Lepasan universiti di negara ini mungkin tidak lagi mempunyai alasan untuk mengatakan tidak ada kerja buat mereka selepas bergraduan.
Ini kerana, selepas kerajaan memutuskan untuk membuat penghantaran pulang lebih dua juta pekerja asing yang berada di Malaysia, masalah tiada peluang pekerjaan tidak lagi timbul.
Mendengar cabaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mahu agar para belia terlibat secara langsung dalam sektor-sektor yang dimonopoli oleh warga asing, penulis terfikir bahawa mereka-mereka yang sering mengeluh kerana tidak mempunyai pekerjaan adalah golongan graduan.
Namun, sejauh mana mereka bersetuju dan berani menyahut cabaran Ahmad Zahid itu, lebih-lebih lagi ditangan mereka ada segulung kertas yang dinamakan ijazah penjamin masa depan.
Dalam hal ini, penulis mahu mengajak pembaca mengkaji sedalam-dalamnya maksud yang ingin disampaikan oleh Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
Jika difikirkan, memang tidak logik sekiranya seorang yang mempunyai lulusan tinggi mahu terjebak dalam bidang yang kotor, susah dan berbahaya sedangkan pada hakikatnya mereka boleh bersenang-senang menjadi seorang pegawai berjawatan tinggi dan bertugas di dalam kondisi pejabat yang berhawa dingin.
Mesti ramai yang akan berkata ia `tidak berbaloi’ selepas berhempas pulas selama lebih empat tahun untuk memenuhi cita-cita dan merealisasikan impian ibu dan ayah yang mahu melihat anak mereka berjaya.
Pernah satu masa dahulu, ketika penulis bertugas sebagai wartawan bertemu dengan seorang warga Bangladesh yang bekerja sebagai atendan di sebuah stesen minyak.
Sewaktu ditemubual, lelaki warga Bangladesh itu memberitahu, dia sebenarnya seorang graduan dari sebuah universiti di negaranya.
Katanya, disebabkan masalah ekonomi di tempat kelahirannya, dia telah membuat keputusan untuk mengikuti rakan-rakannya yang lain ke Malaysia bagi mencari pekerjaan.
Meskipun, mempunyai ijazah dalam bidang perakaunan, dia tidak kisah bekerja di stesen minyak di negara ini walaupun terpaksa menerima gaji sebanyak RM900 sebulan.
Apa yang penting katanya, dia mempunyai azam untuk mengubah kehidupannya selain mahu menghantar wang bagi menyara kehidupan keluarganya di kampung walau terpaksa bekerja di stesen minyak dengan tangga gaji yang tidak seberapa.
Nah, mendengarkan cerita itu, fahamlah penulis bahawa kesungguhan untuk melakukan sesuatu tanpa memberikan alasan boleh memberikan pulangan kepada individu untuk meneruskan kehidupan di muka bumi tuhan ini.
Janganlah dianggap negatif cabaran Ahmad Zahid itu sebaliknya, harus mengucapkan syukur kerana tidak lagi perlu meniti kehidupan di tanah air sendiri tanpa sebarang pekerjaan.
Anggaplah ia sebagai satu motivasi yang mampu meningkatkan moral dan sewajarnya berterima kasih kepada kerajaan yang telah memecah kebuntuan golongan penganggur `terhormat’ yang semakin bertambah.
Pepatah Melayu ada berkata, nak seribu daya tak nak seribu dalih.
