
Kedudukannya di titik pertemuan Pulau Pinang dan Perak menyaksikan daerah Kulim menerima limpahan ekonomi Metropolitan George Town, berlatarkan desa dan suasana tradisional daerah Bandar Baharu .

Dengan lebih 60,000 pengundi berdaftar, Parlimen Kulim-Bandar Baharu memiliki jumlah pengundi bandar-luar bandar yang hampir seimbang, di mana Bandar Baharu mempunyai jumlah pengundi yang lebih sedikit berbanding Kulim.
Kerusi itu juga salah satu daripada 50 kerusi di Malaysia Barat dengan perbezaan undi kurang dari 5% pada pilihan raya umum 2013. Calon PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail tewas di tangan calon Umno Abd Aziz Sheikh Fadzir dengan majoriti 1,871 undi.
Anak-anak Sheikh Fadzir sememangnya dominan di kerusi itu. Bekas menteri penerangan, Tan Sri Abdul Kadir, 78, mempertahankan kerusi dari 1978 hingga 2004. Kebiasaannya beliau membawa pulang lebih 10,000 undi majoriti kecuali pada PRU 1999 dan 2004.
Pada 2008, Datuk Abdul Aziz, ketika itu berusia 44 tahun, mengambil alih tanggungjawab itu dan menentang calon PKR Datuk Zulkifli Noordin, tetapi tewas dengan lebih 5,000 undi.
Dua tahun kemudian, Zulkifli mengumumkan dirinya calon bebas, dan pada 2013, Saifuddin diletakkan di kerusi itu tetapi tewas kepada Abdul Aziz, sekarang 54.
Saifuddin berkata antara sebab kekalahannya pada PRU lepas kerana tidak dapat menembusi kawasan luar bandar, terutamanya DUN Bandar Baharu.
“Walaupun saya tewas dengan 1,871 undi, di DUN Kulim saya menang dengan kelebihan 900 undi. Tetapi, saya kalah teruk di Bandar Baharu.
“Jentera pilihan raya saya, ketika itu bersama PAS, tidak dapat menandingi jentera Umno dan pengaruh pengundi luar bandar di kerusi Bandar Baharu.
“Itulah salah satu sebab utama mengapa saya tidak berjaya sebelum ini. Itu jelas dalam bedah siasat kami,” katanya.
Namun kali ini, Saifuddin yakin PKR berjaya mengatasi kekurangan itu dengan kehadiran PPBM sebagai rakan Pakatan Harapan.
“Selepas 1 tahun bekerjasama dengan mereka, saya boleh katakan usaha menembusi kawasan luar bandar di Bandar Baharu berjalan dengan baik sekali.
“Atas sebab itu dalam rundingan kerusi kami, kami bersetuju DUN Bandar Baharu akan ditandingi PPBM,” katanya.
Sekarang ini, DUN Kulim dan Bandar Baharu dipegang oleh wakil rakyat MCA Chua Tiong Gee dan wakil rakyat Umno Norsabrina Mohd Noor.
Saifuddin berkata sebab kedua beliau tewas pada PRU13 adalah bilangan pengundi pos yang besar di Kulim-Bandar Baharu.
Bilangan pengundi pos mungkin hampir 3,000 orang, katanya, “tetapi cukup untuk menyumbang kepada kekalahan itu”.
“Terutamanya apabila saya hanya mendapat 10% daripada undi pos,” katanya.
Hubungi pengundi
Namun kali ini, menuju PRU14 yang semakin dekat, Saifuddin berkata mereka mempunyai kelebihan media sosial dan pangkalan data semua pengundi berdaftar di Kulim-Bandar Baharu.
Beliau berkata pekerja parti berjaya mendirikan sebuah pusat panggilan untuk menghubungi dan mendekati pengundi secara mingguan sejak 6-7 bulan lalu.
“Dari segi lain, kami setanding dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) dari segi menjelaskan isu berkaitan kawasan. Kami tidak bimbang tentang isu tempatan, negeri atau nasional.
“Akhirnya, pilihan raya di Malaysia sangat berasaskan kawasan. Jika kami dapat mengenalpasti sebab-sebab kekalahan, dan berjaya menangani kelemahan-kelemahan itu, serta menggunakan kempen melalui media sosial, saya yakin kami di landasan yang betul untuk menawan kembali Kulim-Bandar Baharu,” katanya.
Dengan komposisi kaum 68% Melayu, 20% Cina dan 12% India, Saifuddin berkata corak sokongan pengundi Cina akan kekal sama.
Manakala bagi pengundi India pula, Saifuddin berkata apabila PKR memenangi kerusi itu pada 2008, partinya berjaya meraih 60% undi orang India, kerana faktor Hindraf.
“Pada 2013, apabila Hindraf membuat keputusan untuk menyokong BN, saya kehilangan 18% sokongan orang India, daripada 60% kepada 42%. Empat puluh dua peratus daripada 8,000 pengundi cukup untuk menyebabkan bencana.
“Tetapi kali ini, apabila Hindraf mahu berkawan dengan PH, saya berada di kedudukan yang sangat selesa,” katanya.
Pengaruh Dr Mahathir
Saifuddin mendakwa PH juga berjaya menembusi Felda Gunung Pongsu, salah satu daripada penempatan Felda di kawasan itu, yang gagal ditembusi sebelum ini.
“Ada kira-kira 1,600 pengundi, dan kami berjaya dapat 15% undi mereka. Sekarang bersama PPBM dan pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kami sudah menembusi penempatan itu,” katanya.
Saifuddin berkata dia “mungkin” bertanding di kerusi itu sekali lagi, selepas diberi kebenaran oleh kepimpinan tertinggi parti untuk turun dan bekerja di lapangan, yang dilakukan sejak tahun lalu.
Mengenai isu yang perlu ditumpukan PH, Saifuddin berkata pengundi luar bandar banyak dipengaruhi oleh isu-isu tempatan, seperti kualiti perkhidmatan pihak-pihak berkuasa tempatan, keadaan jalan raya, dan mutu bekalan air.
“Walaupun mereka tidak banyak terkesan dengan isu nasional seperti skandal 1MDB, apabila anda bercakap tentang kos sara hidup, ia sangat memberi kesan pada mereka,” katanya, dan menambah isu kaum dan agama juga memberi kesan.