Kula sedia cipta kemenangan besar di Ipoh Barat

Kula sedia cipta kemenangan besar di Ipoh Barat

Wakil rakyat DAP ini yakin pembangkang juga mampu mempertahankan kerusi DUN Buntong, Kepayang dan Bercham kerana sentimen yang positif dalam kalangan pengundi.

Free Malaysia Today
Bagi wakil rakyat 3 penggal M Kulasegaran, kemenangannya ialah kisah tentang kerja keras dan tidak berputus asa.
PETALING JAYA:
Usaha yang menghasilkan 29,038 undi majoriti semestinya bukan mudah buat sesetengah orang, namun bagi wakil rakyat 3 penggal di Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran, ianya kisah tentang kerja keras dan tidak berputus asa.

Wakil rakyat DAP itu menewaskan calon MCA Cheng Wei Yee pada 2013 dengan perbezaan 29,038 undi selepas meraih 45,420 undi di kerusi majoriti Cina itu.

Kula menewaskan calon MCA Ho Cheong Sing dengan margin nipis 598 undi pada 2004, sebelum meluru ke depan dengan majoriti selesa 15,534 undi menentang calon MCA Yik Phooi Hong pada 2008.

Seorang tokoh popular di Ipoh, peguam itu watak utama dalam kes M Indira Gandhi, pertarungan 9 tahun yang membawa kepada satu keputusan penting.

Kula salah seorang peguam yang mewakili Indira ke mahkamah pada 2009 untuk memohon mahkamah mengisytiharkan penukaran agama anaknya oleh bekas suami tanpa izinnya adalah terbatal dan tidak sah. Pada Januari tahun ini, Mahkamah Persekutuan memerintahkan keizinan daripada ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak mereka, menyebabkan penukaran agama 3 anaknya secara sebelah pihak pada 2 April 2009 adalah tidak sah.

Kula juga diketahui mengambil kes penduduk setinggan secara pro-bono, dan memperjungkan hak tanah mereka. Beliau juga terkenal kerana membawa banyak isu yang menjejaskan masyarakat India, terutama perobohan kuil.

Memperjuangkan kes-kes seperti itu menjadikan Kula sangat popular, yang membantu menjelaskan peningkatan undi setiap pilihan raya.

Kula berharap dapat mengukuhkan kedudukannya pada pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, kisah Kula bermula dari kekalahan. Kula tewas di Ipoh Barat pada 1999 dan kekalahan itu memberi pengajaran bermakna kepadanya.

“Saya tidak lagi mengambil mudah sesuatu perkara, mengenangkan saya pernah tewas di sini pada 1999. Sebelum itu saya Ahli Parlimen Teluk Intan. Jadi saya tahu betapa pahitnya kekalahan.

“Saya selalu berkunjung dari rumah ke rumah dan melawat pasar dan berbual dengan penduduk di situ,” katanya.

Ipoh Barat merupakan kawasan separa bandar dengan 80% penduduk tergolong dalam kategori B40, katanya.

“Kawasan saya ada setinggan dan petani dan bilangan orang kaya yang terlalu sedikit. Di sini juga ada banyak kuil dan gereja.

“Apa yang mengecewakan kepada semua orang ialah sejumlah besar pengundi pos dikeluarkan dari kawasan ini. Secara prinsip tindakan itu salah walaupun pengundi pos menyumbang kepada kekalahan saya pada 1999. Saya bawa ketidakadilan ini ke Mahkamah Persekutuan tapi tewas.

“Bagaimanapun, sentimen di lapangan secara umumnya positif. Keadaan nampak memberangsangkan dan meyakinkan saya.”

Kula berkata pembangkang juga mampu mempertahankan ketiga-tiga kerusi DUN bawah Ipoh Barat iaitu Buntong, Kepayang dan Bercham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.