Ingat lagikah inisiatif murni Putrajaya untuk menangani kos sara hidup rakyat yang dikendalikan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU)?
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan inisiatif itu di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara(NKRA) pada Julai 2011.
Najib bertindak sebagai pengerusi, manakala Datuk Seri Idris Jala memegang amanah sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Pemegang amanah pula terdiri daripada pegawai tinggi kerajaan yang gajinya bergred JUSA dan TURUS ke atas, termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Propaganda diuar-uarkan mengenai usaha mulia kerajaan menangani kos sara hidup yang semakin membebani rakyat. Rakyat mulai yakin nasib mereka terbela dan menaruh keyakinan terhadap kepemimpinan Najib dan pentadbirannya.
Itu cerita empat tahun lalu dan kini hakikatnya ialah NKRA Menangani Kos Sara Hidup semacam tidak berfungsi untuk mengatasi masalah kos sara hidup ini.
Masakan tidak, kos sara hidup tetap meningkat tahun demi tahun sehinggakan segolongan rakyat yang dahulunya boleh dikira hidup senang, sekarang ini sudah tergolong dalam golongan orang susah.
Apa yang NKRA Menangani Kos Sara Hidup buat? Di mana laporan mengenai usaha untuk menangani kenaikan kos sara hidup ini?
Datuk Seri Najib cakap NKRA Menangani Kos Sara Hidup adalah sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP), bagaimanapun ia meninggalkan persoalan adakah GTP jenis ini yang dibuat kerajaan iaitu kos sara hidup naik saban tahun.
Pemilikan rumah dan pengangkutan terus menjadi barah utama ke atas kos sara hidup dalam kalangan rakyat dan kini virus baharu pula masuk iaitu kejatuhan harga minyak mentah sedunia. NKRA Menangani Kos Sara Hidup ada kaedah tak berdepan cabaran ini?
Kita pun tertanya juga, ketika hendak mewujudkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), NKRA Menangani Kos Sara Hidup tidak lihatkah impaknya terhadap kos sara hidup rakyat?
Kita gesa Najib, Idris, Ali dan pegawai kerajaan gaji bergred TURUS dan JUSA tolong bertegas buat sesuatu selesaikan perkara ini dan jangan biarkannya. Empat tahun lalu habis canang kos sara hidup akan diatasi tetapi sekarang ini apa pun tiada.
Rakyat mahukan ‘fast result’ kerana sudah tidak tahan lagi. Harapnya semakan Bajet 2016 berjaya dengan cemerlangnya mengatasi kenaikan kos sara hidup yang naik mendadak ini. Harap-haraplah.
