menceritakan kehidupan manusia terdahulu dan peristiwa-peristiwa bersejarah.

muzium-negara

Tatkala orang ramai bergembira melancong dan menghabiskan masa bersama keluarga di kompleks beli-belah, sesuatu yang mungkin mereka terlupa untuk disinggahi adalah muzium, suatu tempat yang penuh dengan 1001 macam cerita.

Pernahkah kita terfikir mahu membawa anak-anak berkunjung ke tempat yang banyak menyimpan pelbagai rahsia ini?

Jika jawapannya ya, anda adalah seorang ibu ataupun bapa yang prihatin dalam mendidik anak-anak untuk mengenal sejarah sekaligus menanam di dalam sanubari mereka untuk menjadi insan yang cintakan tanahair.

Mengupas mengenai perkara ini, penulis ingin mengajak anda berfikir mengapa muzium kini dilihat kurang diminati oleh masyarakat untuk dikunjungi.

Dimanakah silapnya? Adakah ia berpunca daripada sikap ibu bapa sendiri yang tidak kisah langsung atau tidak prihatin untuk membawa anak-anak untuk mengetahui dengan lebih lanjut perihal sejarah.

Adakah dengan mengunjungi muzium ia dianggap sebagai satu aktiviti `kuno’ yang tidak lagi perlu untuk dilakukan oleh masyarakat pada hari ini ekoran kemajuan yang ada?

Pemikiran muda-mudi

Pola pemikiran dan gaya hidup muda mudi yang kini berbeza menyebabkan mereka mungkin menganggap perkara lampau atau sejarah tidak bermakna dalam diri mereka.

Muzium sangat penting bagi manusia sejagat kerana ia menceritakan kehidupan manusia terdahulu dan peristiwa-peristiwa bersejarah.

Ia merupakan sebuah lokasi yang menempatkan objek-objek berkaitan dengan sejarah, agama, kesenian, kebudayaan dan penemuan saintifik.

Hakikatnya, muzium yang telah lama diwujudkan sejak abad ke-3 sebelum Masihi semakin lama semakin berkembang mengikut peredaran zaman.

Secara tradisinya, muzium berperanan sebagai tempat pengumpulan, pemeliharaan dan penyelidikan terhadap objek tersebut. Kini, ia mampu menjana ekonomi sesebuah negara.

Secara keseluruhan, terdapat sebanyak 153 muzium di Malaysia yang dibahagikan mengikut empat kategori iaitu Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Perbadanan, Institusi serta Swasta.

Muzium-muzium tempatan lebih mempamerkan objek berkaitan identiti Malaysia misalnya, Muzium Negara banyak mempamerkan sejarah-sejarah tanah air.

Muzium hanya jadi tumpuan pelancong asing

Jika dilihat muzium pada hari ini hanya menjadi tumpuan oleh para pelancong luar negara untuk mengetahui dengan lebih mendalam sejarah Malaysia sejak sebelum merdeka.

Pernah satu ketika dahulu ketika penulis di bangku sekolah rendah, pihak sekolah ada menganjurkan rombongan untuk murid-murid melawat ke Muzium Negara.

Dengan penuh teruja, penulis turut mengambil bahagian dalam rombongan berkenaan dan pada ketika itu kegembiraan turut dapat dilihat di wajah rakan-rakan penulis yang lain.

Adakah pengalaman yang pernah penulis alami itu turut dirasai oleh para pelajar sekolah rendah mahupun menengah pada hari ini?

Merungkai masalah kurangnya sambutan orang muda terhadap muzium ia sepatutnya dilakukan satu kaji selidik bagi mendapatkan jawapannya.

Mungkin juga dari segi artifak, konsep pameran atau cara persembahan artifak dipamerkan perlu ‘dimodenkan’ bagi menarik golongan ini ke muzium.

Bagi menambahkan kemeriahan, pihak muzium juga pada pandangan penulis perlu mengadakan aktiviti misalnya mengadakan jualan seperti gerai atau acara-acara berbentuk hiburan sesuai dengan perkembangan orang muda pada ketika ini.

Jika elemen berkenaan ada penulis yakin, muzium tidak mungkin akan sepi lagi seperti yang kita lihat pada hari ini.

Akhir sekali, penulis ingin menyatakan bahawa kejayaan sesebuah negara itu adalah menerusi sejarahnya.

Lihat sahaja, bagaimana Jepun boleh membangun hingga menjadi sebuah negara yang hebat selepas diledakkan dengan letupan bom di Hiroshima semasa perang dunia kedua.

Percayalah, anak-anak kita juga akan menyayangi negaranya jika mereka faham tentang pengorbanan para pejuang terdahulu untuk menuntut kemerdekaan.

Semua itu hanya boleh mereka ketahui bukan sekadar menerusi buku sejarah sebaliknya, rahsia itu turut terkandung di dalam muzium.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.