Badai 3 penjuru di Kuala Terengganu

Badai 3 penjuru di Kuala Terengganu

Benteng antara Raja Kamarul Bahrin dan kemaraan PAS dan Umno ialah Amanah, dibantu 3 parti kecil di Terengganu.

Free Malaysia Today
Raja Kamarul Bahrin Shah (kiri) menang di bawah tiket PAS di Kuala Terengganu pada 2013, kini antara pemimpin paling vokal dalam Amanah. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Pada pilihan raya umum lepas, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mempertahankan Kuala Terengganu untuk PAS dengan majoriti selesa 10,785 undi.

Kedudukannya kukuh. Tiga kerusi negeri juga disapu pembangkang PAS dan PKR.

Walaupun Barisan Nasional (BN) kemudian membentuk kerajaan negeri, jentera PAS yang menjadi benteng antara beliau dan 2 pencabarnya memungkinkan Raja Kamarul menepis Mohd Zubir Embong daripada majoriti senipis 2,631 undi.

5 tahun kemudian, Pakatan Rakyat terbubar. Perpecahan dalaman menyaksikan Raja Kamarul menyertai sekumpulan pemimpin veteran PAS menubuhkan Amanah, kini salah satu komponen Pakatan Harapan (PH) bersama-sama PPBM, PKR dan DAP.

Walaupun dilihat popular di Terengganu, tiada penghijrahan besar-besaran ahli PAS mengekori keturunan diraja ini.

Pada pilihan raya akan datang ini, benteng antara Raja Kamarul dan kemaraan PAS dan Umno ialah Amanah, dibantu 3 parti kecil di Terengganu.

Bagi PAS, ketiadaan Raja Bahrin bukan satu kehilangan.

“Kita PAS mempunyai pengundi yang setia walaupun wakil rakyat kita sebelum ini belot keluar parti,” kata Wan Sukairi Wan Abdullah, yang mengetuai PAS Kuala Terengganu.

“Kita terus buat kerja kebajikan di seluruh DUN bawah Parlimen Kuala Terengganu sejak 3 tahun lalu. Kita buat kerja bukan dekat pilihan raya, tapi kita bergerak atas dasar kepercayaan rakyat kepada kita yang memberi undi pada 2013,” katanya.

Wan Sukairi barangkali tidak bercakap kosong. Parti Islam itu memang terkenal dengan disiplin, kesetiaan dan ketaatan, aset yang kadang-kadang tidak kelihatan dalam parti lawan, terutama di Terengganu yang suatu ketika berada di bawah imam besar mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Walaupun tumbang pada 2004 selepas sepenggal memerintah, ancaman PAS akan kembali lalu menenggelamkan lawan sentiasa jadi igauan. Dalam kedudukan sekarang, hanya 3 kerusi memisahkan BN dan PAS di Dewan Undangan Negeri.

“PAS mempunyai pengundi tegar sejak 1999,” kata Wan Sukairi.

“Peluang masih kepada PAS. Apa pun kita tak boleh rasa selesa, kita kena kerja kuat. Kita sebenarnya melawan BN sebab itu pesaing utama kita. PH ibarat pengacau sahaja.”

Pecah dan menang

Bandaraya warisan tepi pantai ini sama sekali tidak seperti ibu negeri lain. Pada PRU 2013, 89% daripada 94,406 pengundi P036 berbangsa Melayu, hanya 10% pengundi Cina dan 1% pengundi India.

Sejarah Kuala Terengganu menyaksikan wakil rakyatnya silih berganti antara PAS dan Umno. Veteran PAS dan Presiden Amanah Mohamad Sabu turut pernah bertanding di sini pada pilihan raya kecil 2008, tetapi tewas di tangan calon BN, Datuk Razali Ismail dengan majoriti tipis 628 undi.

Amanah pasti mengharapkan PPBM dan PKR untuk memecahkan undi Umno seberapa banyak yang boleh, sambil DAP menarik undi Cina.

“Dalam kalangan penyokong PAS sendiri, saya rasa, walaupun tidak menzahirkan sokongan secara terbuka tapi dalam 12 bulan terakhir ini, petanda untuk mereka bersama PH amat-amat menggalakkan.

“Kalau 24 bulan dulu mereka sukar untuk menerima kita. Sekarang lebih terbuka,” kata Raja Kamarul.

Arkitek itu percaya kerjasama yang terjalin antara PAS dan Umno mutakhir ini memakan diri.

“Penyokong PAS keliru dengan sikap pemimpin PAS sekarang ini. Banyak berkecuali di Parlimen dan dilihat lebih mesra BN tapi tidak mahu mengaku sebab takut hilang pengaruh.”

Penyokong PAS bagaimanapun juga bukan peminat calon perdana menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi Raja Kamarul mengharapkan aura itu mampu menarik undi BN dan pengundi atas pagar kepada Amanah.

BN ‘macam dah boleh menang’

Perpecahan dalaman PAS ternyata menaikkan selera BN yang berjaya mengharungi penggal ini dengan kerajaan negeri yang utuh.

Mereka menyusun pelbagai program dalam usaha untuk memujuk pengundi P036 untuk kembali bersama mereka selepas kematian Razali pada 2009.

Dengan majoriti 2,631 undi, Mohd Wahid Endut dari PAS menewaskan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan sejak itu sehingga kini BN mahukan kerusi ini kembali.

“Dari segi ‘mood’ pengundi kita rasa boleh menang sebab banyak isu-isu kita dah selesaikan termasuklah perpecahan dalam parti,” kata Ketua Pemuda Umno Kuala Terengganu, Najmil Faiz Mohamed Aris.

“Kita buat ‘expo’ di Kuala Terengganu, kita macam dah boleh menang sebab sambutan rakyat cukup luar biasa. Hampir 600,000 orang turun. Dari segi pembangunan semua sudah cukup dan sekarang pembangunan di sebelah Batu Buruk.”

BN nampaknya beria-ria mahu mengajar Raja Kamarul.

“Saya tengok beliau banyak bercakap di ceramah sahaja, di pasar-pasar malam, buat provokasi sahaja kerja beliau, beliau tahu ceramah tapi rakyat tak bantu,” kata Najmil.

“Beri kemenangan kepada beliau satu kerugian besar buat rakyat Kuala Terengganu. Kalau BN menang peruntukkan RM1 juta setahun kita dapat salurkan untuk rakyat,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.