
Bahasa merupakan alat komunikasi yang digunakan oleh manusia untuk berinteraksi dalam kehidupan seharian. Selama ini, manusia hanya pandai menuturkan bahasa tetapi mereka tidak mengetahui variasi bahasa yang dituturkan setiap hari.
Bagaimana dengan anda, adakah anda sedar kewujudan pelbagai variasi yang anda tuturkan mungkin secara sedar atau tidak? Ya, itulah keindahan bahasa yang kita sendiri kurang arif.
Di bawah disenaraikan beberapa variasi bahasa yang paling umum dituturkan oleh setiap manusia yang wujud di dunia ini.

Bahasa Vulgar
Maksud: Variasi bahasa yang digunakan oleh orang yang kurang terpelajar atau tidak berpendidikan.
Contoh:
Bahasa-bahasa yang mencarut seperti ‘bodoh’, ‘babi’, ‘f**k’, ‘sial’ dan sebagainya.

Bahasa Slanga
Maksud : Variasi bahasa yang digunakan oleh orang-orang tertentu yang sangat terbatas dan tidak diketahui oleh orang yang berada luar daripada kelompok itu.
Contoh:
Kacang je masa aku jawab soalan soalan Matematik tadi.
Sadonya mamat hensem tu.
Jangan cakap abang tak payung.
Pishang betul aku dalam kelas pensyarah ni.

Bahasa Kolokial
Maksud: Variasi bahasa yang digunakan dalam percakapan seharian.
Contoh:
Kau dah makan belum?
Kau nak gi mana?
Aku nak pergi tandas.

Bahasa Jargon
Maksud: Variasi bahasa yang digunakan secara terbatas dalam bidang-bidang pekerjaan tertentu.
Contoh:
Pedagogi (pendidikan), ortopedik (perubatan), semantik (bahasa), prima facie (undang-undang).

Bahasa Ken
Maksud: Variasi bahasa yang manja, merengek-rengek, dan berpura-pura.
Contoh:
– Tolong encik… saya tak makan lagi hari ni.
– Sayang, jomlah kita makan sama sama…
– Baby…please….
Kesimpulannya, apapun variasi bahasa yang digunakan berpada-padalah pada siapa dan latar perbualan tersebut. Jangan pula gunakan bahasa jargon, misalnya mengenai teknologi informasi kepada seorang pekerja am biasa. Jangan pula berpendapat semua orang akan faham bahasa slanga yang anda gunakan terutama sekali membabitkan kenalan baharu.
Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaqziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com