Pemberian bonus Tabung Haji legakan pendeposit

Pemberian bonus Tabung Haji legakan pendeposit

Pemberian dua jenis bonus oleh Tabung Haji itu boleh dianggap sebagai hadiah tahun baru

Tabung Haji

Mendengar pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir semalam, berhubung pembayaran bonus Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2015 mesti membuatkan ramai yang menarik nafas lega.

Mereka yang pastinya berlapang dada mendengar keputusan itu sudah tentulah para pendepositnya sendiri termasuklah penulis yang sejak beberapa hari lalu ada sedikit rasa gusar ekoran isu-isu yang berbangkit membabitkan badan berkanun itu.

Penulis percaya ia terjadi kesan daripada kontroversi yang melibatkan TH sebelum ini apabila dikaitkan dengan syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX) hingga ada dalam kalangan pendeposit dikatakan curiga hingga mahu mengeluarkan semua simpanan mereka.

Masakan tidak, ia tiba-tiba menjadi suatu perkara yang boleh dianggap serabut kerana institusi itulah satu-satunya di negara ini yang diyakini untuk menguruskan perihal orang-orang Islam bagi menunaikan kewajipan rukun Islam yang kelima khusus buat mereka yang mampu.

Selepas kerajaan Arab Saudi memperkenalkan sistem kuota kepada setiap negara Islam bagi urusan penghantaran jemaah haji pada setiap musim haji, tidak ada jalan lain lagi untuk orang Islam di Malaysia yang berkeinginan ke Baitullah selain menggunakan saluran Tabung Haji.

Lainlah, bagi orang yang memang benar-benar punya poket yang tebal, mereka mungkin ada saluran lain yang boleh digunakan bagi menguruskan perjalanan ke sana samalah seperti orang berduit hendak pergi menunaikan umrah.

Bercakap mengenai dividen, dua jenis bonus yang diumumkan oleh Jamil Khir itu boleh dianggap sebagai hadiah tahun baharu selepas Permodalan Nasional Berhad melakukan perkara sama pada awal Januari lalu.

Ia merupakan satu perkara yang tidak disangka-sangka apabila TH pada tahun ini mengumumkan satu bentuk bonus kepada para pendepositnya dengan pemberian dividen sebanyak 5% manakala satu lagi dipanggil tambahan Bonus Haji dibayar sebanyak 3%.
Bagi mereka yang sememangnya membuat tabungan di TH, pengumuman itu sudah pasti mampu membuatkan mereka senyum lebar ditambah pula jika turut mempunyai pelaburan di dalam Saham Amanah.

Dalam hal ini, secara jujurnya, penulis mahu memberikan tabik `spring’ kepada pihak TH yang dengan cekap menepis tohmahan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai lanjutan kepada kontroversi yang pernah dilalui sebelum ini.
Malah, pemberitahuan keuntungan yang dicatat berjumlah RM3.35 bilion pada 2015 serta dikatakan tertinggi sejak 52 tahun penubuhannya jelas membuktikan visi dan misi TH semakin jelas meskipun serangan demi serangan dihadapi oleh badan itu.

Bukan hendak menuduh, tetapi penulis berharap agar TH akan menjadi sebuah badan berkanun yang cekap, amanah dan bersih daripada segala macam anasir yang boleh menghakis kepercayaan masyarakat.

Ia penting, bagi membuktikan walaupun dihentam terus dengan tohmahan dan bermacam lagi spekulasi, namun, semua itu dapat ditangkis sebaik-baiknya demi menjaga maruah dan kredibiliti TH agar tidak tercalar.

Apapun nanti, para pendeposit bolehlah bawa buku simpanan mereka ke TH untuk periksa sendiri jumlah bonus yang dimasukkan ke dalam akaun mereka sesuai dengan jumlah simpanan yang ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.