Malaysia dapat peluang survival kedua

Malaysia dapat peluang survival kedua

Najib kini menyertai pemimpin dunia lain yang dijatuhkan rakyatnya sendiri seperti Marcos, Soeharto, Mubarak dan Mugabe.

Mungkin tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan apa yang baharu berlaku. Apa yang tersirat di dalam hati jutaan rakyat Malaysia hari ini. Namun mungkin air mata yang bergenang termasuk diri saya sendiri sudah cukup menggambarkan perasaan sambil kedua tangan menadah, tanda bersyukur yang amat sangat.

Seolah negara ini dilahirkan semula! Hari yang penuh bermakna. Seolah-olah kita diberi peluang kedua.

Siapa yang dapat menelah? Sebelum ini semua ramalan, baik di dalam dan di luar negara menyatakan Najib Abdul Razak mampu mengekalkan kuasa, beliau mempunyai sokongan kuat termasuk pemimpin dalam partinya sendiri dan sumber kewangan yang kukuh memungkinkan beliau memenangi Pilihan Raya Umum ke-14. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Beliau kecundang.

Najib kini menyertai pemimpin dunia lain yang dijatuhkan rakyatnya sendiri seperti Marcos, Soeharto, Mubarak dan Mugabe.

Rakyat negara ini sudah bersuara. Jutaan keluar menggunakan hak mereka untuk menentukan kerajaan pilihan mereka, meskipun terpaksa berdiri di bawah terik matahari, tekad mereka mengatasi segala-gala kepayahan. Mereka tidak mahu lagi politik yang berbaur perkauman dan perpecahan. Mereka mahu bersuara menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Hidup kini terasa bebas. Tengok sahaja sekarang siaran rangkaian televisyen kebangsaan dan media lain. Pastinya keadaan akan menjadi lebih menarik apabila angin kebebasan berhembus ke seluruh negara.

Ketokohan Mahathir

Begitu terserlah ketokohan Dr Mahathir Mohamad. Meskipun ada yang menjadikan beliau bahan jenaka dengan menyatakan beliau terlalu tua. Gambar beliau yang terpampang di poster pilihan raya dipotong. Malah ada yang cuba menghina beliau menjadi “pak turut”. Ada yang cuba menggunakan wang, mengugut tetapi semua helah ini tidak mampu menghalang Mahathir atau orang yang menyokong beliau.

Jutaan rakyat berasa beliaulah pemimpin yang mereka nanti-nantikan selama ini dan ternyata beliau tidak menghampakan harapan dengan gaya ketokohan seorang pemimpin ulung. Apa juga kesilapan yang beliau pernah lakukan sudah dilupakan.

Beliau kini adalah perdana menteri kita dan menggalas semua harapan kita untuk membina sebuah negara yang lebih baik. Seperti yang pernah saya nyatakan, beliau bukan sahaja bekas perdana menteri yang mahu peluang mencurah bakti, tetapi mempunyai banyak idea untuk dilaksanakan. Sudah tentunya beliau tidak bersendirian. Kemenangan ini sudah pasti tidak akan dikecapi khususnya tanpa DAP dan PKR, dan individu seperti Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim yang berterusan menjulang perjuangan kebebasan.

Anwar khususnya terpaksa membayar dengan harga yang besar dan akan terus dikenang sebagai orang yang melancarkan ‘Reformasi.’ Perjuangan berdekad beliau akhirnya meraih kejayaan. Beliau dijangka dibebaskan dalam masa terdekat untuk kembali ke pangkuan keluarganya yang sudah tentu tidak sabar lagi menunggu kepulangannya.

Ramai lagi individu seperti Rafizi Ramli, mendiang Irene Fernandez dan Karpal Singh membuat banyak pengorbanan untuk kejayaan ini. Kepada mereka dan ramai lagi di luar sana kita terhutang budi. Perjuangan mereka tidak mengenal erti penat dan kecewa. Tekad mereka jitu dan sanggup berkorban apa sahaja demi perjuangan mereka.

Begitu juga mereka di balik Bersih serta jutaan yang menyertai perarakan serta demonstrasi. Inilah kisah Bersekutu Bertambah Mutu.

Peluang kedua

Kini bermula tugas untuk membina semula negara yang tercinta ini. Memang banyak yang perlu dilakukan dan ianya bukan mudah untuk memperbetulkan di mana yang salah, di mana yang silap. Kita percaya Mahathir dan pasukannya serta pemimpin lain yang berpengalaman serta komited mampu melakukannya. Tambahan rakyat bersama mereka.

Pakatan Harapan menggariskan agenda untuk perubahan – bersih dan kerajaan yang telus, memansuhkan undang-undang menindas, menghapuskan rasuah dan melaksanakan dasar ekonomi yang benar-benar menguntungkan rakyat. Itu yang rakyat dambakan. Ini bukan tugas yang sukar untuk dilaksanakan memandangkan rakyat sudah memberi mandat yang besar.

Baru-baru ini saya ada bertanya kepada Mahathir sama ada beliau sudah melepaskan impiannya untuk kewujudan Bangsa Malaysia dan beliau memberitahu saya, impian itu masih tersemat erat di dalam sanubarinya. Kini, akhirnya, impian ini akan menjadi kenyataan. Saya yakin impian ini akan menjadi salah satu legasinya untuk negara yang tercinta ini.

Sekarang juga masa untuk menyatukan semula barisan perpaduan. Supaya apa jua keadilan yang ingin dilaksanakan tidak akan dibuat atas perasaan dendam atau niat jahat.

Saya berharap Umno/BN akan menggunakan masa ini untuk melihat kembali perjuangan asal mereka dan mampu bangkit menjadi barisan pembangkang yang kukuh serta berwibawa. Untuk demokrasi berkembang, kita memerlukan barisan pembangkang.

Kerajaan untuk rakyat

Lebih daripada itu, harus kita ingat kemenangan ini bukan kemenangan Mahathir sahaja, ini adalah kemenangan kita semua. Kita, rakyat negara yang hebat ini bersuara. Kita menyuarakan hak kita tidak boleh dibuli, dirasuah, ditekan, ditipu dan diperlekehkan. Kerajaan dan rakyat menjalin ikatan suci ini – kerajaan wujud untuk berbakti kepada rakyat dan untuk menjadikan Malaysia negara terbaik di dunia.

Kita mesti terus menjamin keutuhan ini. Untuk mengekalkan demokrasi, rakyat mesti menjadi penjaga kepada demokrasi dan terus mempertahankan kebebasan. Kuasa boleh mengabui mata. Kita jangan sekali-kali lagi menyerahkan kuasa kepada mana-mana pihak tanpa mengawasi orang yang diberi kuasa. Kita pernah melakukan kesilapan ini dan jangan hendaknya ia berulang.

Malaysia, bangkitlah.

Sejarah sering kali melakar banyak peristiwa. Inilah saatnya untuk Malaysia menjulang tinggi nama yang gah. Kita pastinya akan muncul sebagai salah sebuah negara yang terbilang di dunia. Negara kita akan menjadi contoh kebebasan boleh diraih tanpa campur tangan kuasa atau tentera asing mahupun keganasan.

Bergembiralah, negaraku, bergembiralah.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.