
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang enggan dinamakan, berkata sehingga kini pucuk pimpinan parti tidak membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan gabungan lain, sebaliknya hanya menyokong pentadbiran kerajaan semasa sehingga pilihan raya akan datang.
“Itu pandangan peribadi Musa kerana tiada keputusan dibuat oleh MKT Umno mengenai kerjasama PRU16 kecuali menyokong kerajaan hari ini sehingga PRU16.
“Sebarang keputusan akhir akan dibuat setelah kajian terbaik dibuat di peringkat MKT Umno dan dibawa ke mesyuarat MKT akan dipengerusikan oleh presiden Umno bagi memutuskan rakan kerjasama menghadapi PRU16,” katanya kepada FMT.
Katanya, Umno akan menilai kekuatan rakan gabungan sebelum membuat keputusan muktamad.
“Dasar Umno dan toleransi serta kekuatan parti-parti akan dinilai dalam membuat keputusan. Umno tidak akan ‘flip-flop’ macam MIC dalam menentukan masa depan parti dan negara,” katanya.
Terdahulu, Musa menyebut Umno Pulau Pinang akan bekerjasama rapat dengan PH pada pilihan raya akan datang dengan jaminan tidak akan mengkhianati kerjasama itu.
Katanya, Umno-Barisan Nasional tidak pernah tikam kawan dari belakang sambil menyokong penuh kerajaan perpaduan bawah Ketua Menteri Chow Kon Yeow.