
Siapa yang tak kenal program televisyen realiti paling popular dari Korea Selatan, Running Man? Program yang berbentuk permainan ini ditonton secara global dengan peminat dari seluruh dunia.
Maklumlah, program yang mula disiarkan sejak 2010 sehingga kini tidak pernah hilang popularitinya, bahkan semakin berpengaruh. Terbaharu ada berita yang mengesahkan program ini disertai pelakon utama “Mission Impossible: Fallout”.
Ia bukan sahaja menjadi berita baik kepada peminat program itu, malah para peserta Running Man juga dikatakan teruja untuk bersama-sama dengan pelakon Hollywood filem iaitu Tom Cruise, Henry Cavill dan Simon Pegg.
Menurut laporan Korea Herald, selebriti terkenal itu dijemput sebagai peserta undangan bagi episod ke-542 yang dijangka disiarkan pada Ahad akan datang.
Bagi Tom, Henry dan Simon, mereka juga akui sama-sama teruja dan amat berminat untuk menyertai siri Running Man.
Ia adalah sebahagian daripada kempen promosi filem “Mission Impossible: Fallout” yang akan ditayangkan pada 26 Julai ini.
Siri televisyen ini membabitkan permainan fizikal berbentuk lasak dengan pelbagai elemen kejutan bagi peserta mencabut tag nama yang ditampal di belakang baju.
Detik-detik para peserta “ditangkap” dan percubaan menanggalkan tag nama menjadi tarikan untuk penonton terus meminati program ini.