PAS akan kalah lagi di Jerlun, kata bekas calon PAS

PAS akan kalah lagi di Jerlun, kata bekas calon PAS

Pertandingan 3 penjuru di Jerlun akan menyaksikan pertembungan antara Umno, PAS dan PH yang mungkin meletakkan calon PPBM.

jerlun-3
Kerusi Jerlun akan ditentukan oleh parti yang berjaya menawan hati orang Melayu.
ALOR STAR:
Perebutan kerusi Parlimen Jerlun akan ditentukan oleh parti mana yang dapat menawan hati orang Melayu yang membentuk 91% pengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pertandingan 3 penjuru bagi kerusi itu menyaksikan pertembungan antara Umno yang akan mempertahankannya daripada PAS dan Pakatan Harapan (PH) yang mungkin meletakkan calon PPBM.

Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ismail Salleh berkata sukar bagi PAS untuk memenangi kerusi tersebut.

Ismail mengetahuinya kerana beliau adalah calon PAS yang kalah kepada calon Umno, Datuk Othman Aziz pada PRU13.

Beliau berkata PAS mendapat 46% undi, tetapi ia memperoleh undi yang banyak kerana parti itu dulu adalah sebahagian gabungan parti pembangkang.

“Mereka undi Pakatan Rakyat,” katanya. “Jika ia hanya undi PAS sahaja, ia hanya 35%. Dan itu sebelum Amanah dibentuk.

“Hari ini, saya rasa undi untuk PAS lebih kurang 25%. Dalam pertandingan 3 penjuru, PAS semestinya tidak akan menang.”

Jika tekaan Ismail tepat, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan akan berjuang untuk 75% undi. Beliau berkata beliau percaya PH mempunyai kelebihan tidak jauh beza dengan BN, “kira-kira 51-49”.

Menurutnya, keanggotaan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam PPBM adalah salah satu faktor yang memihak kepada PH.

mukhriz
Datuk Seri Mukhriz Mahathir

Mukhriz memenangi kerusi Jerlun pada PRU12 dan Ismail berkata beliau tetap popular di kawasan itu.

Malah, katanya, kekalahanya pada 2013 mungkin sebahagiannya disebabkan oleh perasaan positif pengundi terhadap Mukhriz, yang ketika itu masih bersama Umno. Beliau mengingatkan kembali janji BN, semasa kempen PRU13 untuk menjadikan Mukhriz menteri besar negeri itu.

Beliau juga berkata PH akan menang, tambahan pula populariti bapa Mukhriz, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini pengerusi pakatan pembangkang.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.