Amalan buruk yang baik untuk anda

Amalan buruk yang baik untuk anda

Amalan buruk tak semestinya hanya membawa kesan negatif, ia juga boleh mencetus perkara positif.

Manusia bukannya sempurna. Tetapi ketidaksempurnaan itulah yang mengajar kita untuk menjadi yang terbaik. Lazimnya sikap buruk itu dikaitkan dengan sikap seperti suka menunda kerja, suka bergosip, melewatkan waktu, tidak dapat mengawal marah, tabiat memakan makanan ringan dan banyak lagi.

Namun, kajian menunjukkan sikap buruk itu tidak semestinya membawa impak negatif sebaliknya boleh memberi kesan positif.

Di sini disenaraikan beberapa sikap dilabel buruk tetapi sebenarnya menjadikan anda lebih cerdas, tajam dan secara tidak langsung memberi kebaikan.

1. Menunda kerja


Perbuatan menunda kerja boleh menyusahkan orang lain. Tetapi, ia juga digambarkan sebagai satu sikap yang mampu meningkatkan kreativiti. Menurut Profesor Wharton dan Adam Grant, menunda sesuatu tugasan bukan bererti malas. “Orang yang suka menunda kadang-kala sedang menunggu waktu yang tepat,” kata mereka.

Menunda meningkatkan kreativiti memandangkan ia memberi kesempatan pada diri untuk mengembangkan idea.

2. Menggigit kuku


Perbuatan menggigit kuku sering kali disifatkan sebagai kotor. Tetapi kajian terhadap 1000 kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke atas mendapati, pada waktu mereka membesar, masing-masing dari kumpulan usia 13 dan 32 tahun tidak mempunyai masalah alahan.

Professor Madya Dr Robert Hancox dari jabatan epidemiologi respiratori, University of Otago di New Zealand mendapati 38% kanak-kanak menghisap jari atau menggigit kuku tiada atau mempunyai hanya satu alahan berbanding kanak-kanak yang tidak mempunyai tabiat itu, di mana 49% mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis alahan. “Kami tidak mengesyor kanak-kanak menggigit kuku tetapi ini yang diperoleh dari kajian jangka panjang kami,” katanya.

3. Selalu lambat


Lambat hadiri temujanji atau mesyuarat, lewat masuk pejabat dilabel sebagai tidak berdisiplin atau tidak menghormati masa orang lain. Namun, satu laporan dalam New York Times menyatakan mereka yang kerap lambat cenderung menjadi seorang yang optimistik dan kreatif. Malah mereka yang lambat juga dikatakan melakukan yang terbaik kerana mengejar waktu dan dalam masa yang sama mahu menyelesaikan sesuatu secara jelas dan tepat menggunakan sepenuh perhatian.

4. Mengunyah gula-gula getah


Mengunyah gula-gula getah sambil berbual dianggap tidak sopan. Peliknya, perbuatan itu juga dikatakan meningkatkan produktiviti selain memberi rasa lebih relaks. Beberapa penelitian menunjukkan, mengunyah gula-gula getah membantu kita berada dalam keadaan yang lebih sedar dan berwaspada. Kajian membuktikan orang yang suka mengunyah gula-gula getah mempunyai tahap kecerdasan lebih baik. Penyelidikan lain pula menambah, ia meningkatkan ketenangan dan mengurangkan hormon stres kortisol.

5. Meja bersepah


Meja bersepah bukan bermaksud seseorang itu tidak terurus sebaliknya kajian mengatakan mereka golongan lebih cerdik. Penyelidik University of Minnesota mendapati mereka yang kreatif dan bijak mempunyai meja dan tempat yang bersepah. Kajian itu membabitkan 2 kumpulan pekerja di 2 tempat berbeza, satu di bilik yang teratur dan kumpulan lain di bilik bersepah. Mereka diminta untuk tampil dengan idea kreatif untuk satu tugasan. Selepas beberapa jam, kumpulan yang ditempatkan di bilik bersepah memberi lebih banyak idea. Mereka juga menjadi golongan yang sedia ambil risiko dan mencuba perkara baru.

7. Gelisah


Rasa gelisah diikuti perbuatan berkait seperti menggoyangkan kaki atau menggerakkan jari jemari ketika duduk di meja terbukti baik untuk kesihatan. Kajian menunjukkan wanita yang sering gelisah kurang risiko berdepan kematian berbanding mereka yang tidak.

8. Mengelamun


Beberapa ahli penyelidik tampil dengan kajian menunjukkan mengelamun beberapa minit mampu menjadikan seseorang lebih produktif dan kreatif. Kajian yang dimuat dalam The Harvard Business Review mendapati melamun 12 minit ketika sedang mengerjakan tugasan kompleks membantu mencari jalan penyelesaian.

9. Bergosip atau ‘membawang’


Sebenarnya perbuatan bergosip ini mempunyai perspektif negatif dan buruk. Tetapi tahukah anda ia tetap mambawa kesan baik? Menurut kajian, apabila anda mula bergosip sesama sekumpulan rakan atau seseorang, hubungan anda dengan kenalan tersebut menjadi rapat malah saling selesa sesama sendiri. Anda juga akan mula mengenali lebih dekat diri masing-masing. Ketawa atau respons kelakar daripada gosip juga membuatkan anda rasa bebas tekanan dan lebih relaks.

10. Minum kopi


Ketagihan kopi sering kali dikaitkan dengan kesan buruk. Daripada masalah gangguan tidur, masalah kardio, pertumbuhan dan sebagainya pasti merimaskan anda. Tetapi amalan minum kopi juga ada sisi positifnya kerana ia kaya dengan anti oksidan dan kebaikan kesihatan. Bahan kimia dalam kopi juga mampu melawan penyakit seperti Parkinson’s, Alzheimer’s, kanser hati, malah meningkatkan keupayaan memori. Kajian menunjukkan wanita yang minum 3 cawan kopi sehari 15% kurang tertekan.

11. Teriak marah


Tiada orang suka bersama mereka yang asyik marah, lagi-lagi berteriak ketika marah. Bagaimanapun perbuatan menyimpan rasa marah bukan penyelesaian baik. Jadi apabila anda bertindak meluahkan ekspresi sama ada dengan meluahkan rasa marah, berteriak atau bising boleh mengurangkan tekanan anda. Kajian di Sweden mendapati lelaki yang meluahkan rasa marah kurang risiko serangan sakit jantung.

12. Makanan ringan


Ini mungkin tabiat buruk yang terbaik dalam senarai ini. Makanan ringan sememangnya tidak baik untuk kesihatan kerana ia langsung tidak memberi apa-apa khasiat. Bagaimanapun amalan menolak langsung makanan ringan dengan hanya menumpu makanan sihat boleh memberi tekanan. Menentang hasrat makan makanan tertentu untuk tempoh masa panjang boleh membuatkan anda rasa resah, gelisah dan tertekan. Anda mungkin tidak perlu makan sebiji kek, tetapi apa salahnya mengambil sepotong kek sesekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.