Fenomena rakyat Malaysia benci warga asing

Fenomena rakyat Malaysia benci warga asing

Menakutkan dan menggerunkan melihat video dan gambar seorang lagi manusia dipukul hingga mandi darah. Kita secara tidak langsung menyemai rasa benci pada mereka yang bergelar 'warga asing'.

pekerja-asing_mal_600

Langkah kiri kerajaan, hasil keputusan sistem dalaman, pelaksanaan polisi yang melulu, semuanya kini menjadikan manusia benci sesama manusia. Semuanya menjadikan manusia berperang sesama manusia.

Di mana moral kita? Kalau kita di luar negara, entah apa lagi orang nak label pada kita dengan perangai kita yang semakin ganas.

Sekarang, orang Malaysia jumpa Bangla, terus nak mencerca, marah, tengking, tunjuk rasa benci, paling teruk sampai bertumbuk.

Semalam, satu video seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh dipukul teruk sehingga mandi darah tersebar. Ikut laporan, lelaki Bangladesh itu mencabul/merogol seorang kanak-kanak. Sehingga artikel ini ditulis, berita itu belum disahkan, tetapi daripada apa yang dikatakan, kanak-kanak tersebut dan bapanya telah ke balai membuat laporan polis.

Beberapa hari lalu, Papagomo pula didakwa menyerang seorang pekerja warga Pakistan kerana melakukan gangguan seksual terhadap dua adik perempuannya bersama dua orang rakan mereka.

Bukan nak kata kita tidak berhak menyoal atau ‘mengajar’ perbuatan keji orang luar itu, tetapi cuma tidak faham mengapa semua perkongsian dilakukan sekarang, pada masa kini. Ia seolah-olah menambah minyak dalam api yang sedang hangat membara. Kita sudah tidak pandang jenayah dan perlakuan salah orang tempatan, seolah-olah sasaran kita hanya kepada warga asing.

Ada yang menggunakan peluang ini dengan berkongsi pelbagai lagi perkara, semunya untuk memprovokasi kita, lebih membenci.

Lihat sahaja perkongsian di laman-laman sosial dan Whatsapp, ia berkenaan warga asing diserang kerana berkelakuan tidak senonoh terhadap wanita tempatan, gambar-gambar ‘happy-hour’ mereka bersama awek tempatan, video mereka memberi komen mengenai betapa ‘baiknya’ polis kepada mereka, video betapa mereka ‘suka’ pada Malaysia, video mereka pegang bendera Malaysia dan mengiyakan setiap perkataan yang disebut oleh seorang individu rakyat Malaysia dan sebagainya. Entah-entah semuanya dibuat-buat untuk RM10, sebungkus nasi atau secawan teh…

Kita pula hilang akal untuk menentukan yang mana benar dan yang mana tidak, yang mana patut dipercayai dan yang mana tidak patut dilayan dan yang mana tidak sepatutnya dipeduli. Kita pula sibuk kongsi semua video dan gambar yang sebenarnya dibuat untuk tujuan memprovokasi kita. Entah-entah daripada 10 video, baru satu benar.

Ya, kita tidak sedar sedang diprovokasi sehingga mula membenci melihat warga asing, lebih-lebih lagi populasi sanak-saudara 1.5 juta itu. Sekarang, apa yang sedang berlaku semakin di luar kawalan. Siapa punya kerja, saya pun tak tahu tetapi ini adalah kerja mereka yang tidak suka negara ini aman dan rakyatnya berhemah.

Kita sebagai seorang manusia yang berakhlak harus tahu menilai.

Janganlah kita juga terpengaruh dengan mainan ini sehingga leka dan alpa bahawa ada isu-isu yang lebih besar dan lebih utama sedang menanti dan perlu diberi perhatian.

Janganlah kita sekali lagi dan lagi jadi bahan jenaka dan tajuk utama berita antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.