Mencari pau gebu, inti padat di Shah Alam

Mencari pau gebu, inti padat di Shah Alam

Pau Pak Ngah menghasilkan kira-kira 1,800 hingga 2,000 pau 12 jenis setiap hari daripada pilihan klasik, citarasa Malaysia dan 'fusion'.

Pau gebu, lembut dan berinti padat (bukan hanya inti angin) memang boleh buat kita terliur.

Kebetulan, seorang rakan memperkenalkan gerai Pau Pak Ngah di Seksyen 7, Shah Alam, berdekatan kampus Unisel.

Mujur, Ketua Pegawai Kewangan Pau Pak Ngah, Khairul Ikhwan Azhar berada di premis tersebut ketika FMT Ohsem berkunjung secara mengejut, tanpa sebarang temujanji.

Persekitaran gerai cukup harum dengan bau pau dikukus, Khairul pula sangat mesra mengalukan kedatangan kami sambil berkongsi latar belakang perniagaan serta keunikan Pau Pak Ngah.

Sebelum itu, kami mencubit sedikit pau kacang merah untuk dirasa, antara pilihan menu klasik selain 11 lagi inti lain termasuk inti “fusion” dan inti citarasa Malaysia.

Memang padat dan gebu, kami benar-benar tertarik untuk mengenali lebih dekat perniagaan yang masih baru di Shah Alam ini.

Namun, menurut Khairul, Pau Pak Ngah ini bukan baru sebaliknya sudah berada di pasaran sejak 15 tahun lalu, dijalankan secara kecil oleh keluarga rakannya, Mohd Afiq Roslan di Ampang.

“Ia diasaskan oleh bapa Afiq, dan saya menyertai mereka untuk mengembangkan bisnes ke tahap lebih besar menggunakan modul niaga lebih teratur,” ujar Khairul yang pernah bertugas sebagai juruaudit di syarikat swasta sebelum terlibat dengan Pau Pak Ngah.

Tambahnya, premis di Shah Alam adalah cawangan kedua selepas di Ampang, selain memiliki kilang pembuatan yang juga di Ampang.

Operasi kilang dikendalikan oleh adik Afiq, Afifah Roslan yang mempunyai kelayakan dalam seni kulinari dengan bantuan beberapa pekerja.

“Kilang kami menghasilkan kira-kira 1,800 hingga 2,000 pau 12 perasa setiap hari. Keunikan pau ini ialah tepung dan inti mempunyai berat sama, iaitu masing-masing 60g menjadikan ia gebu, padat dan sedap,” ujar Khairul.

Selain pau yang dikukus panas, turut dijual ialah pau sejuk beku yang dibungkus 6 biji setiap pek.

Semua pau (kukus dan sejuk beku) dijual pada harga sama iaitu dari RM1.80 bagi citarasa klasik dan tempatan serta RM3 bagi citarasa “fusion” atau “premium”.

Kalau nak tahu lebih, jom tonton video ini sampai habis kerana ada kejutan istimewa untuk anda di akhir video!

Pau Pak Ngah

Alamat 1: Jalan Zirkon B7/B, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor (dekat Unisel)
Waktu operasi: 12.00 tengahari hingga 10.00 malam

Alamat 2: Medan Bukit Indah 1, Taman Bukit Indah Ampang, Kuala Lumpur
Waktu operasi: 2.00 petang hingga 10.00 malam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.