
Menguasai bahasa bukan sesuatu yang mudah atau boleh diambil remeh. Pada kebanyakan masa, ramai yang membina ayat dalam bahasa Melayu mengikut suka mereka. Sebenarnya, sama seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu juga mempunyai pelbagai perkataan yang membawa makna hampir sama cuma kita kena tahu di mana dan bagaimana untuk menggunakannya.
Misalnya, seperti kekeliruan yang timbul dalam bahasa Inggeris apabila 2 perkataan sama bunyi atau sama ejaan atau saya makna tetapi digunakan dalam pelbagai konteks berbeza, perkara yang sama juga diaplikasi untuk bahasa Melayu.
Di bawah disertakan 10 perkataan yang selalu dikelirukan kegunaannya dan penjelasan perbezaan menerusi contoh ayat. Mungkin selepas ini mereka yang mahu menulis atau bercakap bahasa Melayu secara betul, boleh mengamalkan penggunaan perkataan yang tepat.
Hemah dan Hemat
Maksud hemah: Budi pekerti yang mulia
Contoh ayat: Mimi adalah seorang pelajar yang mempunyai hemah yang tinggi.
Maksud hemat: Tidak boros atau membazir dalam membelanjakan wang atau menggunakan sesuatu, cermat, jimat, pemerhatian, pengamatan, teliti, hati-hati, dan berjaga-jaga.
Contoh ayat: Pada hemat saya, mesyuarat ini perlu ditangguhkan terlebih dahulu kerana malam sudah larut.
Tafsir dan Taksir
Maksud tafsir: Keterangan yang menjelaskan, pengertian, pemahaman, pendapat dan ulasan.
Contoh ayat: Ucapan ahli politik itu disalah tafsir oleh pihak media.
Maksud taksir: Nilaian, anggaran atau kiraan.
Contoh ayat: Ali tersalah taksir jumlah wang simpanan yang wajib dikeluarkan zakatnya.
Satu dan Suatu
Maksud satu: Bilangan yang bererti tunggal dan digunakan untuk menunjukkan bilangan.
Contoh ayat: Satu daripada keruntuhan masyarakat ialah kelemahan peribadi pemimpin.
Maksud suatu: Menyatakan benda, tempat, masa dan hal yang tidak tentu atau tidak dapat dipastikan.
Contoh ayat: Pada suatu hari, Siti dan rakan-rakannya pergi ke sebuah rumah usang di atas bukit itu.
Tahu dan Faham
Maksud tahu: Maklum akan keadaan yang sebenarnya, kenal, cekap dan pandai melakukan sesuatu, bijak, mengambil peduli, sedar akan perkara sebenar, insaf, pernah melakukan sesuatu, dan sudah biasa.
Contoh ayat: Bapak tidak tahu bahawa kakak sudah pun berkahwin dengan Burhan di luar negara.
Maksud faham: Tahu dan mengerti benar akan sesuatu, kepercayaan atau pegangan individu atau masyarakat tentang sesuatu.
Contoh ayat: “Apa yang kamu faham tentang topik yang saya ajar tadi?” Soal Cikgu Mahmud kepada Laili.
Ialah dan Adalah
Maksud ialah: Kata pemeri yang hadir di hadapan frasa nama.
Contoh Ayat: Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah masalah kekurangan pekerja.
Maksud adalah: Kata pemeri yang hadir di hadapan frasa adjektif atau frasa sendi nama.
Contoh Ayat: Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.
Bakat dan Kemahiran
Maksud bakat: Bakat ialah kualiti dan kemampuan yang ada pada seseorang sejak lahir. Misalnya kemampuan seseorang belajar bermain gitar dengan mudah, termasuk dengan hanya merujuk kepada Youtube.
Contoh ayat: Kanak-kanak itu mempunyai bakat terpendam dalam seni lukisan.
Maksud kemahiran: Kemahiran pula sesuatu kecemerlangan dalam bidang yang berasal dari pembelajaran, amalan atau melalui bakat bawaan.
Contoh ayat: Walaupun cacat penglihatan, lelaki muda itu belajar mengembangkan kemahiran mengurut sebagai sumber pendapatannya.
Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com