PAS yakin mampu tawan kubu Umno di Kuala Pilah dalam taruhan pertama

PAS yakin mampu tawan kubu Umno di Kuala Pilah dalam taruhan pertama

Yang Dipertua PAS Kuala Pilah, Rafiei Mustapha tetap yakin PAS boleh menang di kerusi Parlimen Kuala Pilah, walaupun berdepan saingan BN dan PPBM pada PRU14.

hassan-malek
Hasan Malek ialah penyandang kerusi Parlimen Kuala Pilah sejak PRU 2004. (Gambar Facebook Hasan Malek)
PETALING JAYA:
PAS yang akan menurunkan calon di kerusi Parlimen Kuala Pilah, Negeri Sembilan, buat kali pertama pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yakin mampu membuat kejutan di kubu kuat Umno itu yang disandang bekas menteri, Datuk Seri Hasan Malek.

Yang Dipertua PAS Kuala Pilah, Rafiei Mustapha berkata, walaupun Hasan berjaya mempertahankan kerusi itu selama 3 penggal berturut-turut, tetapi sokongan rakyat sentiasa berubah berdasarkan keadaan semasa.

“(Pilihan raya umum) yang lepas itu memang kita tak boleh nak jadikan ukuran sebab setiap pilihan raya sangat dipengaruhi isu-isu rakyat.

hassan-malek1
Rafiei Mustapha yakin PAS mempunyai peluang untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Pilah kerana sokongan rakyat sentiasa berubah berdasarkan keadaan dan isu semasa.

“Sedangkan bekas menteri besar pun boleh kalah, walaupun sebelumnya mendapat majoriti besar,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Kita tak nafikan memang Datuk Hasan Malek ini dikira seorang yang veteran dalam Umno, malah pernah menjadi menteri Kabinet kerajaan dan sekarang ini menjadi duta.

“Tapi, apapun kita yakin bila kita letak calon, rakyat akan membuat pernilaian dan memilih Islam (serta) memberi kemenangan kepada parti Islam.”

Rafiei berkata, rakyat kini dilihat tidak berpuas hati kerana menghadapi tekanan akibat kos sara hidup tinggi.

“Macam tekanan dari segi harga barang, masalah cukai (barangan dan perkhidmatan) GST. Ini semua perkara yang akan mempengaruhi sikap rakyat dan mungkin membuat pilihan (lain) dalam pilihan raya kali ini, termasuk Parlimen Kuala Pilah.”

Pada PRU11, Hasan memperoleh 22,105 undi mengalahkan Annuar Mohd Salleh daripada PKR yang mendapat 8,763 undi.

Hasan kemudiannya menewaskan Annuar sekali lagi pada PRU12 dengan memperoleh 20,417 undi berbanding Annuar yang memperoleh 10,409 undi.

Hasan yang kini merupakan duta besar Malaysia ke Kemboja, berjaya mempertahankan kerusi itu buat 3 penggal berturut-turut dengan memperoleh 24,507 undi berbanding calon PKR, Mohd Nazree Mohd Yunus yang memperoleh 14,846 undi.

Sebelum itu, kerusi Parlimen berkenaan dimenangi Naib Ketua Wanita Umno ketika itu, Datuk Napsiah Omar yang menewaskan Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kasim dengan majoriti 2,818 undi.

Selain PAS dan BN, Pakatan Harapan melalui PPBM juga akan menurunkan calon di kerusi Parlimen Kuala Pilah pada PRU14.

Selain Kuala Pilah, PPBM turut diperuntukkan kerusi Parlimen Jempol, manakala Amanah diberikan kerusi Parlimen Tampin dan Jelebu, DAP di Seremban dan Rasah serta PKR di Rembau dan Teluk Kemang.

Rafiei tetap yakin PAS boleh menang di kerusi Parlimen Kuala Pilah, walaupun berdepan pertandingan 3 penjuru pada PRU14.

“PPBM ini sebenarnya kalau dilihat latar belakangnya, asalnya daripada Umno. Jadi, saya percaya bila berlaku 3 penjuru itu, sudah pasti kesannya kepada Umno sebab akan berlaku perpecahan undi di kalangan orang-orang Umno,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PPBM Bahagian Kuala Pilah, Idris Ahmad pula berpandangan BN mempunyai 60% kelebihan di Kuala Pilah kerana golongan “veteran” dan wanita menyokong parti berkenaan.

“Sebab mereka banyak tak tahu cerita sebenar yang berlaku,” katanya merujuk isu membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan kemelut dalam kerajaan.

Idris bagaimanapun berkata, mereka memerlukan masa yang panjang untuk memberi penerangan kepada golongan itu.

Mengenai pertandingan 3 penjuru di kerusi Parlimen itu, katanya: “Saya tak nampak PAS akan memberi impak (yang akan) memberi kemenangan mutlak kepada BN,” katanya sambil mendakwa parti Islam itu tidak mempunyai sokongan di Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.