
Sebagai sebuah negara maju, Singapura mempunyai kadar kepopularan yang baik dari segi keselamatan, kebersihan, kecekapan, kehidupan yang harmoni dan pelbagai lagi yang memang terlalu banyak untuk disebut.
Makanya, setiap kali saya kembali ke tanah air saya pasti berkongsi kekaguman saya mengenai Singapura dan saya akan menjadi bahan usikan kerana memuji melambung-lambung negara yang pada satu ketika dahulu adalah sebahagian daripada Malaysia.
Bagaimanapun, apa yang saya katakan ialah hasil pemerhatian saya sepanjang 3 tahun menjadi pewarta Bernama di negara ini. Bagi saya banyak yang rakyat Malaysia boleh pelajari daripada penduduk Singapura iaitu dalam mewujudkan masyarakat berbudi bahasa dan bertamadun.
Meskipun ada yang mengeluh sikap sesetengah anggota masyarakat di negara ini yang mengamalkan budaya “kiasu” atau mementingkan diri sendiri, saya ingin memaparkan beberapa contoh untuk menunjukkan sikap sebenar rakyat Singapura yang mungkin tidak ramai yang tahu.
Sikap mulia
Saya pernah beratur di sebuah kedai minuman di Tanglin Mall dan di hadapan saya seorang lelaki orang putih memesan jus buah-buahan tanpa gula. Juruwang kemudiannya memandang kepada pembuat minuman dan berbincang panjang.
Mungkin kerana penat menunggu dan kehausan, orang putih mula hilang sabar dan bersuara: Äpa yang lama sangat nak buat jus yang saya pesan?”
Juruwang segera menjawab dengan sopan: “Maaf encik, kami sedang berbincang berapa nak letak harga jus yang encik pesan sebab tak ada gula.”
Ada satu lagi kisah saya hendak kongsi iaitu yang berlaku di Adam Rd Food Court, lokasi kegemaran saya jika saya mahu menjamu rakan atau ahli keluarga Malaysia yang datang ke Singapura.
Seorang rakan yang kelaparan begitu kecewa apabila pemilik sebuah gerai menghantar sup dan roti dan bukan sup serta nasi yang dipesan. Di kaunter pesanan memang ada pun periuk nasi.
Saya pergi kepada pemilik gerai itu dan bertanya kenapa dia tidak menghantar sup dan nasi yang rakan saya pesan.
“Puan, nasi itu tak masak betul, ” jawab pemilik gerai dan spontan mengambil sesudu nasi untuk saya rasa. Memang sungguh nasi itu keras.
Saya beritahu dia jika nasi itu dimasukkan ke dalam sup, nasi itu akan menjadi lembut. Pemilik gerai itu lalu memberikan sepiring nasi dan hanya mengenakan separuh bayaran.
Berdisiplin tinggi
Anak saudara lelaki saya yang tinggal di Shah Alam cuba menggunakan perkhidmatan MRT Singapura. Beliau begitu kagum dengan kecekapan serta kebersihan kereta api dan stesen MRT di samping penggunanya yang berdisiplin.
“Bagus melihat mereka beratur. Tak perlu bertolak-tolak,” katanya dalam membandingkan dengan tren komuter yang digunakan di Shah Alam.
Beliau juga tidak melihat banyak tong sampah disediakan stesen MRT tetapi persekitarannya nampak bersih sepanjang masa.
“Mereka boleh menjimatkan kos dalam pengurusan sisa,” katanya selepas diberitahu pengguna MRT tidak dibenarkan merokok, makan atau minum di stesen berkenaan.
Saya sendiri pernah melihat pekerja MRT menegur seorang pelajar yang makan cokelat di dalam tren dan saya sendiri pernah ditegur kerana meneguk air daripada botol minuman ketika menunggu kereta api sampai.
Komuniti yang pentingkan kebersihan
Ketika membuat liputan Piala Sultan Selangor Stadium Nasional, penyokong kedua-dua belah pihak datang dengan membawa makanan dan minuman untuk menyaksikan perlawanan yang berlangsung selama 90 minit itu.
Tong sampah yang besar disediakan di beberapa lokasi di kedua-dua bahagian stadium.
Selesai perlawanan, saya melihat penyokong Singapura membuang tin minuman, botol serta sampah yang lain ke dalam tong sampah, sementara di bahagian stadium yang satu lagi, pekerja sibuk mengutip sampah dari kawasan tempat duduk.
Malahan pada mana-mana penganjuran majlis yang besar termasuk ekspo antarabangsa yang dihadiri ribuan orang, bilik air di lokasi berkenaan juga sentiasa bersih. Tisu serta sabun juga tidak pernah kehabisan.
Tukang cuci ditempatkan di bilik air bagi memastikannya kekal bersih. Keadaan yang sama juga di bilik air di stesen MRT.
Bersopan santun erat perhubungan
Ini lagi kisah yang saya ingin kongsikan. Pada suatu petang saya sedang berjalan dalam hujan menuju ke perhentian bas yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman saya. Tiba-tiba saya menyangka hujan sudah berhenti. Saya silap, rupanya ada seorang wanita yang baik hati memayungkan saya. “Mari kita jalan sama-sama,” kata wanita itu.
Ada beberapa ketika pada mula-mula saya bertugas di Singapura, saya terpaksa mengheret beg yang berat untuk stesen MRT Bugis. Tiba-tiba saya terasa beg yang berat menjadi ringan. Ada beberapa orang yang baik hati membantu menolak beg saya dan mula berbual dengan saya.
Rakyat Singapura, terutama generasi muda memang nampak mementingkan diri sendiri dan sentiasa sibuk dengan telefon bimbit, dengan fon telinga tetapi sebenarnya mereka baik hati.
Cuba minta mereka tunjukkan arah, mereka akan cuba bantu sebaik mungkin. Mereka akan meminta maaf sekiranya mereka tidak dapat membantu.
Tanpa mengira orang tempatan atau orang asing, mereka sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.
Harapan saya rakyat Malaysia juga dapat menghargai nilai berbudi bahasa dan disiplin yang diamalkan oleh rakyat Singapura.
Dengan cara ini kita juga dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang setanding atau lebih baik daripada yang ada di negara jiran kita ini.