Bermacam reaksi yang kita terima berhubung artikel bertajuk ‘Ideologi Daesh berkait Hari Kiamat, sukar dipatahkan’ yang diterbitkan pada 14 Feb lalu.
Mengimbas kembali, kita ada sebut dalam artikel itu mengenai kepercayaan puak Daesh ini yang mereka percaya ditakdirkan berperang di Dabiq, iaitu satu bandar kecil di Syria yang akan menjadi medan pertempuran maha dahsyat dan maha besar sebelum kemunculan Imam Mahdi mengikut catatan hadis.
Untuk pengetahuan pembaca, artikel berkenaan ditulis sehari sebelum bermulanya perhimpunan ketenteraan terbesar dalam sejarah Asia Barat.
Perhimpunan itu yang dinamakan Operation North of Thunder atau Nothern Thunder membabitkan seramai 350,000 tentera dari 20 negara Islam dengan kelengkapan 20,000 kereta kebal, 2,450 pesawat perang dan 460 helikopter tentera.
Kenyataan rasmi pengurusan Operation Northern Thunder menyebut, negara yang terbabit ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Jordan, Bahrain, Sudan, Kuwait, Morocco, MALAYSIA, Pakistan, Tunisia, Oman, Qatar dan beberapa negara Islam lain.
Operasi ketenteraan ini dicanangkan sebagai latihan sahaja yang berlangsung selama 18 hari, namun media seluruh dunia kecoh ia adalah persiapan negara Islam Sunni menyerang Syria dan menggulingkan Presiden Bashar Al Assad.
Pada masa sama, operasi berkenaan juga disebut sebagai langkah memerangi kumpulan militan Sunni Daesh yang menguasai sebahagian besar wilayah Syria dan Iraq dan mengekang pengaruh Iran serta proksinya, kumpulan Hizbullah. Bashar Al Assad, pimpinan Iran dan Hizbullah adalah Islam daripada cabang Syiah.
Berikutan itu, Presiden Russia, Vladimir Putin cakap, perang dunia akan meletus jika benar 20 negara Islam ini akan menyerang Syria. Umum tahu, Syria dan Iran adalah sekutu Russia serta menjalin hubungan rapat dengan China.
Perkembangan global ini menyebabkan kita tertanya, betul ke askar Malaysia akan turut serta menyerang Syria kerana pembabitan dalam Operation Northern Thunder?
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjawab mengenai hal itu dengan berkata, askar kita tidak terbabit dengan operasi ketenteraan di Yaman. Katanya, latihan itu diadakan di utara Arab Saudi sedangkan Yaman terletak di selatan Arab Saudi.
Kita pelik sebenarnya dengan jawapan itu. Yang kita tahu dunia kecoh cakap-cakap operasi itu untuk serang Syria, bukannya Yaman dan adakah tentera kita terbabit atas dasar penyertaan dalam operasi itu.
Mungkin Menteri Pertahanan agaknya tak mahu kecoh-kecoh sebab ia perkara besar yang membabitkan banyak negara Islam, kuasa besar dunia yang ada senjata nuklear serta geo-politik global.
Situasi ini agak kompleks dan senario politiknya rumit, tetapi kini nampaknya seolah-olah negara Islam Sunni termasuk Malaysia, ‘menyerang’ kepemimpinan Syiah global iaitu Bashar Al Assad serta Iran yang disokong Russia serta China.
Ketika artikel ini ditulis, latihan ketenteraan di bawah Operation Northern Thunder masih berjalan dan membuatkan kita terfikir mengenai kepercayaan puak Daesh berhubung pertempuran maha dahsyat dan maha besar di Dabiq, Syria seperti yang dikatakan hadis.
Sekali sekala terlintas juga di otak kita mengenai derma politik RM2.6 bilion yang dikatakan daripada pemerintah Arab Saudi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Entah ia ada kaitan atau tidak, kita susah hendak menelaahnya.
Wallahu’alam.
