
Semasa lawatan ke pasar besar di Kuala Terengganu, Pasar Besar Kedai Payang, saya terkejut melihat telur penyu dijual secara terbuka. Malah, lebih terkejut apabila dijemput oleh pemilik gerai untuk cuba merasa telur itu.
Selaras dengan gesaan World Wide Fund for Nature (WWF) agar menyelamatkan penyu, Malaysia perlu menguatkuasakan larangan supaya menghentikan penjualan dan berhenti memakan telur penyu di seluruh negara, bukan hanya di Sabah dan Sarawak.
Badan pemuliharaan itu berusaha sedaya upaya memerangi aktiviti penyeludupan dan penjualan berleluasa telur penyu di beberapa negeri, tetapi tidak berhasil. Aktiviti itu menyebabkan kawasan yang menjadi sarang penyu bertelur semakin berkurangan serta populasi penyu pula di ambang kepupusan.

Cabaran-cabaran menghalang penyeludupan telur penyu bukan sahaja dihadapi di Sabah malah ia menjadi ancaman kepada biodiversiti Malaysia dan keselamatan negara. Malaysia tidak begitu berjaya dalam usaha memulihara penyu memandangkan ia diletakkan di bawah bidang kuasa setiap negeri untuk menentukan undang-undang masing-masing berkaitan penyu dan perlindungannya, menyebabkan piawaian yang berbeza-beza.
Walaupun penjualan telur penyu dilarang di Sabah dan Sarawak, ia tidak dilarang secara jelas di Terengganu, kecuali untuk telur penyu belimbing. Keadaan menjadi semakin buruk atas hakikat tanpa larangan seragam untuk seluruh negara bermakna penjualan telur penyu yang dikatakan dibawa masuk dari negeri lain atau luar negara adalah dibenarkan.
Oleh kerana sukar untuk membezakan telur penyu berdasarkan tempat asalnya, penguatkuasaan juga menjadi sukar. Menurut WWF, telur-telur itu dipercayai dibawa dari negeri lain, mungkin Sabah, atau dari negara lain, seperti Filipina.
Jika telur-telur itu tidak diganggu di sarang-sarangnya di pantai, 70% hingga 80% daripadanya akan menetas. Telur yang dijual di Terengganu bukanlah daripada penyu belimbing, kerana penyu itu lama tidak mendarat untuk bertelur di pantai-pantai Terengganu.
Walaupun saya faham para penjual telur penyu itu perlu mencari rezeki, tetapi mereka tidak sepatutnya berbuat demikian sehingga menjadi punca kepupusan penyu yang mendatangi pantai kita.
Oleh itu, agensi-agensi penguatkuasaan dan pusat-pusat pelancongan hendaklah bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab serta bertindak tegas melindungi penyu di Malaysia.
Melindungi penyu untuk jangka masa panjang juga bermaksud mencari jalan penyelesaian dengan mengurangkan kebergantungan dalam kaedah-kaedah pengurusan yang memerlukan penglibatan manusia secara langsung, seperti memindahkan dan mengeramkan telur penyu di sarang tapak penetasan.
Sekiranya penyu tidak dapat hidup dan membiak dengan sendiri, tanpa bantuan manusia, maka ia akan pupus. Jadi, kita perlu memastikan kawasan yang menjadi tempat penyu mencari makanan dan sarang bertelur perlu dilindungi selain menggalakkan etika pemuliharaan hidupan liar awam untuk mengisi jurang yang wujud dalam peraturan kerajaan, tekanan pihak-pihak berkepentingan peribadi dan perubahan suasana politik.
Penyu menghadapi pelbagai jenis ancaman dan sebahagian besarnya berpunca daripada manusia. Memang sukar untuk mengubah tingkah laku manusia; namun sekurang-kurangnya masih ada harapan untuk menghalang ancaman.
Sea Turtle Conservancy (STC) mencadang agar kita mengikut langkah-langkah berikut demi melindungi penyu:
– Membanteras penjualan haram penyu dan produk-produknya dengan menguatkuasakan undang-undang dan perjanjian (saya rasa Malaysia bertindak agak cepat)
– Mengurangkan kadar kematian penyu yang berpunca daripada penangkapan ikan secara komersial melalui penguatkuasaan peranti penyisih penyu (Turtle Excluder Device -TED) dan peraturan penggunaan pukat hanyut (gill net) (kita lemah dalam bidang ini).
– Melindungi pantai-pantai yang menjadi sarang penyu bertelur dengan mewujudkan taman-taman dan pusat-pusat perlindungan serta menganjurkan program-program pendidikan awam (kita mempunyai 3 tempat perlindungan penyu sekarang ini)
– Memastikan tidak ada gangguan di pantai-pantai pendaratan penyu untuk bertelur dengan mengurangkan pencahayaan tiruan dan mengurangkan kesan manusia di pantai berkenaan
– Menguatkuasakan larangan pembuangan sisa pepejal dan bahan pencemar di pantai atau ke dalam laut (kita juga lemah dalam bidang ini.
– Menyambung penyelidikan dan memantau aktiviti agar populasi penyu boleh di pantau serta memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan (boleh dipertingkat).
– Mempertingkat kesedaran awam dan penyertaan masyarakat mengenai pemuliharaan penyu melalui program-program pendidikan.
Penyu adalah kebanggaan negara kita. Penyu adalah simbol kebijaksanaan dan pengetahuan. Penyu menjadi lambang air, bulan, bumi, masa dan kesuburan. Penyu adalah sejenis megafauna berkarismatik dan digunakan sebagai simbol persekitaran laut. Memandangkan penyu dilihat sebagai haiwan yang tenang, ia boleh disalah anggap sebagai tidak aktif.
Amat mengejutkan, anggaran global bagi penangkapan tahunan, kecederaan dan kematian menunjukkan 150,000 penyu semua spesies terbunuh dalam pukat tunda udang; lebih daripada 200,000 adalah penyu tempayan dan 50,000 penyu belimbing, ditangkap dan dibunuh melalui pukat hanyut.
Plastik membunuh lebih 100 juta haiwan laut dan penyu adalah mangsa utama kerana haiwan itu tidak dapat membezakan antara ubur-ubur terapung, yang merupakan komponen utama dietnya, dan beg plastik terapung.
Walaupun kita mungkin tidak dapat melakukan semua perkara di atas, namun kita boleh melakukan satu perkara – berhenti membeli telur penyu, dan akhirnya tiada siapa akan menjualnya.
Apabila tidak ada permintaan, bekalan juga akan terputus. Eloklah sekiranya kita memandang serius pelbagai perkara berkaitan penyu dan hentikan tinndakan dan aktiviti yang boleh menjejaskan haiwan itu dan habitatnya.
Kita sepatutnya membiarkan penyu terus hidup dan kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan marin, untuk dilihat dan dihargai oleh cucu-cucu dan generasi masa hadapan.
Komentar ini oleh Ravindran Raman Kutty, yang merupakan aktivis kebajikan yang mencintai alam sekitar, beliau berkongsi keprihatinan terhadap nasib penyu yang mendarat di pantai negara ini.