
Mengenakan solekan pasti memberi keyakinan tambahan kepada wanita. Secalit celak pada mata, sapuan gincu pada bibir pun sudah cukup memuaskan.
Bagi kebanyakan orang, solekan dikenakan untuk menambah kecantikan dan keserian pada kulit muka yang kusam atau mungkin kelihatan letih dan pucat.
Pada hari-hari penting seperti berkahwin pula, pengantin perempuan akan mendapatkan khidmat jurusolek professional untuk kelihatan lebih istimewa dan menawan bak bidadari pada hari tersebut.
Bagaimanapun, jika dibezakan dengan teknologi solekan pada hari ini dan 10 tahun lepas, ia sudah jauh berkembang maju dan memberi pilihan transformasi yang pelbagai.
Kini wanita ditawarkan dengan pelbagai jenis dan nama solekan misalnya, solakan 3D, kesan khas, solekan malam dan siang hari, kilau atau matte, ‘natural’, bintang filem, solekan kontur dan sebagainya.
Baru-baru ini netizen dikejutkan dengan kaedah solekan yang benar-benar di luar jangkaan di mana ia bukan sekadar mencantikan wajah malah mengubah terus rangka dan ciri pada wajah secara keseluruhan.

Berbeza dengan kebanyakan video “make up” yang menunjukkan cara mengaplikasi solekan pada wajah, klip ini pula berkongsi rakaman beberapa wanita berkulit sawo matang menanggalkan solekan sekaligus mendedahkan wajah sebenar mereka yang jauh berbeza daripada wajah yang disolek.
Memang gerun melihat perbezaan yang jauh ketara, seakan-akan wajah tersebut diubah 100% daripada asalnya.

Dalam video berkenaan, wanita bukan sahaja membersihkan solekan tetapi menanggalkan bulu mata tambahan, kening palsu, kanta lekap membesarkan anak mata, membersihkan kulit muka dari bahan seperti wax tambahan yang membentuk hidung lebih mancung serta dagu tajam, rambut palsu serta sebagainya.
Netizen menunjukkan rasa terkejut dan ada yang menyarankan gadis terbabit lebih baik mengekalkan wajah mereka tanpa solekan melampau yang menghilangkan imej asal.
Boleh jadi tidak kenal langsung kalau disolek begini rupa!