Mangala Resort dibina tanpa menodai alam sekitar

Mangala Resort dibina tanpa menodai alam sekitar

Selain melihat kesesuaian tapak dan menilai proses yang perlu dilakukan, Franky akhirnya mengambil keputusan 'untuk menyahut cabaran' membina pusat peranginan itu.

Free Malaysia Today
Mangala Resort (Gambar Facebook)

Tetamu yang melangkah masuk ke pusat peranginan ini bukan sahaja disambut dengan senyuman dan ucapan “Selamat Datang” tetapi dihulurkan juga segelas jus kedondong atau air kelapa muda.

Layanan mesra itu sudah tentu menambat hati para tetamu yang mendaftar masuk ke Mangala Resort & Spa yang lokasinya terletak tidak jauh dari Plaza Tol Gambang, Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Mangala yang bermaksud ‘bertuah’ dalam bahasa Sanskrit menawarkan percutian mewah dalam persekitaran alam sekitar yang cukup mendamaikan.

Perjalanan menaiki kereta buggy untuk ke bilik penginapan juga memberikan peluang untuk pengunjung menikmati pemandangan di sekitar pusat peranginan, khususnya keindahan pelbagai spesies bunga eksotik yang mekar di sepanjang laluan.

Daripada rumah persaraan

Siapa sangka, idea membina pusat membina pusat peranginan yang kini mendapat pengiktirafan dunia ini sebenarnya bermula daripada rancangan pemiliknya, Datuk Franky Chua Goon Eng yang mahu membina kediaman sendiri selepas bersara.

“Saya hanya mahu mencari kawasan yang tenang sebagai persediaan membuat sebuah rumah di hari tua. Langsung tidak terlintas dalam fikiran untuk membuat resort atau pusat peranginan apatah lagi yang bertaraf lima bintang.

“Saya mengajak beberapa kawan ke lokasi ini untuk berbincang mengenai pelan membina rumah dan mereka berkata mengapa tidak saya bina sebuah pusat peranginan?” katanya kepada Bernama ketika berkongsi detik bermulanya pembinaan resort itu.

Chua, 63, berkata selepas memikirkan semasak-masaknya idea itu, selain melihat kesesuaian tapak dan menilai proses yang perlu dilakukan, beliau akhirnya mengambil keputusan ‘untuk menyahut cabaran’ membina pusat peranginan itu.

Beliau berkata berpandukan moto hidupnya yang menetapkan ‘hanya yang terbaik sebagai penanda aras’ menyebabkan beliau nekad memastikan Mangala tidak sekadar melepas batuk di tangga, namun mesti sekurang-kurangnya menjadi “buah mulut” mereka yang pernah bercuti di pusat peranginan berkenaan.

Usaha berterusan selama 16 tahun

Chua menambah Mangala adalah ‘bukti kejayaan’ segala keringat yang dicurahkan sejak tahun 2002. Secara keseluruhannya, kos pembinaan pusat peranginan ini di atas tapak lombong yang ditinggalkan, dianggarkan menelan belanja sebanyak RM70 juta!

“Harga itu sudah pasti tidak termasuk kos mendapatkan tanah. Faktor kewangan juga merupakan cabaran paling kuat yang pihak kami hadapi dalam proses pembinaan Mangala.

Free Malaysia Today
Mangala Resort (Gambar Facebook)

“Saya sendiri bimbang jika projek ini tidak dapat disiapkan kerana tidak cukup modal tapi akhirnya berjaya menyakinkan bank untuk memberikan pinjaman,” katanya.

Hari ini Chua sudah boleh tersenyum bangga dengan pencapaian Mangala yang semakin menarik ramai pengunjung untuk menjadikan pusat peranginan itu sebagai destinasi pilihan percutian.

Beliau menambah daripada perbualan dengan tetamunya yang kerap datang ke Mangala, rata-rata mengakui pengalaman tersendiri di pusat peranginan itu termasuk aktiviti berbasikal dan berkayak serta layanan semua 60 pekerja yang mesra menambat hati mereka untuk ‘kembali’.

Ini selari dengan kehendaknya yang mahu setiap 65 villa di Mangala mempunyai aspek tarikan tersendiri, seperti Jana Villas yang menekankan elemen air kerana didirikan di atas tasik.

Pusat peranginan bertaraf antarabangsa

Chua berkata tasik di Jana Villas merupakan satu daripada empat tasik yang terdapat di pusat peranginan berkeluasan kira-kira 26 hektar itu.

“Saya mahu mengekalkan keadaan semula jadi yang ada. Memang ada caranya untuk kita membangunkan satu-satu kawasan tanpa merosakkan alam sekitar. Cuma kita memerlukan perancangan yang rapi.

“Saya bertuah kerana latar belakang dalam bidang pembinaan banyak membantu selain banyak bertanya kepada mereka yang pakar bagaimana mahu memulihkan semula tanah bekas lombong yang tidak subur sehingga kembali menghijau,” katanya.

Chua menambah suasana kehijauan di Mangala juga menarik kedatangan lebih 80 spesies burung termasuk burung migrasi. Antara spesies yang dikenalpasti ialah Burung Pekaka Dada Putih (White-throated Kingfisher), Bangau Cina (Chinese Pond Heron), Tekukur (Zebra Dove) dan Layang-Layang Batu (Pacific Swallow).

“Ada pengunjung beritahu saya yang dia tidak perlu menetapkan jam loceng di Mangala kerana sudah pasti akan terjaga sekitar jam 7 pagi disebabkan kicauan burung,” katanya.

Free Malaysia Today
Mangala Resort (Gambar Facebook)

Tanpa mendabik dada, Franky berkata faktor alam sekitar juga membolehkan Mangala merangkul anugerah “World Gold Winner of Environment Category” pada Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence 2018 di Dubai, Mei lepas.

Menurut Chua, beliau pada awalnya tidak begitu yakin semasa menghantar penyertaan untuk anugerah berkenaan memandangkan persaingan sengit yang akan dihadapinya, namun membuat keputusan mahu mencuba.

“Kami tidak tahu panel juri ada bermalam di Mangala. Mereka mendaftar masuk sebagai pelancong biasa dan kami hanya mengetahui mereka adalah juri tidak lama selepas mereka mendaftar keluar,” katanya.

Wujud kebun kenangan semasa kecil

Dibesarkan oleh ibu bapa yang menyara hidup dengan hasil kebun menyebabkan Chua sentiasa mencari tapak untuk berkebun, bagi mengimbau kenangan semasa membesar.

Oleh itu, tidak hairan jika terdapat kebun kedondong di Mangala yang buahnya dijadikan jus untuk meraikan pengunjung atau kelapa pandan di kiri kanan laluan buggy yang juga untuk menjamu tetamunya.

Pelbagai pokok buah juga boleh dilihat di sekitar Mangala seperti buah mata kucing, mangga, betik dan terbaharu, durian jenis Musang King di hadapan beberapa Villas, yang dijangkakan akan berbuah dalam tempoh lima tahun.

“Saya sedang berkira-kira mahu mewujudkan satu kebun sebagai kenangan masa kecil. Sekarang kami juga sudah ada kebun yang menanam pelbagai herba yang digunakan dalam masakan dan sudah semestinya bebas daripada penggunaan racun serangga.

“Kunyit dan halia di sini merupakan antara bahan utama jus yang diberikan kepada pengunjung spa manakala pandan kami adalah bahan yang digunakan dalam kek lapis pandan yang menjadi kegemaran pengunjung kerana aroma dan rasa pandan yang kuat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.