
KUALA LUMPUR: Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir secara sinis mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan untuk menyertai gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin, tetapi masih mengharapkan bantuan pihaknya untuk kempen PRN.
Dalam temu bual dengan FMT, bekas menteri besar Kedah itu mendedahkan pemimpin Pejuang masih diundang untuk membantu kempen calon PN dan diminta berucap di pentas ceramah politik mereka.
“Saya rasa hairan kerana dalam kami ditolak tapi sampai ke hari ini kami masih lagi diundang untuk bantu berkempen malah jadi jentera (PN). Ada juga minta sampai naik ke pentas bersyarah untuk kempen calon PN. Nampak gayanya kami masih relevan, masih ada keupayaan untuk tarik undi Melayu,” katanya.