
Di sini juga terletak Kampung Rusila, yang menjadi pengkalan pengaruh Hadi menerusi kuliahnya, khususnya kuliah subuh yang dihadiri ribuan orang.
Disebabkan presiden PAS sendiri yang bertanding di sini, Marang menjadi salah satu kawasan paling panas dan menjadi fokus setiap kali pilihan raya.
Hadi mula bertanding di sini pada pilihan raya umum 1978 di kerusi negeri Marang tetapi kalah dengan hanya perbezaan 64 undi kepada calon BN, Tengku Zahid Tengku Musa. Pada pilihan raya berikutnya, Hadi menang dengan 320 undi, dan sekali lagi pada 1986, dan sehingga sekarang mengekalkan kerusi DUN itu.
Di peringkat kerusi Parlimen Marang, Hadi kalah pada 2004 yang menyaksikan undi orang Melayu kembali kepada Umno dan Barisan Nasional (BN), dalam apa yang disebut sebagai mengalu-alukan perdana menteri baru ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Namun tsunami politik pada 2008 menyaksikan Hadi kembali ke Marang. Pada 2013, Hadi mengalahkan calon BN dengan kelebihan 5,124 undi.
PAS turut memenangi 3 daripada 4 kerusi negeri di sini, iaitu, Rhu Redang, Alur Limbat dan Bukit Payung, sementara Pengkalan Berangan dikuasai BN.
Yang Dipertua PAS Marang, Yahya Ali yakin PAS akan mengekalkan kerusi ini, tetapi beliau mengakui kerusi disandang presiden parti ini juga turut perlu dipertahankan dengan pelbagai usaha.
“Kita tak boleh bongkak atau sombong, kita mesti berjuang, kena buat kerja berlipat ganda,” katanya kepada FMT.
Bagi Yahya, kemenangan Hadi adalah kebaikan kepada seluruh dunia.
“Beliau dilihat memimpin ummah di peringkat antarabangsa, buah fikiran beliau diberi perhatian,” katanya merujuk kepada jawatan Hadi sebagai naib ketua Kesatuan Ulama Sedunia.
Yahya berkata kehadiran Pakatan Harapan (PH) langsung tidak akan memberi kesan di Marang.
“Umno pun orang tak terima ini nak terima Amanah?” soalnya.
Menurutnya, rakyat Terengganu sudah menerima perjuangan PAS yang mengaitkan isu dengan Islam.
“Kalau nak cakap 1MDB, kena ada kaitan dengan Islam, masalah rasuah, salah guna kuasa ada kaitan dengan Islam. Rakyat sekarang nak kepada agama, sebab Islam ini bukan hanya kepada solat, puasa sahaja tapi berkait dengan kehidupan,” katanya.
Ketua Umno Marang, Datuk Latiff Awang mengakui kekuatan PAS di sini, tetapi berkata tidak sukar untuk Umno tembusi seperti mana pada 2004.
Beliau turut berjanji peruntukan lebih banyak untuk Marang.
PH dijangka mempertaruhkan calon Amanah untuk menentang Hadi.
Hadir sebagai parti kerdil, Amanah akan meletakkan calon muda.
“Kita akan meletakkan calon muda yang boleh tarik perhatian dan minat golongan muda untuk memberi saingan di Marang, orang muda lebih tahu apa sepatutnya mereka lakukan di Terengganu.”
Walaupun ada yang berkata Amanah akan hilang deposit di sini, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad tampil yakin dengan peluang parti pecahan PAS itu.
“Marang bukan satu kawasan mustahil kita menang dan Rahman Bakar yang tidak dikenali membuat kejutan disana apabila berjaya menewaskan Abdul Hadi,” katanya merujuk calon BN yang pernah menang di Marang.
“kalau kita tak menang pun, kita boleh kurangkan majoriti dan memberi saingan sengit, kita juga jangka tidak akan hilang deposit,” katanya kepada FMT.
PPBM turut mengakui Marang satu-satunya parlimen di Terengganu sukar ditembusi lawan PAS.
“Itu kubu kuat PAS. Dari dulu sampai sekarang di jajaran pantai menuju ke Marang tidak ada satu bendera BN, tapi 7 lagi kawasan Parlimen lain tidak lagi menjadi kubu satu-satu parti,” kata Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris.