‘Dawn Raid’ kisah 3 hero Melayu selamatkan Malaysia

‘Dawn Raid’ kisah 3 hero Melayu selamatkan Malaysia

Khalid Ibrahim, Dr Mahathir dan abang iparnya, Ismail Ali diangkat sebagai hero apabila berjaya merampas ekonomi British menjadi milik Malaysia.

Ia satu kisah yang bersubjek berat membabitkan pengetahuan ekonomi negara, dasar kerajaan pada era 1970-an dan 80an dan politik penjajah.

Kisah yang bakal ditayangkan tidak lama lagi menerusi filem, “Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen” ini diambil daripada kisah sebenar pada 7 September 1981, bagaimana Malaysia membeli saham Guthrie Consolidated sekaligus merampas ekonomi British kepada Malaysia.

Dua tahun dahulu, pelakon dan pengarah filem Bront Palarae pernah menyuarakan hasratnya menghasilkan filem berdasarkan kisah benar kejayaan Tan Sri Khalid Ibrahim “merampas” syarikat perladangan terbesar British dalam tempoh 2 jam, kini ia bakal menjadi kenyataan.

Filem “Dawn Raid” yang dibangunkan di studio produksinya Pixel Play menggunakan skrip oleh Redza Minhat bersama dengan Chew Kin Wah juga akan dilakonkan oleh Bront selaku watak Khalid.

Okay, ceritanya begini, sejak merdeka Malaysia khususnya orang Melayu tidak pernah diberi keutamaan memegang kekayaan negara sendiri, bahkan sejumlah besar masih dibayangi British.

Maknanya kita masih tidak merdeka sepenuhnya dan di bawah pemerintahan ekonomi British yang terus mengekalkan dasar pecah dan perintah bagi mengelak kekayaan dikecapi orang Melayu.

Kumpulan Guthrie pula merupakan syarikat perladangan terbesar British yang menguasai perladangan di Malaysia.

Dipendekkan cerita, filem ini menceritakan semula kejadian bagaimana Malaysia berjaya mengusai saham milik Guthrie menerusi satu “serbuan” di London Stock Exchange diketuai Khalid dan ia dikenali sebagai “Dawn Raid” atau “serangan waktu subuh”.

Bekas Menteri Besar Selangor, Khalid dikatakan terus diangkat sebagai hero ketika itu ekoran kejayaan beliau menyelesaikan “Dawn Raid’ sekaligus membolehkan PNB memiliki 51% saham di syarikat perindustrian British dalam tempoh runcing iaitu 2 jam.

Selain Khalid, turut terlibat dalam perancangan ini termasuk Tun Dr Mahathir Muhammad yang baru 2 bulan menjadi perdana menteri pada 1981 dan Gabenor Bank Negara ketika itu, yang juga abang ipar Dr Mahathir, Tun Ismail Ali.

Filem berbahasa Inggeris ini dilakonkan oleh Shaheizy Sam, Sofia Jane dan ramai lagi namun masih belum ada tarikh tayangan yang diputuskan. Apa yang pasti, ia akan membuka perspektif sejarah kegemilangan kerajaan ketika itu.

Kalau tak percaya tengok sahaja trailer, memang “goosebumps” dibuatnya!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.