Semangat pahlawan legenda jadi inspirasi ahli Parlimen Tenom

Semangat pahlawan legenda jadi inspirasi ahli Parlimen Tenom

Raime Unggi berkata, darah pahlawan Murut dalam dirinya menggerakkannya untuk berjuang bagi BN dan rakyat Tenom.

tenom-1
Ahli Parlimen Tenom, Raime Unggi (kanan) disambut penduduk kampung ketika melawat sebuah kawasan pedalaman.
KOTA KINABALU:
Orang Murut yang merupakan salah satu etnik terbesar di Sabah, dahulu terkenal sebagai pahlawan hebat yang bersedia berlawan hingga ke akhir apabila kehidupan mereka diancam.

Salah seorang tokoh terkenal mereka adalah Ontoros Antenom yang menentang penjajah British pada 1915 susulan penganiayaan dan diskriminasi terhadap masyarakat itu menerusi pemberontakan Rundum yang terkenal.

Semangat pahlawan inilah yang mahu ditunjukkan Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Sebagai orang Murut, darah pahlawan dalam diri saya sentiasa wujud. Kedua-dua ibu bapa saya adalah orang Murut.

“Saya akan berjuang untuk BN dan paling penting, saya akan berjuang untuk rakyat Tenom, bukan hanya untuk Murut tetapi semua komuniti,” kata timbalan ketua Umno bahagian Tenom itu.

Raime berkata beliau menyelia banyak projek pembangunan sepanjang 3 penggal mewakili kawasan pedalaman itu, kira-kira 150km dari Kota Kinabalu.

Dengan keluasan 2,409km persegi, Tenom lebih besar daripada Melaka, tetapi hanya mempunyai penduduk seramai 50,000 orang.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran getir, kebanyakan halangan itu berjaya diatasi, terima kasih kepada kerajaan BN yang “prihatin”.

“Pada penggal lepas, terdapat masalah bekalan air dan elektrik,” katanya kepada FMT.

“Perdana menteri meluluskan kerja naik taraf sistem air di sini, sementara bekalan elektrik di kawasan pedalaman juga ditambah baik. Empat kampung tanpa kemudahan itu mula menikmati manfaatnya.”

Raime yang juga pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, berkata rangkaian jalan di Tenom juga dinaik taraf dan hospital daerah itu diperbesarkan.

“Beberapa klinik pedalaman juga ditubuhkan. Sebelum ini, hanya terdapat pembantu kesihatan di klinik ini, tetapi kini terdapat sekurang-kurangnya 2 doktor.”

Katanya, daerah itu terkenal dengan pertanian dan kopi Tenom yang popular, akan menyaksikan inisiatif untuk menambah baik dan mempromosi buah-buahan tempatan seperti pisang, betik dan limau bali.

“Tenom sudah menjadi pusat pengeluaran buah-buahan ini,” katanya sambil menambah program penanaman getah dan padi juga sedang dijalankan.

Projek tebatan banjir utama dihargai

Bonus bagi Raime pada penggal ini adalah projek tebatan banjir bernilai RM50 juta yang diluluskan kerajaan persekutuan.

“Daerah itu yang mudah dilanda banjir kerana sungai Pegalan dan Padas akan melimpah selepas hujan berterusan. Projek ini juga akan membantu menyelesaikan masalah itu.”

Katanya, rakyat bersyukur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan projek itu walaupun Tenom adalah salah satu daripada beberapa kawasan di negara ini yang menghadapi masalah banjir.

Raime, 48, berkata beliau mahu melakukan lebih banyak untuk kampung halamannya kerana tanggungjawab seorang wakil rakyat tidak pernah berakhir.

Katanya, rakyat sudah melihat rekod pencapaian BN di kawasan itu, tidak seperti pembangkang yang didakwanya hanya memberi janji manis menjelang pilihan raya.

Ditanya jika beliau akan mempertahankan kerusi itu, Raime berkata, perkara lebih penting ialah memastikan kemajuan berterusan di Tenom.

“Saya serahkan isu pencalonan kepada pucuk pimpinan, tetapi berharap semua pembangunan dirancang akan dilaksanakan demi kepentingan rakyat.”

Pada PRU 2013, Raime meraih 9,771 undi mengalahkan Masdin Tumas daripada PKR yang meraih 5,885 undian, Hasmin Abdullah dari STAR (Parti Reformasi Sabah) yang meraih memperoleh 2,449 undi, Jaineh Juaya daripada SAPP (Parti Maju Sabah) yang mendapat 1,776 undi dan Mutang Dawat daripada KITA (Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air) dengan 423 undi.

Kira-kira 66% daripada 25,334 pengundi terdiri daripada Bumiputera bukan Islam, 21% Bumiputera Islam dan 12% Cina.

Tenom mempunyai 2 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kemabong dimenangi Ketua Umno Tenom, Datuk Rubin Balang dan Melalap pula dipegang Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Radin Malleh. Kedua-duanya adalah parti komponen BN.

Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Tenom, Keningau dan Pensiangan tahun lepas menggesa pimpinan BN mengekalkan Raime serta Rubin dan juga Adun Liawan, Datuk Sairin Karno sebagai calon untuk kerusi masing-masing pada PRU14.

Mereka membuat gesaan itu pada mesyuarat perwakilan yang dihadiri Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.