
Kebergantungan PH kepada Dr Mahathir di Johor tidak boleh diperkecilkan terutama untuk menembusi ketebalan sentimen orang Melayu di negeri tempat lahirnya Umno.
Namun begitu Johor juga melahirkan ramai pemimpin besar terutama dari kalangan masyarakat Cina. Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Liang Teck Meng berkata pengundi Cina Johor tidak begitu terpesona dengan label perdana menteri paling lama memerintah negara.
“Mereka tidak percaya pemimpin berumur 93 tahun itu boleh memimpin negara,” katanya kepada FMT. Penggal kali ini merupakan penggal ke-2 beliau sebagai wakil rakyat Simpang Renggam.
“Kita yakin akhirnya rakyat akan menilai dari segi sikap pembangkang dan kelemahan mereka.”
Keyakinan ini berdasarkan kepada respon masyarakat Cina di program- BN di Johor yang dikatakan “sangat baik”. Liang sendiri yakin beliau akan kembali mewakili Simpang Renggam buat penggal ke-3 pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Antara isu besar dibangkitkan adalah kelemahan pembangkang yang selalu membuat pusingan U dan sentimen lain terhadap Dr Mahathir.”
“Saya sudah berkhidmat 10 tahun di sini. Saya sudah menyelesaikan pelbagai masalah tempatan, menjalin hubungan cukup baik dan ada kepercayaan antara satu sama lain. Saya yakin, 2 penjuru atau 3 penjuru, saya dapat pertahankan dan mengekalkan kemenangan.”
Pada PRU13, Simpang Renggam mempunyai 40,143 pengundi berdaftar di mana 57% adalah Melayu, 33% Cina dan 9% India.

Pada PRU13, Liang menang dengan majoriti 5,706 undi menewaskan pencabar daripada PAS, Suhaizan Kaiat. Majoriti yang diperoleh pada PRU12 lebih tinggi iaitu 14,155 undi, sekali lagi menewaskan calon PAS, Atan Gombang. Dua pertandingan itu menyaksikan peningkatan undi kepada pembangkang, iaitu +14.01% pada 2008 dan +7.24 pada 2013.
Di peringkat DUN, calon BN Abd Taib Abu Bakar menewaskan calon PAS Mohd Khalid Salekan dengan 3,902 undi di Machap, manakala calon BN Abd Mutalip Abd Rahim menewaskan calon PAS Mohd Ishak Shir Mohd dengan 2,518 undi di Layang-layang.
Liang berkata BN terus memenangi kerusi itu kerana rekod perkhidmatan yang baik dan kesungguhan memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.
“Sebagai wakil rakyat kepada semua, amat penting untuk kita ambil tahu semua isu dan setiap permohonan tanpa mengira kaum.
“Barulah tiada isu perkauman berbangkit,” katanya.