
China menjadi sebuah negara yang semakin berkembang dalam pelbagai aspek termasuk pertanian.
Sebuah syarikat di Anxi, wilayah Fujian di China, Sanan Sino-Science memperkenalkan “pertanian pintar” yang diperbaharui di mana ia membolehkan lebih banyak sayur-sayuran ditanam dalam persekitaran tanpa tanah dan cahaya matahari semulajadi.
Walaupun kaedah pertanian indoor digunakan di beberapa negara, namun projek yang diusahakan sejak 2 tahun lalu oleh syarikat Sanan Sino-Science mengehadkan kebergantungan kepada sumber alam.

Kawasan tanaman ini melibatkan ruang indoor seluas 5,000 meter persegi, menghasilkan 8 hingga 10 tan metrik sayuran setiap hari namun hanya memerlukan 4 kakitangan untuk menguruskannya.
Berbeza dengan pertanian konvensional yang memerlukan lebih 300 tenaga petani untuk mengerjakan tanaman untuk dikonsumsi oleh hampir 36,000 orang.
Teknologi syarikat ini membolehkan sayur-sayuran dan herba ditanam dalam satu masa menggunakan kaedah hidroponik bertingkat dengan mengawal persekitaran.
Ia melibatkan sistem pengaturan suhu, kawalan sumber air, kelembapan, nutrien dan pemasangan LED bagi menggantikan cahaya matahari di dalam ruang tertutup.

Ini membolehkan penggggunaan air dijimatkan kerana setiap tumbuhan hanya disiram dengan jumlah yang tepat dan yang diperlukan.
Ladang tertutup generasi pertama Sanan Sino-Science ini dikatakan mampu menjadi kompleks pertanian menegak terbesar di dunia, meliputi kawasan seluas 1 hektar (2.47 ekar).
“Berbanding dengan ladang pintar pertama, kilang ini menghasilkan lebih banyak hasil tuaian di samping mengurangkan kos buruh dan kebergantungan alam sekitar,” kata Ketua Pegawai Sains Sanan Sino-Science , Zhan Zhuo.
Zhan menjelaskan teknik revolusi pihaknya ialah “memaksimumkan potensi pertumbuhan tanaman sambil mengekalkan kitaran secara berterusan.”
Walaupun sayur-sayuran di ladang konvensional memerlukan kira-kira 40 hingga 60 hari untuk matang bergantung kepada cuaca, “kilang sayuran” Sanan Sino-Science pula membolehkan penuaian berskala kecil dilakukan dalam masa 18 hari.

Jika dituai selepas 33 hingga 35 hari, mereka dapat menuai sayur-sayuran yang lebih besar saiznya.
“Kaedah pertanian ini amat bermanfaat dalam persekitaran yang mencabar seperti padang pasir, kawasan pergunungan atau di bandar-bandar di mana kos buruh sangat tinggi,” kata Zhan.
Zhan mendakwa kilang pertanian pintar ini menghasilkan 3,000 hingga 3,500 tan metrik sayur setiap tahun pada kapasiti penuh.
Justeru, ia merancang memperbaiki ladang pintarnya dengan memasang teknologi AI supaya dapat merekod dan menganalisis data pertumbuhan melalui sensor. Ini dapat mengenal pasti keadaan pertumbuhan optimum bagi setiap jenis sayuran tertentu.
Sayur-sayuran yang dihasilkan dari ladang-ladang berteknologi tinggi dihantar ke seluruh pasar raya dan restoran kelas tinggi wilayah Fujian dan Shanghai . Ia dijual sekitar 30 yuan ($ 4.50) hingga 36 ($ 5.50) yuan sekilogram (2.2 paun).
Sayuran yang ditanam menggunakan teknologi ini lebih mahal daripada sayur-sayuran biasa yang dijual pada harga borong iaitu 2.85 yuan ($ .50) sekilo di China.
Zhan berkata menyampaikan minat membawa teknologi syarikat ke bandar-bandar di seluruh dunia. Buat masa ini ia dikongsi dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura.