Oleh Ronasina
Jika kita memandu keliling kota Kuala Lumpur dan Lembah Klang, pasti kita akan menemui papan tanda nama-nama kampung. Kampung Baru, Kampung Banda Dalam, Kampung Datuk Keramat, Kampung Pandan, Kampung Kemensah dan bermacam lagi.
Tetapi perasankah ada beberapa kampung tradisional yang pernah anda lewati dulu kini sudah ghaib? Sesetengahnya ada papan tanda nama kampung tetapi kampungnya tiada. Apakah ia kampung bunian?
Kampung Berembang, Kampung Chubadak, Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum antara yang sudah menjadi sejarah. Anak cucu kita pasti akan ketawa dan menganggap kita berbohong jika suatu hari nanti kita ceritakan kepada mereka bahawa tapak bangunan pencakar langit atau kondominium mewah di hadapan mata mereka itu dahulunya sebuah perkampungan.
Bukan hanya kampung Melayu sahaja, penempatan kaum Cina dan India juga tidak terkecuali menjadi mangsa penjajah moden yang lapar tanah ini. Kampung Banda Dalam dan Kampung Railway di Sentul sudah menerima ancaman untuk ‘dibunuh’. Entah apa lagi pembangunan yang hendak dikejar sehingga kampung-kampung ini menyampah dilihat oleh pemaju dan wajib dihapuskan.
Kampung Baru yang terletak strategik sebagai ‘Segitiga Emas’ kota Kuala Lumpur sudah lama diintai pemaju seperti musang lapar melihat anak ayam. Hanya masa menentukan apakah Kampung Baru mampu bertahan atau turut sama memyembah bumi seperti kampung seangkatan dengannya.
Suatu masa dahulu pada era Tun Razak sebagai Perdana Menteri, digalakkan rakyat membina penempatan sebagai peneroka bandar. Dan di kediaman setinggan ini diberikan kemudahan air paip untuk dikongsi bersama. Kita boleh lihat gambaran situasi ini jika menonton filem Melayu awal 80an bertajuk Setinggan di mana peneroka bandar bergilir berkongsi bekalan air.
Ironinya, pada zaman pemerintahan anak Tun Razak pula kampung-kampung ini hebat dirampas untuk dibina gedung atau rumah mewah. Peneroka bandar disuruh pindah ke rumah pangsa (baca: paksa) yang kecil dan sendat. Dan di rumah pangsa yang sempit terhimpit inilah punca lahirnya gejala sosial negatif seperti dadah dan jenayah lainnya.
Pada tahun 1991 iaitu era Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, Akta Pengambilan Tanah 1960 telah dipinda. Seksyen 3(b) dan pengenalan Seksyen 68A memberikan peluang sewenangnya oleh pihak kerajaan merampas tanah atas alasan apa pun tanpa boleh dicabar di mahkamah. Atas pindaan itulah maka berlakunya rampasan tanah demi untuk membangunkan projek mega lagi megah. Ia sah dilakukan dari segi undang-undang kerana termaktub di dalam akta yang disebutkan tadi.
Timbul pertanyaan, apakah menjadi satu kesalahan jika kampung tradisional wujud di tengah kota Kuala Lumpur? Mengapa tidak boleh terus dikekalkan dan dibantu untuk memeliharanya sebagai sebuah warisan dengan melakukan penambahbaikan juga memperbaiki apa yang kurang sehingga suatu hari nanti berjaya mencapai tahap piawaian UNESCO sebagai sebuah warisan yang wajib dipelihara? Apakah kemodenan mesti mengorbankan tradisional?
Atau ini bukan hal kita, bukan sesuatu yang penting? Mungkin minda terjajah kita berpandangan kemodenan bermakna pembangunan fizikal menara-menara canggih bernama orang putih, bukannya benda-benda atau perkara yang berunsurkan tradisional.
Dengan berbahasa ibunda slang penjajah kita bangga berkata, “Maaf, saya bukan budak Kerinchi. Saya dari Bangsar South!”
@ronasina merupakan pelukis/ penulis/ aktivis dan pengasas kempen Hope2Walk kesedaran tentang Cerebral Palsy.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
