Pemberita Buletin Utama TV3 yang dikecam netizen letak jawatan

Pemberita Buletin Utama TV3 yang dikecam netizen letak jawatan

Sebelum ini nama Izwan Azir Salleh dikecam netizen selepas PH memenangi PRU14 kerana paksi pemberitaan politik walaupun dia hanya menjalankan tugas sebagai penyampai berita.

Bagi mereka yang mengikuti laporan berita di TV3, nama Izwan Azir Salleh mungkin tidak asing lagi.

Kerap dilihat memimpin berita Buletin Utama, selain Berita Terkini dan berita siaran langsung, Izwan juga mengendalikan rancangan pagi, Malaysia Hari Ini (MHI).

Izwan bagaimanapun menghantar mesej perpisahan kepada peminatnya dalam siaran berita malam tadi.

Penyampai TV yang sudah bersama TV3 selama 16 tahun itu dikatakan bakal menggalas tugasnya sebagai setiausaha akhbar menteri yang mengangkat sumpah semalam.

Sebelum ini nama Izwan menjadi bahan bualan selepas dikecam netizen kerana paksi politiknya dalam penyampaian berita walaupun dia hanya menjalankan tugas sebagai wartawan.

Izwan juga pernah beberapa kali cuba menjelaskan posisi dan kedudukan dirinya sebagai wartawan siaran dan pemberita namun terus diserang netizen.

Setelah meletak jawatan pada Jumaat lalu dan mengesahkannya ketika siaran Buletin Utama berakhir malam tadi, ia pasti meninggalkan kesan kepada peminat wartawan generasi muda itu.

Lebih menyayat hati adalah apabila krew berita memaparkan klip video memori Izwan di TV3 sepanjang tempoh 16 tahun hingga terkini pada penamat Buletin Utama semalam.

Izwan diuar-uarkan selepas ini akan menjadi setiausaha akhbar kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.

https://www.youtube.com/watch?v=L2GjpjG0rMc

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.