
Bercakap pasal kopi, pasti ramai yang teringatkan aroma “pahit manis” biji kopi atau minuman itu sendiri yang memberi rasa kesegaran berpanjangan.
Kandungan kafein dan kepahitan kopi, manisan gula di penghujung sisipan, menjadi minuman ini minuman gaya hidup generasi masa kini. Maklumlah, kopi sudahpun merentasi peratusan penggemar teh di Malaysia walaupun teh masih mendominasi secara global.
Baru-baru ini satu festival khusus untuk menyambut penggemar kopi diadakan di Petaling Jaya, menarik lebih 30,000 pengunjung.
Malaysia Coffee Fest 2018 atau terjemahannya Festival Kopi Malaysia 2018 ini berlangsung pada 12 hingga 15 Julai lalu di pusat beli-belah 1 Utama dengan mengumpulkan 96 jenama kopi yang disertai oleh kafe dan jenama komersial.
Menariknya mengenai festival ini, ia bukan sahaja memberi peluang pengunjung mendekati dan membeli kopi dan peralatan lain membuat kopi pada harga berpatutan malah, pelbagai aspek lain mengenai pemprosesan serta aspek teknikal kopi turut dikongsi.
Tidak lupa juga kepada pelbagai sesi mencuba pelbagai perasa dan aroma kopi yang disediakan oleh setiap peserta sepanjang festival tersebut.

Menurut Pengurus Am Cems, Steven Tan, festival memberikan mereka pengalaman baharu selain sekadar minum kopi kerana ia melibatkan pengunjung dengan pengalaman bru ekspresso buat pertama kali, mengenali perjalanan kopi dari benih ke cawan, serta cara menyediakan minuman kegemaran.
“Peserta kami yang terdiri daripada pemilik kafe dan baristas amat berbesar hati untuk berkongsi pengetahuan mereka mengenai kopi.
“Mereka bercakap mengenai kopi, menunjukkan bru baharu dan membuat ‘cuppa’ terbaik untuk menghargai pecinta kopi ini,” kata Steven.
Steven juga akui keperluan mengadakan festival seperti ini bagi menyambut penggemar kopi yang menjadi minuman kegemaran orang muda selain mendedahkan mereka dengan seni di sebalik secawan kopi.

“Kita kena akur dengan populariti kopi dari masa ke masa. Ia berkembang drastik dan menjadi sebahagian daripada gaya hidup,” tambah beliau yang juga Pengarah Eksekutif Asean Coffee Federation.
Sejak dibuka pada Khamis lalu, pelbagai aktiviti menarik melibatkan pengunjung dan pakar pembuat kopi diadakan termasuk demonstrasi membuat kopi sebenar, percubaan menyediakan pelbagai jenis kopi, pertandingan, pameran sejarah kopi dan banyak lagi.
Di samping pengalaman kopi, turut terdapat kafe menjual pelbagai jenis pastri yang menjadi pasangan terbaik untuk dirasai bersama secawan kopi.
Festival ini dianjurkan oleh CEMS Conference & Exhibition (Malaysia) Sdn Bhd, Persatuan Pengurusan Persidangan dan Pameran Malaysia, pencipta Café Asia, Café Malaysia dan Café Cambodia yang sangat berjaya, dan bersama-sama dengan Persatuan Kopi Malaysia (MSCA) dan Café Owners Alliance, Malaysia (COA My).